Jangan putus asa berdepan musibah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan putus asa berdepan musibah

Hidup adalah untuk diuji dan Allah SWT tidak menguji melebihi kadar kemampuan iman hamba-Nya. Tatkala menerima ujian, fahamilah bahawa itu bahasa Tuhan dalam menterjemahkan kasih sayang-Nya. Membicarakan berkenaan ujian, Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengingatkan bahawa kesabaran letaknya pada tamparan pertama ujian itu datang iaitu saat kritikal dan genting seakan semua pintu sudah tertutup serta tiada suatu perkara dapat dilakukan.

Menerusi slot Islam Itu Indah di IKIMfm, Rabu lalu jam 10.15 pagi, beliau berkata mereka yang diuji umpama berada dalam kelemasan, tiada ikhtiar yang dapat dilakukan serta hilang usaha untuk terus timbul dan dapat diselamatkan. Saat itu yang muncul hanyalah berserah bulat kepada Tuhan. Pada situasi terhimpit dan tersepit, hilang langkah mahu ke hadapan apatah lagi ke belakang. Di waktu itu kita punya dua pilihan, pertama, terus berharap dan meminta pertolongan kepada Allah SWT. Kedua, kecewa dan putus asa.

Justeru, walau apa juga yang berlaku pohonlah supaya dikurniakan hati yang terus untuk memilih jalan pertama. Pesan berkali-kali pada hati bahawa Tuhan tidak akan menguji lebih daripada kemampuan seseorang hamba untuk menghadapinya, walau susah dan dahsyat, yakinlah ia masih mampu mendepaninya. Sesungguhnya janji Allah SWT itu benar menepati firman-Nya yang bermaksud: "(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Berpegang teguh kepada Allah SWT 

Pada saat genting, yakinlah pertolongan Allah SWT pasti akan tiba. Harapan akan hadir jika berpegang teguh kepada kepercayaan itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sejarah membuktikan, banyak waktu genting dihadapi Baginda Rasulullah SAW bersama sahabat Baginda dalam riwayat perjuangan hidup mereka. Salah satu waktu yang paling genting adalah ketika Perang Khandak atau Perang Ahzab. Dinamakan Perang Ahzab kerana perang itu menghimpunkan banyak suku kaum yang bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di Madinah. Dinamakan juga Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh daripada menceroboh. Dengan bantuan Allah SWT, tentera Islam mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Makkah amat besar.

Peristiwa pengepungan Madinah selama kira-kira empat minggu oleh suku dalam kalangan orang Arab dan Yahudi yang bergabung. Kekuatan pihak gabungan dianggarkan seramai 10,000 orang, diiringi 600 ekor kuda dan unta, manakala di pihak Madinah pula terdiri daripada 3,000 orang. Pihak yang mempertahankan Madinah, kebanyakannya Muslim di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW, menggali parit dan kubu bersama berjaya membuatkan pasukan berkuda gabungan menjadi lemah, sekali gus menimbulkan kebuntuan buat kedua-dua pihak. Pihak gabungan merancang untuk membuat beberapa serangan secara serentak dan berjaya meyakinkan sekutu mereka, Bani Quraizah pula adalah suku kaum Yahudi yang bercadang menyerang kota Madinah dari arah selatan.

Tentera Islam pimpinan Rasulullah SAW terkepung selama sebulan dan terpaksa hidup dalam keadaan kelaparan yang dahsyat serta ketakutan memuncak. Kepemimpinan Rasulullah SAW melalui teladan mengatasi segala-galanya. Rasulullah SAW bukan sekadar memahami kesusahan mereka malah Baginda turut sama merasai kegetirannya. Ketika orang datang kepada Rasulullah SAW mengadu kelaparan kerana keputusan bekalan makanan, Baginda menyelak bajunya sehingga terlihat batu-batu kecil terikat di perut Baginda.

Semarak semangat juang 

Melihat itu, sahabat tidak berkata lebih lanjut kerana pemimpin mereka juga sedang berdepan perkara serupa. Peristiwa itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus berjuang. Ketika nyawa tentera Islam terancam oleh senjata dan kelaparan, ditimpa kesengsaraan dan digoncangkan dengan pelbagai cubaan, terpacul di mulut mereka bertanyakan: "Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?" Allah SWT menjawab menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Sesungguhnya, saat paling genting dan getir adalah waktu kita paling hampir dengan pencipta. Sungguh pertolongan Allah SWT itu dekat. Mengambil iktibar daripada penyerahan penuh kepada Allah SWT, maka berlaku proses diplomasi Nabi Muhammad yang akhirnya menjejaskan rundingan pihak gabungan dan Quraizah, lalu mematahkan pakatan untuk menentang baginda. Oleh itu, saat ditimpa musibah, tegapkan pergantungan kepada Allah SWT dan perbanyakkan menyebut Hasbunallah Wa Nik Mal Wakil (cukuplah Allah bagi kita sebaik-baik pembela).

Yakinlah, ketika manusia mengecewakan ada Allah SWT yang sentiasa membuka pintu untuk membantu. Justeru, teruslah meminta dan berharap kepada Allah SWT. Kata pujangga, Profesor Dr Hamka menerusi bukunya Tasauf Moden: "Ketika pintu di bumi sudah tertutup yakinlah, pintu ke langit sentiasa terbuka." Ketahuilah, segala kerumitan dalam kehidupan adalah tarbiah daripada Allah SWT untuk meletakkan roh tauhid dalam sanubari hamba-Nya yang beriman. Hadapilah dengan syukur yang panjang kerana dipilih mengikuti kursus tarbiah dalam kehidupan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/103731
0 Komentar untuk " Jangan putus asa berdepan musibah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ