Viral bisnes kena tipu penyelamat IKS‎ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Viral bisnes kena tipu penyelamat IKS‎

BARU-baru ini tersebar viral mengenai lambakan roti paratha milik usahawan Melayu yang ditipu sebuah syarikat koperasi.

Wartawan Sinar Harian turut mendapat viral tersebut daripada seorang rakan yang kemudian mengesahkan ia benar kerana terjadi kepada alumni Sekolah Kebangsaan Derga, Alor Setar, Kedah yang juga kenalannya.

Jadi, tidak semua viral tersebar itu bersandar pada fitnah, rekaan atau apa sahaja berunsur negatif. Banyak juga kisah positif di sebalik penyebaran viral ini.

Ia akan menyebabkan orang akan percaya dan ia juga memudahkan untuk si pembaca viral menyemak sama ada ia benar atau palsu.

Habis dijual dalam sehari

Pemilik syarikat Trisha Shamsul Atika Enterprise, Shamsul Shah Sulaiman, 43, melahirkan rasa syukur apabila roti parathanya habis dijual dalam masa sehari selepas viral berkenaan tersebar.

Sebak saat menceritakan kisah itu, Shamsul Shah berkata, 850 karton roti paratha dijual begitu pantas.

“Saya tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba kedai saya dikerumuni ramai pelanggan dan mereka membeli dalam kuantiti banyak. Sebelum ini, biasa-biasa sahaja.

“Dalam pada melayan pelanggan, saya turut dihujani panggilan telefon. Semuanya tanya soalan sama iaitu di mana lokasi kedai. Selepas beberapa ketika, baru saya perasan ada viral berkenaan masalah kami tersebar. Ketika itu, saya tidak tahu siapa yang membuat viral tersebut tetapi ia banyak membantu saya dan usahawan lain menjual produk kami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, viral yang tersebar itu memberi impak besar terhadapnya dan 37 lagi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat koperasi.

“Saya berterima kasih kepada yang membuat viral tersebut. Hari ini (semalam) baru saya bertemu dengannya. Dia membantu kami keluar daripada masalah sejak berbulan-bulan lamanya.

“Saya terpaksa menyewa kontena untuk menyimpan 850 karton roti paratha yang sebelum ini mahu dihantar ke Sabah,” katanya.

Syarikatnya juga hampir muflis kerana tidak mampu membayar gaji pekerja ketika menyiapkan semua tempahan yang dibuat syarikat koperasi berkenaan.

Tidak hanya roti paratha, malah banyak lagi produk yang terbiar dek terlalu percaya kepada syarikat koperasi tersebut.

“Selepas roti paratha habis, saya panggil semua usahawan yang ditipu untuk meletakkan produk mereka di sini.

“Alhamdulillah, setiap hari ramai yang datang membeli. Kami semua bersyukur kerana sekurang-kurangnya produk kami terjual walaupun kami tidak untung. Apa yang penting, kami dapat membayar segala hutang-piutang sama ada pada bank, kilang mahupun pekerja,” katanya.

Menurutnya, kesemua produk makanan sejuk beku ini mempunyai tarikh luput dan akan rugi jika tidak dijual.

Menceritakan mengenai viral tersebut, Shamsul Shah berkata, telefon bimbitnya tidak henti berdering dan menerima 7,000 mesej daripada aplikasi WhatsApp dan beratus SMS.

“Beberapa kali telefon bimbit saya mati. Saya perlu sentiasa cas kerana tidak sampai sejam bateri habis,” katanya.

Kilang hampir disita

Bagi pengusaha Aisyhana Food Industries Sdn Bhd, Siti Akmaliyah Shuhaimi, 29, dia bersyukur apabila kesemua 1,800 karton biskut pelbagai perisa berjaya dijual dalam masa sehari.

Dihambat rasa sedih apabila mendapat surat arahan mengosongkan kilang kerana tidak mampu membayar hutang, Siti Akmaliyah juga tidak tahu di mana mahu meletakkan lambakan biskut-biskutnya itu.

“Jumaat lalu, saya terima mesej viral berkenaan. Terkejut juga, tak tahu siapa yang buat. Pada petang hari sama, ada yang mula menghubungi untuk tempahan. Siapa nak percaya, kan? Tapi, saya asingkan juga tempahan berkenaan.

“Keesokan harinya, semua yang membuat tempahan datang. Alhamdulilah, ada yang membeli dua hingga 10 karton.

“Ada yang membeli tetapi mereka tidak boleh ke kilang saya yang terletak di Rawang, Selangor. Jadi, saya membuat penghantaran kepada mereka di Kuala Lumpur,” katanya yang turut membuat penghantaran kepada pelanggannya.

Tidak hanya itu, Siti Akmaliyah turut didatangi seorang individu bertanyakan lebihan biskut yang ada.

“Saya hanya jawab tinggal 1,500 karton lagi dan dia mengeluarkan sejumlah wang tunai dan membeli kesemuanya. Tidak terkata saya ketika itu kerana orang itu juga membeli selepas membaca viral yang tersebar.

“Alhamdulillah, kesemua biskut saya terjual dengan jumlah RM260,000. Duit itulah yang digunakan untuk membayar pada kilang yang memproses biskut-biskut,” katanya.

Siti Akmaliyah berkata, insiden ditipu itu menjadikan dia lebih berhati-hati dan mengajarnya tidak mudah percaya pada sebarang usahasama lebih-lebih lagi melibatkan individu terkenal.

Dia juga bersyukur kerana kuasa viral membantu jualannya walaupun dia tidak pasti nasibnya selepas ini.

0 Komentar untuk " Viral bisnes kena tipu penyelamat IKS‎ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ