Al-Quran dan ilmu pengetahuan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran dan ilmu pengetahuan

AL-QURAN amat rapat hubungannya dengan ilmu pengetahuan. Di samping al Quran itu sebagai sumber ilmu dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menggalakkan kita menuntut ilmu kerana kepentingan ilmu amat berharga kepada manusia.

Surah awal yang ditanzilkan oleh ALLAH iaitu Al Alaq melihat kepentingan IQRA (bacalah), sesuatu yang bermakna. BACA yang merujuk kepada al Quran bukan sekadar membaca yang tersurat tetapi membaca yang tersirat. Tidak saja sifatnya (al-Quran) tekstual (harfiah) tetapi juga kontekstual (menghubungkannya dengan realiti).

Ayat-ayat mengenai budaya ilmu ini (1-5) juga memberitahu kita mengenai asas kejadian (ayat 2) iaitu kejaninan/ sains embriologi dan juga (ayat 3-5) mengenai kepentingan alat (kalam) dan juga ilmu (a’lam). Pedoman al Quran ini sangat penting kerana tanpa ilmu tidak wujud pencerahan yang memandu dan mempedoman manusia mengenai sesuatu yang Allah ciptakan.

Dalam Surah al Mujadalah, ayat 11 – “ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”. Orang-orang yang berilmu bakal menerima makna terhadap kehidupan itu sendiri.

Orang-orang yang berilmu adalah orang-orang yang memiliki fikrah. Fikrah yang Qurani bakal membentuk tasawwur yang Islami.

Sebab itu dalam Surah az Zumar ayat 9 – “Katakanlah, apakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui”. Tentunya tidak sama. Orang-orang yang tahu memiliki pengetahuan mengenai sesuatu yang nyata apalagi yang ghaib. Orang-orang yang berpengetahuan menjadi landasan untuk membina kefahaman. Proses kefahaman menjadi asas kepada penerimaan makna.

Sejarah tamadun termasuk tamadun Islam menjadikan ilmu sebagai tunjangan. Jiwa tadabbur (kaji selidik) yang dimiliki oleh ilmuan Islam pada suatu ketika dulu menyebabkan lahirnya tamadun dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, menyumbang kepada umat Islam dan manusia termasuk Eropah.

Kelemahan umat Islam hari ini ialah kelemahan dalam penguasaan ilmu terutama sains dan teknologi. Kita menjadi umat pengguna kepada kekuatan orang lain dan belum mampu menjadi menyumbang terhadap tamadun umat manusia kerana tidak mampu reflektif secara kreatif terhadap tamadun silam dan sering nostalgik terhadap kejayaan itu.

Sebab itu dalam Surah Thaaha ayat 114 ALLAH menyebut, “Dan katakanlah ( wahai Nabi Muhammad) tambahkanlah ilmu kepadaku”. Ayat ini secara jelas memperlihatkan kepentingan ilmu dan ianya berkaitan dengan sifat ilmu yang berkembang di samping ilmu berbanding yang bermanfaat dari tamadun lain.

Hari ini revolusi ilmu terjadi dalam penghasilan ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi. Umat Islam dituntut mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya ilmu mengurus sistem yang dimiliki oleh umat Islam sifatnya semasa. Ilmu yang tidak mendukung aspirasi syariat harus disantuni dengan etika dan nilai supaya kegunaannya lebih manusiawi.

Dalam Surah Ali Imraan ayat 18 – “ALLAH menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga yang menyatakan demikian itu). Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana)”.

Ayat ini menyatakan pentingnya sifat ubudidah (ketaatan dan keyakinan) kepada Allah yang sifatnya tauhidik kerana ALLAH itu terhubung dengan sumber keadilan, Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tanpa Allah sunnatullah tidak akan terjadi. Alam ini tidak akan berputar dengan tertib dan teratur. Rahmah dan nikmah tidak akan dilimpahkan untuk berhikmah kepada manusia. Ilmu yang membawa pertunjuk tidak diberikan kepada manusia supaya hidupnya terpedoman.

Justeru al-Quran itu sendiri adalah sumber ilmu dan menggalakkan manusia berilmu. Ilmu dari Allah (naqliah) apabila menyantuni ilmu hasil dari pemikiran manusia (akliah) ia bakal membentuk tasawwur yang lebih sempurna bagi memahami yang nyata dan ghaib.

Di sini pentingnya proses integrasi dan Islamisasi ilmu terjadi supaya ilmu kembali kepada fitrah diri yang memberi manfaat kepada seluruh umat manusia. Tanpa ilmu yang benar dan bermanfaat manusia akan mengalami krisis dan proses kehilangan adab akan terjadi.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba
Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran dan ilmu pengetahuan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ