Daripada rakyat kepada rakyat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Daripada rakyat kepada rakyat

KEKEJUTAN dalam Umno sudah berlaku dalam persidangan tahunan parti itu kini, tetapi tanda-tandanya sudah lama wujud. Tun Dr Mahathir telah berulang kali bercakap dan menulis tentang Umno dan kepimpinan dalam keadaan yang dihurungi banyak tanda-tanya, terutama dalam masalah pengendalian wang rakyat dari segi undang-undang.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dengan tegas mempersoalkan prestasi kepimpinan Umno. Daripada rakyat kita datang, kepada rakyat kita pulang, katanya. Pengucapan beliau ini merupakan satu-satunya yang paling berani dalam sejarah Umno. Di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Harun Idris dan Musa Hitam dulu, Pemuda bersikap lantang dalam menghadapi cabaran di luar Umno, baik dari parti lawan atau permasalahan ekonomi dan sosial.

Kepimpinan Allahyarham Syed Jaafar Albar pula, yang terkenal dengan panggilan Singa Umno, lebih bertumpu kepada soal keadilan antara kaum: Melayu, Cina, India dan Peribumi Sarawak dan Sabah; serta hubungan yang dianggap sumbang dengan Singapura.

Perbezaan Khairy dengan mereka: Khairy ialah pemimpin Pemuda Umno abad 21 yang ‘original’; bukan lagi satu sambungan dari abad 20. Sejak akhir-akhir ini, orang Umno yang mengkritik Umno atau pemimpin Umno berada dalam risiko dibuang dari parti, malah memang sebenarnya ada beberapa orang yang sudah kena buang. Ini meremang bulu leher saya. Pada era Umno begitu kuat, apabila jumlah kerusi di Parlimen sentiasa kekal dua pertiga dalam tangan BN, membuang ahli dari parti bukan merupakan satu kejadian yang membimbangkan. Malah ada pula tokoh parti yang memilih untuk keluar parti.

Lihat saja apa yang berlaku kepada Aziz Ishak, mantan Menteri Pertanian, dan Haji Sulaiman Palestin, mantan Ketua Penerangan Umno. Bukan itu saja; apabila Harun, ketika itu Ketua Pemuda Umno dan Menteri Besar Selangor yang sangat popular, dikenakan tindakan undang-undang (yang sebelumnya tidak pernah berlaku), Umno bergoncang hebat dan Persidangan Umno bergelegak di Dewan Nirwana, Hotel Hilton, namun selepas itu Umno kembali stabil. Pilihan raya selepas itu membawa keputusan yang dijangkakan: lebih dua pertiga kerusi. Kini, dalam kebimbangan kehilangan dua pertiga kerusi Parlimen, Umno bertindak lebih garang dari itu. Ini merisaukan.

Khairy ialah seorang yang efisien menggunakan bahasa Inggeris  memandangkan latar belakangnya yang berbapakan seorang diplomat kanan dan banyak tahun bermastautin di luar negara. Pemikiran bahasa dan dunia Inggeris diterapkan ke dalam retorik bahasa Melayu yang baik. Dari itu hujah-hujah dan pewajarannya bersalutkan pemikiran yang bebas daripada keterbatasan minda Melayu, malah minda Umno, yang tradisi.

Khairy kebetulan mempunyai pendekatan yang sama dengan Tun Dr Mahathir: minta penjelasan demi diketahui rakyat buruk-baik 1MDB, terutama wang RM2.6b yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Sri Najib. Walaupun dikatakan ribuan pemimpin kecil Umno berpuas hati dengan penjelasannya tentang kedudukan itu, namun fakta di sekeliling wang itu masih lagi kebarangkalian.

Salah satu fungsi Bank Negara ialah mengesani pergerakan wang masuk dan keluar, sekecil RM20,000. Saya percaya apabila wang sejumlah itu masuk secara elektronik (atau mungkin satu penghantaran wang tunai) ke dalam sebuah bank besar, sayugialah pemimpin bank itu dan Bank Negara tahu. Kenapa ia tidak menjadi gamat (atau alarm) adalah satu misteri. Di samping itu, pihak berkuasa hasil dalam negeri, LHDN, yang dianggap mempunyai hubungan tugas yang rapat dengan Bank Negara, wajar bersikap ghairah untuk mendapat cukai yang lumayan dari RM2.6b itu.

Perbandingan yang gemar saya ulangi ialah insiden Naib Presiden AS Spiro Agnew. Beliau dipilih dalam tahun 1968, lalu menjadi jurucakap Pentadbiran Nixon yang disegani. Alih-alih seorang kontraktor memecah rahsia: Agnew ketika menjadi Gabenor Maryland telah didermakan $10,000 oleh kontraktor itu. Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS (Inland Revenue Services. IRS) kemudiannya dapati Agnew melakukan jenayah kerana tidak mengisytiharkan derma itu dalam borang cukai pendapatannya.

Akibatnya, Pentadbiran dan Presiden Nixon naik malu. Satu skandal politik tercetus dan membesar. Justeru Agnew tidak ada pilihan, melainkan letak jawatan pada tahun 1973. Terlucutlah jawatan yang kedua paling ‘powerful’ dalam dunia daripada genggamannya. Begitulah penangan derma $10,000 di AS!


* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

Related Post

0 Komentar untuk " Daripada rakyat kepada rakyat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ