IS, unta dan bonggol 747 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

IS, unta dan bonggol 747

KINI, apabila meletup berita pengeboman bunuh diri yang mengakibatkan kematian ramai, ia dikatakan perbuatan IS (Islamic State, Isis atau Isil). Sering juga tiada pihak yang mengaku melakukan perbuatan dahsyat sebegitu, tetapi sering pula IS yang mengaku bertanggungjawab. IS sebenarnya bukan berasaskan tempat yang ada sempadan tetapi ia merupakan satu konsep.

Ada pihak-pihak tertentu terutama pihak Barat menggariskan satu sempadan untuk IS seolah-olah ia mencakupi rantau Iraq, Turki, Syria, Palestin dan Lebanon. Disebabkan ia merupakan sebuah konsep, maka ia boleh wujud di mana-mana. Itu sebabnya ledakan boleh berlaku di Jakarta atau di Nairobi, Kenya. Apabila kita panjangkan pengertian ini, ia bererti negara kita Malaysia mungkin tidak terkecuali daripada konsep IS ini.

Justeru sikap berhati-hati dan berawas-awas hendaklah sentiasa kita dakapi, terutama di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari seberang laut. Di sesetengah negara Arab yang hasilnya banyak didapati dari industri pelancongan, aktivis IS sengaja membunuh pelancong untuk mencekik ekonomi negara itu dan memberi peringatan bahawa dasar Barat yang tidak henti-henti membuli Arab dan orang Islam bukan berlaku sewenang-wenang tanpa pembelaan.

Bukanlah AS dan negara Barat lain, terutama UK dan Perancis, tidak tahu bahawa punca pergolakan dunia Arab ialah terhapusnya negara Palestin yang di atasnya ditegakkan Israel. Sumber tentera, persenjataan dan kewangan digunakan oleh Barat untuk memastikan Israel terus wujud. Fakta ulangan yang selalu saya tonjolkan ialah Perisytiharan Balfour yang dibuat oleh kerajaan British pada 1917, menjanjikan sebuah tanah air untuk orang Yahudi. Buminya bertindih dengan bumi Palestin.

Tiga puluh tahun kemudian, selepas Perang Dunia Kedua, Presiden AS Harry Truman menaja penubuhan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan sendirinya ia menjamin satu mimpi yang pahit getir. Mesir menjadi juara penentang Israel tetapi kedayusan rajanya King Farouk mengandaskan segala usaha Mesir mengalahkan Israel.

UK, Perancis dan AS tidak putus-putus berusaha memecah-belah negara-negara Arab dengan menggunakan senjata ekonomi agar kebencian terhadap Israel menjadi tumpul malah terhapus, sekali gus memastikan sesebuah negara Arab bersengketa dengan yang lain. Kematian pemimpin besar Mesir dan hero Arab, Gamal Abdel Nasser pada usia 52 pada 1970, digantikan dengan Anwar Sadat.

Tidak lama kemudian Mesir dan Israel menjadi sahabat atas tajaan AS, lalu Mesir mendapat sumbangan berbilion dolar setahun. Algeria yang mengadakan pilihan raya pada 1991 selepas meninggalnya Jeneral Boumidienne (berkuasa melalui perampasan kuasa) dan dimenangi oleh parti berorientasikan Islam diogah hebat oleh Perancis, memungkinkan pengekalan kuasa oleh tentera Algeria. Pengekalan kuasa ini juga menjamin tokoh-tokoh pemimpin Islam diburu, dipenjarakan dan dibunuh atas pelbagai alasan.

Perginya Saddam Hussein dari Iraq dan Muammar Ghadafi dari Libya bererti dua negara Arab yang berani, anti-Barat dan anti-Israel terbungkam. Segala perancangan Israel dilaksanakan dengan darah dan wang rakyat AS.

Boleh dikatakan semua Kabinet AS mengandungi ramai orang keturunan Yahudi; antaranya ialah bekas Naib Presiden AS Dick Cheney dan Setiausaha Negara Henry Kissinger. Cheneylah tenaga utama di sebalik penyerangan terhadap Iraq yang sehingga kini, 12 tahun kemudian, masih kucar-kacir.

Berdasarkan latar belakang sejarah begitu maka golongan Arab bebas tidak percaya langsung dengan segala taktik dan pujukan Barat. Jika Arab Saudi bermewah dan bermanja dengan wang minyak dari Barat, sepertimana negeri-negeri kecil Arab di Teluk Parsi, maka mereka yang mengalami akibat getir kerana perlakuan Barat bertekad mahu memastikan kedaulatan Arab dan Islam kembali semula seperti zaman kegemilangan dulu. Pada satu masa yang sama, Barat boleh dinyahkan dari berkuku dan berkuasa di bumi Arab.

 Betul atau tidak tekad begitu, itulah yang menjadi motivasi dan matlamat IS. Baginya, hanya bumi Arab yang diperintah oleh keturunan Bedouin yang melata di padang pasir pada awal abad ke-20 yang terus setia dengan Barat. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana Baratlah yang memberikan mereka kedudukan dan kuasa. Dalam tiga keturunan, moyang yang melata di bonggol unta di padang pasir sudah diwarisi cicit yang bermewah pada bonggol Boeing 747 di seantero dunia.


*Tan Sri Adam A. Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " IS, unta dan bonggol 747 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ