Biarlah suami akad nikah banyak kali - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Biarlah suami akad nikah banyak kali

SEORANG mufti baru-baru ini membuat teguran di media sosial mengenai cara sesetengah jurunikah yang dikatakan 'mendera' pengantin lelaki. Ini dikaitkan dengan cerita-cerita yang banyak berlaku pengantin diminta mengulang lafaz ijab kabul berkali -kali kerana dikatakan tidak sah dan perlu dilafazkan semula atas nasihat saksi.

Walhal kata beliau, akad nikah itu sebenarnya cukup mudah. Kalaulah wali pengantin perempuan berkata: "Saya nikahkan saudara dengan anak perempuan saya (yang sekian-sekian namanya)" dan dibalas oleh bakal menantunya itu seringkas "saya terima" atau "saya setuju" atau "saya terima nikahnya" atau "saya setuju bernikah dengannya" itu sudah boleh dikira sah mengikut mazhab as-Syafii.

Saya bukanlah ahli ilmu munakahat, berkahwin pun baru sekali, justeru tidaklah layak untuk mengulas kenyataan mufti itu.

Akan tetapi apabila disebut perihal akad nikah, saya terkenang keadaan sebelum bergelar suami orang dahulu. Itulah antara perkara yang saya paling takuti dalam hidup. Menjelang hari akad nikah, bergolek-golek, bergulung-gulung saya menghafal lafaznya, malah tidak putus-putus minta doa supaya dapat melafaz ijab kabul dengan lancar dan mudah.

Ya, memang saya takut sungguh!

Dalam pada itu, saya juga berdoa, janganlah ada orang buat aniaya kurung katak di bawah tempurung pada hari akad nikah saya.

Ikut cerita yang saya pernah dengar, kononnya itulah caranya orang main ilmu hitam untuk gagalkan akad nikah terutama apabila ada yang cemburu atau sakit hati dengan perkahwinan itu.

Kononnya, selagi katak di bawah tempurung itu tidak dilepaskan, selagi itulah pengantin lelaki bukan sahaja tergagap-gagap, malah akan “aku terima nikahnya akan dikau (tok kadi)” walaupun berpuluh kali diajar supaya menyebut dengan betul.

Ada sesetengah pengantin sampai disuruh oleh tok kadi supaya berehat – kerana tok kadi  sendiri juga kepenatan – malah ada yang sampai terpaksa disuruh mandi dahulu sebelum upacara akad nikah disambung semula.

Begitulah cerita-cerita yang menakutkan saya suatu ketika dahulu hingga membuatkan saya masih terasa takutnya kalau-kalau diajak bernikah lagi selepas itu. Biarlah ia sekali sahaja dalam hidup dan tidak sanggup untuk ku tempuhi lagi saat yang mendebarkan itu.

Masih terasa betapa tapak kakiku seperti tidak bersentuhan dengan tanah ketika berjalan ke majlis akad nikah.

Siapalah yang tidak takut kalau apa yang keluar dari mulut tok imam sudah seperti ayat dalam filem-filem S Kadarisman: “Aku nikah akan dikau Brad bin Pitt dengan Angelina binti Jolie dengan mas kahwin delapan puluh ringgit tunaiiiiii......”

Maka yang harus dijawab juga mesti dalam laras bahasa yang sama: “Aku terima nikahnya Angelina binti Jolie dengan mas kahwin delapan puluh ringgit tunaiiiii...”

‘Lari’ sikit bunyinya, bimbang pula saksi atau tok imam sendiri kata tidak sah dan disuruh ulang semula. Itu yang buat gementar dan terasa berpeluh sampai tapak kaki!

Walau apa pun, saya sendiri, syukur Alhamdulillah kerana pada hari kejadian, berjaya juga melepasi babak yang paling ditakuti itu hanya dengan sekali lafaz sahaja. Mungkin kerana sememangnya ‘dah gatai nak berbini sangat kut’!

Kepada bakal-bakal isteri, saya nak peringatkan, nasihatkanlah bakal suami anda supaya semasa akad nikah nanti, janganlah lafaz terima ijab kabul sekali sahaja tetapi buatlah seberapa banyak kali yang boleh.

Bukan apa, ini kenangan seumur hidup tetapi hanya berpeluang untuk melalui (berdoa yang baik) hanya sekali sahaja. Tidak berapa nak jadi kenanganlah kalau hanya sekali terus lepas – macam saya - jadi biarlah banyak kali, malah kalau berbelas-belas kali lebih baik.

Sebabnya, kebanyakan upacara akad nikah sekarang ini divideokan, jadi bukankah kalau berbelas kali akan jadi lebih comel untuk dikenang, alangkah manis jika ditonton sampai ke anak cucu dan pasti mengundang gelak tawa dengan seribu satu makna.

Lebih daripada itu, kalaulah berkali-kali terpaksa ulang ijab kabul, biasanya seseorang lelaki akan trauma dan jika ada kemungkinan untuk dia melalui upacara akad nikah lagi selepas itu, ini pastinya akan buat dia terpaksa fikir berkali-kali hingga mungkin akhirnya  langsung tidak jadi.

Kalaulah kali pertama pun terpaksa ulang sampai 15 atau 20 kali, jangankan dia, tok imam pun pasti akan mengigau malam apabila dengar nama dia untuk diakad nikah lagi. Bukankah itu berita yang paling baik untuk isteri?

0 Komentar untuk " Biarlah suami akad nikah banyak kali "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ