Jurang antara generasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jurang antara generasi

PADA umumnya jurang antara generasi bermaksud perbezaan pada umur di antara tua dan muda. Jurang ini juga bermaksud perbezaan pada nilai dan aspek pemikiran serta pendapat tentang sesuatu perkara.

Terdapat beberapa kategori pada jurang antara generasi iaitu Baby Boomers adalah individu yang dilahirkan sebelum tahun 1965; Generasi X ialah individu yang dilahirkan dari tahun 1965 sehingga 1980 dan akhirnya Millenials adalah warga yang dilahirkan mulai tahun 1980 dan seterusnya.

Banyak faktor yang menentukan perbezaan pada jurang ini. Umur, budaya dan teknologi adalah sebahagian daripada faktor yang mempengaruhi  jurang tersebut.

Ada kalanya, orang yang lebih tua tidak memahami keadaan warga muda terutamanya cara mereka berpakaian, bertutur dan membawa diri di tempat awam.

Selalunya, warga muda atau Millenials akan mempunyai slang atau cara mereka tersendiri untuk bertutur atau berbahasa dengan rakan mereka.

Kalau pada zaman ayah kita, mereka mempunyai kawan di sekeliling dan keluar bersama-sama serta melepak di kedai makan. Walaupun mereka tidak mempunyai banyak kemudahan pada masa itu, namun mereka mempunyai cara sendiri untuk menghabiskan masa bersama dengan kawan-kawan.

Bukan itu sahaja, pakaian juga menjadi satu faktor yang mempengaruhi jurang generasi tersebut.

Pada zaman Baby Boomers, pakaian lebih sopan dan formal. Jarang boleh kedengaran bahawa pakaian pada masa itu melampaui batas.

Tetapi dengan adanya teknologi terkini, ramai warga Millenials boleh akses kepada internet dan mendapat informasi terkini mengenai fesyen yang lebih hip dan happening.

Walaupun kita mempunyai etika berpakaian sebagai orang Islam, namun ada segelintir yang masih tidak memahami cara untuk berpakaian, terutamanya di khalayak ramai.

Kalau dikaitkan dengan unsur budaya, zaman Baby Boomers pula mempunyai perasaan hormat orang lebih tua yang amat tinggi. Mereka tidak pernah meninggikan suara walaupun pendapat bercanggah dengan ibu bapa mereka. Akan tetapi, zaman sekarang, ramai warga muda yang berani menjerit atau melawan kata ibu bapa.

Walaupun warga Baby Boomers tidak memahami cara Generasi X atau warga Millenials bertutur atau berkomunikasi, tetapi individu yang dilahirkan pada zaman milenium mempunyai kelebihan mereka sendiri.

Ramai eksekutif yang lebih senior mempunyai perasaan bias terhadap eksekutif muda.

Mengapa ini terjadi? Ini adalah kerana mereka beranggapan bahawa warga Millenials tidak mempunyai pengalaman bekerja dan hanya bergantung pada internet untuk mendapatkan informasi. Tetapi dengan perubahan yang berlaku, ramai warga Millenials tidak suka terkongkong dengan jadual harian yang rutin.

Tidak seperti Baby Boomers yang dahulu akan bekerja di satu-satu tempat sehingga mereka berpencen,

Generasi X dan Millenials sekarang sudah bebas dan tidak suka terikat dengan satu pekerjaan. Malah ada juga yang sudah mula mencari kerja di luar negara kerana ingin mencari pengalaman yang lebih baru dan luas.

Orang Asia memang terkenal dengan budi bahasa yang sopan dan tertib. Dan tidak dinafikan bahawa warga Millenials lebih cenderung untuk voice out pendapat mereka dari berdiam diri.

Ramai Baby Boomers tidak bersetuju dengan cara warga muda kerana ia dianggap biadab dan terlalu mengikut budaya Barat.

Walau bagaimanapun, ramai warga Millenials juga tidak suka cara pendekatan sama ada digertak atau dimarahi. Mereka lebih gemar cara komunikasi dua hala melalui perbincangan yang boleh memberikan mereka alasan rasional.

Pada zaman kemerdekaan, kita baru sahaja mendapat kebebasan untuk berkembang dan memajukan diri tanpa bergantung kepada bantuan luar negara.

Akan tetapi, kita masih ketinggalan dari segi teknologi. Pada masa itu kita hanya bergantung pada media seperti radio dan surat khabar untuk mendapat berita dan informasi.

Tetapi dengan teknologi canggih yang semakin berkembang, cara konvensional semakin luput dan warga Millenials hanya perlu menekan butang pada telefon pintar untuk menghantar emel kepada rakan atau saudara-mara.

Misunderstood adalah terma yang sesuai apabila kita sebut tentang individu yang dilahirkan pada Generasi X dan Millenials.

Ini berlaku kerana ramai Baby Boomers yang terpaksa hadapi cabaran perit semasa dan selepas zaman peperangan Jepun dan bekerja keras untuk menyara keluarga.

Apabila mereka melihat pada warga muda-mudi yang semakin senang, mereka berpendapat orang muda tidak tahu erti syukur pada kesenangan yang telah diberikan.

Tetapi untuk warga Millenials pula, mereka tidak suka dikongkong atau diberi arahan dan tidak faham cara kerja orang yang lebih tua daripada mereka.

Pendekatan yang terbaik boleh berlaku apabila kesemua generasi boleh duduk dan berbincang tentang kepincangan berlaku yang boleh menyebabkan terjadinya jurang antara generasi ini.

Persefahaman hanya akan terjadi jika mereka memahami keadaan masing-masing.

0 Komentar untuk " Jurang antara generasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ