Mengikut sunnah Nabi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengikut sunnah Nabi

BAGI masyarakat Islam, mengikut sunnah Nabi bererti mengikut tuntutan Ilahi. Sehubungan itu, Muslim Tionghoa Malaysia berhadapan dengan persoalan tentang sejauh manakah budaya hidup Cina mencerminkan sunnah Nabi.

Apakah menggunakan chopstick sejajar dengan sunnah Nabi memandangkan Nabi menggunakan tangan untuk menjamu selera?

Nabi sangat menganjurkan penggunaan siwak atau sugi kerana khasiatnya kepada mulut dan gigi.

Hari ini ramai di antara kita menggunakan ubat gigi untuk menjaga gusi dan pelbagai perkara yang bersangkut-paut dengan kesihatan, keselamatan dan kecantikan mulut dan gigi yang disebut sebagai oral care.

Justeru, apakah penggunaan ubat gigi serta bahan penjagaan mulut yang lain sesuatu yang tidak sejajar dengan amalan Nabi dan kita mesti terus dengan penggunaan sugi supaya kita dikatakan mengikut sunnah Nabi?

Nabi pernah melewati suatu kaum yang sedang mengahwinkan pokok kurma lalu Baginda menyarankan supaya mereka tidak berbuat demikian. Para penduduk di situ mengikut nasihat Nabi tetapi hasil buah kurma tidak sebagaimana yang diharapkan.

Lalu Nabi berkata, ‘Antum a’lamu bi-umuuri dunyakum’ iaitu ‘Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.’

Semasa Perang Badar, Nabi mengesyorkan sebuah tempat untuk berhenti dan menempatkan askar Baginda tetapi seorang sahabat bernama al-Hubab bin al-Munzir tidak berapa setuju dengan cadangan Nabi lalu beliau bertanya apakah cadangan itu datang daripada wahyu atau itu adalah pendapat peribadi Baginda. Bila Nabi menjawab ia adalah pendapatnya sendiri, sahabat itu mencadangkan tempat lain.

Apa yang dapat kita belajar daripada peristiwa-peristiwa yang disebutkan di atas tentang sunnah Nabi?

Kita dapati bahawa selagi tidak ada perutusan wahyu, Nabi tidak menghalang kita daripada berbeza pendapat dengan Baginda dalam perkara-perkara yang boleh memajukan kehidupan kita.

Malah Nabi menganjurkan supaya kita memberi buah fikiran yang boleh membawa manfaat dan seterusnya memajukan erti dan nilai kemanusiaan kita.

Sekiranya sesuatu perkara itu adalah yang dilarang, tentunya Nabi akan menyatakan dengan jelas dan terang serta menghalang perkara tersebut.

Seandainya sunnah Nabi bersifat arahan dan muktamad, tentunya peristiwa-peristiwa seperti yang disebutkan di atas tidak akan berlaku. Malah mazhab-mazhab fikah pun tidak akan wujud dan hari ini umat Islam seluruh dunia semuanya akan sama dan serupa bentuk amalan mereka.

Tambahan pula, apabila Nabi mengutuskan para sahabatnya untuk menyampaikan mesej Islam ke seluruh pelosok dunia, apakah Baginda tidak tahu yang mereka akan bertembung dengan budaya hidup yang berbeza dan Baginda pula tidak berada di sana untuk memberi pandangan dan kata putusnya?

Semasa Nabi melantik Muaz bin Jabal sebagai gabenor Yaman, baginda bertanya kepada Muaz bagaimanakah beliau akan memutuskan sesuatu perkara jika tidak terdapat apa-apa dalam al-Quran dan sunnah Baginda.

Lalu Muaz menjawab bahawa beliau akan mencari jawapannya sendiri tetapi dengan berpandukan kepada kitabullah dan sunnah Rasulullah.  

Mengikut sunnah Nabi bukan sekadar yang tersurat dari amalan dan kegiatan Nabi tetapi juga yang tersirat di dalamnya kerana yang tersirat itu mengandungi petanda, hikmah dan iktibar yang membolehkan kita untuk menghubungkan sunnah Nabi yang zahir kepada sunnah Nabi yang maknawi.

Mengguna sugi adalah mengikut sunnah Nabi dan mengguna ubat gigi juga mengikut sunnah Nabi dan penghubungnya ialah maqasid atau matlamat sunnah iaitu untuk menjaga ketahanan mulut, gigi dan  seterusnya kebersihan dan kesihatan kepada seluruh anggota badan.

Begitu juga makan dengan tangan dan menggunakan chopstick yang merupakan dua cara makan yang berlainan.

Tetapi chopstick boleh dikira sebagai mengikut sunnah Nabi kerana maqasidnya adalah sama iaitu ia adalah keselesaan dan kesesuaian pemakanan suatu kaum tertentu.

Seandainya chopstick tidak menepati sunnah Nabi, para mubaligh Islam yang datang ke China yang dikatakan terdiri juga dalam kalangan sahabat Nabi tentunya sudah meminta masyarakat Muslim Tionghoa di sana beralih kepada cara Nabi makan.

Tetapi ini tidak berlaku dan budaya Cina ini masih kekal hingga ke hari ini.


* Penulis bekas pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 Komentar untuk " Mengikut sunnah Nabi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ