Kepentingan bioetika Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kepentingan bioetika Islam

BIDANG sains berkembang dengan pesat sehingga menyaksikan kemunculan pelbagai kemajuan teknologi.

Namun, sesetengah teknologi ini dilihat membawa kesan kerosakan kepada alam dan juga manusia sendiri. Ini menimbulkan banyak dilema etika yang perlu dibahaskan dan dicari jawapan penyelesaiannya.

Istilah bioetika mula dibincangkan semenjak tahun 1970-an lagi dengan yang asal menyentuh secara khusus kepada isu-isu etika perubatan.

Istilah bioetika ini pertama kali digunakan dalam penerbitan oleh Van Rensselaer Potter dari Wisconsin University pada 1970, sementara André Hellegers dari Georgetown University menjadi orang pertama menggunakan istilah bioetika dalam nama sebuah organisasi iaitu The Joseph and Rose Kennedy Institute for the Study of Human Reproduction and Bioethics.

Perbincangan bioetika melibatkan banyak disiplin ilmu, dan kini telah keluar dari kepompong perbincangan bersifat sekular semata-mata apabila perspektif agama (termasuk perspektif Islam) turut dilibatkan bagi mendapatkan input mengenai isu-isu bioetika, terutamanya di negara-negara seperti Malaysia.

Dari segi praktisnya, bioetika membantu saintis dan teknologis mendepani dilema yang timbul. Ia memandu perbincangan dalam menentukan betul atau salahnya sesuatu perkara, menetapkan tindakan yang dibenarkan dan dilarang, dengan mengambil kira aplikasi saintifik dan penggunaan teknologi.

Wujud perbezaan pendekatan antara bioetika Barat dan Islam. Berbanding bioetika Barat yang berteraskan pengalaman dan logik akal manusia semata-mata dalam menentukan betul salah sesuatu tindakan, bioetika Islam pula menjadikan pandangan agama sebagai teras bersumberkan wahyu.

Bioetika Barat disifatkan sebagai yang berasaskan kepada betul atau salah dengan memberi keutamaan kepada hak-hak individu, manakala bioetika Islam berasaskan amanah dan tanggungjawab manusia dan pada waktu sama, menunaikan hak-hak ALLAH, masyarakat dan individu. Pendekatan bioetika Islam meletakkan batas-batas atau hudud bagi memastikan manusia tidak melakukan sesuatu yang melanggar syariat Islam.

Bioetika Islam dibangunkan berteraskan aspek kepercayaan kepada ALLAH (iman) dan akhlak (ihsan) berbanding bioetika Barat yang berkisar tentang juzuk psikologi tabii manusia.

Dalam konteks bioetika Islam, ALLAH merupakan penentu betul atau salah sesuatu perkara. Pada masa sama, perintah atau larangan-Nya mempunyai sebab tertentu dan kehendak-Nya itu diperluas ke seluruh lapangan kehidupan.

Pendekatan pluralistik bioetika Barat pada masa kini diterima secara meluas dalam kalangan pengamal perubatan seperti yang diperkenalkan oleh dua ahli bioetika Amerika Syarikat iaitu Beauchamp dan Childress. Kedua-duanya memperkenalkan prinsip prima facie; prinsip yang dibangunkan daripada idea David Ross, ahli falsafah Oxford.

Prinsip berkenaan terdiri daripada empat perkara iaitu; tidak memudaratkan, ihsan, autonomi, dan keadilan. Walaupun keempat-empat perkara tersebut turut terkandung dalam ajaran Islam, adalah penting agar tafsiran Islam diberikan supaya prinsip-prinsip ini selari dengan ajaran Islam.

 Dalam membuat keputusan baik atau buruknya mengenai sesuatu penyelidikan sains dan pembangunan teknologi, saintis dan teknologis Muslim wajar merujuk kepada bioetika Islam sebagai panduan. Pada waktu yang sama, saintis dan teknologis Muslim perlu sentiasa berpegang kepada akhlak yang ditetapkan oleh Islam.

Bioetika Islam meletakkan bahawa “apa juga kebajikan yang ditemui, maka di situ wujudlah peraturan Tuhan” yang termaktub dalam dua sumber utama Islam iaitu al-Quran dan al-Hadis.

Pematuhan kepada bioetika Islam mampu menjaga dan memelihara hubungan manusia dengan ALLAH, hubungan sesama manusia, dan juga hubungan manusia dengan alam sekitar.

Justeru, perbincangan dan penerapan bioetika Islam dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan wajar diberikan perhatian serius demi memastikan manfaat dapat diraih dan kerosakan dapat dielakkan.

* Penulis ialah Felow Kanan/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

0 Komentar untuk " Kepentingan bioetika Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ