Potensi Sarawak jadi pengeksport utama tenaga serantau - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Potensi Sarawak jadi pengeksport utama tenaga serantau

Menteri Muda Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menerima cenderahati daripada Pengarah Eksekutif Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry, Daniel Bernbeck (dua dari kiri) selepas merasmikan German Bionergy Chamber of Commerce and Industry di Hotel Hilton, Kuching. 

Sarawak meneroka lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui, terutama berasaskan sisa buangan sektor pertanian dan perkayuan, yang diyakini lebih selamat digunakan selain membantu memulihara alam sekitar.

Usaha itu menepati matlamat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport utama tenaga pada peringkat serantau, sekali gus membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Bekalan sisa buangan industri seperti sawit dan perkayuan mencukupi untuk menghasilkan sumber tenaga biomas serta biogas berikutan jumlah ladang yang cukup banyak di negeri ini, sekali gus membuka potensi lebih besar Sarawak untuk mencapai matlamat itu.

Selain itu, minyak sawit mentah yang tinggi kandungan organiknya yang dihasilkan di negeri ini berpotensi dibangunkan sebagai sumber biogas dan memberi kelebihan kepada Sarawak untuk mewujudkan potensi cukup besar bagi penghasilan sumber tenaga alternatif, bukan sahaja untuk menampung kegunaan domestik, malah bagi tujuan eksport.

Manfaat berganda kepada negara 

Inisiatif kerajaan negeri memajukan sumber tenaga biomas dan biogas itu memberi manfaat berganda kepada negara, terutama dalam konteks pengurusan sisa industri yang lebih sistematik, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Dengan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki, Sarawak perlu memanfaatkannya untuk menjana tenaga berasaskan biomas dan biogas, selain hidro serta solar sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu dan diesel.   Ia selari dengan inisiatif kerajaan dalam Strategi Biomas Kebangsaan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang menggunakan biomas dan biogas sebagai kaedah penjanaan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang.

Simposium platform pakar antarabangsa kongsi kepakaran 

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, ketika merasmikan Simposium Tenaga-Bio 2015, baru-baru ini, berkata sasaran untuk beralih sepenuhnya kepada pengguna sumber alternatif itu mampu dicapai dengan perkongsian ilmu dengan pakar dari kalangan negara maju, khususnya Jerman yang memiliki kaedah serta teknologi canggih dalam penggunaan sumber tenaga biomas, terutama bagi sektor perindustrian. "Simposium itu akan menjadi platform kepada pakar biomas dan biogas antarabangsa untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dimiliki untuk diguna pakai oleh agensi berkaitan di negeri ini.

"Ia bukan sahaja boleh membantu agensi berkaitan, malah memberi manfaat kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan mengaplikasikan teknologi terbaharu kaedah biomas yang diguna pakai negara itu dalam pengurusan sumber," katanya.


Adenan merasmikan Projek Mukah

Syarikat diberi lesen teroka program penyelidikan 

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, yakin Sarawak mempunyai potensi menjana 300 megawatt tenaga elektrik dengan menggunakan sisa buangan kelapa sawit. Beliau berkata, ketika ini sebanyak 14 lesen sudah dikeluarkan kepada syarikat di negeri ini yang menggunakan penjanaan tenaga elektrik berasaskan biomas bagi menggalakkan penerokaan lebih banyak teknologi baharu dalam penghasilan sumber tenaga boleh diperbaharui, terutama berasaskan sisa buangan kelapa sawit atau biomas.

"Pengeluaran lesen itu juga antara inisiatif menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama tenaga alternatif yang lebih selamat dan menjimatkan dengan kesan pencemaran paling minimum terhadap alam sekitar. "Semua syarikat tempatan yang diberikan lesen itu masih pada peringkat awal pelaksanaan usaha merintis teknologi berkenaan, malah ada yang sedang menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing. "Jika semua perancangan siap mengikut jadual, termasuklah pembinaan loji biomas ini yang pertama seumpamanya di Sarawak, ia berkeupayaan menukarkan sisa buangan kelapa sawit kepada tenaga elektrik sehingga 300 megawatt," katanya ketika berucap merasmikan Loji Biomas Olive Energy, di sini, baru-baru ini.

Lima peratus sisa sawit dikitar semula 

Adenan berkata, ketika ini hanya lima peratus sisa buangan dari industri sawit di negeri ini yang dikitar semula untuk pelbagai tujuan, manakala selebihnya terbuang begitu sahaja sehingga mencemarkan alam sekitar. Justeru katanya, pembinaan loji biomas adalah usaha terbaik ke arah pemuliharaan alam sekitar, terutama dalam menangani masalah pencemaran dari industri sawit. "Daripada dibuang begitu sahaja, lebih baik sisa kelapa industri sawit itu kita manfaatkan untuk menjana tenaga elektrik yang murah dan bersih, lagi selamat," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/104044

Related Post

0 Komentar untuk " Potensi Sarawak jadi pengeksport utama tenaga serantau "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ