Kita tak nak pemimpin ‘serba boleh’ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kita tak nak pemimpin ‘serba boleh’

SEBUAH daripada beberapa berita besar dan menarik dalam Sinar Harian Ahad lalu adalah laporan bertajuk ‘Program hiburan di TV melalaikan’.

Ia lebih memberi kesan kepada pembaca apabila perkara itu ditimbulkan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, program berunsurkan hiburan keterlaluan lebih banyak disiarkan dalam TV di negara ini, berbanding dengan program berunsurkan agama dan ini dibimbangi akan melalaikan umat Islam.

Walaupun bilangan program dan kelas penghayatan Islam sudah meningkat sama ada di kaca TV atau di masjid-masjid, menurut baginda, program hiburan masih lebih banyak.

Maka wajar sangatlah apabila baginda berharap jabatan dan agensi berkaitan agama, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan menggembleng tenaga ke arah memperkasakan akidah dan akhlak umat Islam.

Titah baginda, pelaksanaan kelas tadabbur al-Quran dalam kumpulan-kumpulan kecil bagi membincangkan pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran juga wajar dihidupkan supaya umat Islam dapat muhasabah dan menghubungkan realiti kehidupan dengan mesej kalimah yang suci daripada ALLAH.

Apa yang dititahkan oleh baginda itu terus mengingatkan saya kepada, antara lain, #AktifkanRumahNgaji yang dibarakan oleh Kumpulan Media Karangkraf, sebuah program penyatuan hati yang dilakukan untuk membawa mesej al-Quran bagi membentuk karakter ummah.

Sehingga kini, 850 Rumah Ngaji sudah pun diaktifkan di seluruh negara. Syabas kepada yang membarakannya dan syabas kepada yang menyumbang, menyokong serta mengikutinya.

Perlu disebut, matlamat Rumah Ngaji adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat membaca al-Quran, memahaminya serta mempraktikkan nilai mulia yang terkandung di dalam al-Quran bagi mendidik jiwa menjadi Islam sejati.

Tidak boleh dinafikan, ia adalah suatu usaha yang sangat diperlukan, apa lagi dalam keadaan 70 peratus daripada 13.4 juta umat Islam di negara ini didapati tidak membaca al-Quran atau tidak memahaminya.

Sebenarnya apa yang disuarakan oleh Raja Perlis itu selaras dengan kenyataan beberapa pihak.

Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) juga pernah mengeluarkan khutbah ‘Jihad Memerangi Kebatilan’ enam bulan lalu.

Antara lain, ia menyarankan umat Islam memboikot rancangan hiburan realiti TV yang boleh melalaikan dan tidak patuhi garis panduan syariat.

Program seperti itu disifatkan sebagai ‘gejala hedonisme’ (pentingkan keseronokan) yang diwujudkan ‘semata-mata untuk merosakkan pemikiran umat Islam, terutama remaja’.

Ada yang ‘berbentuk fitnah sesama artis, mengumpat atau mengeji, melaga-lagakan sesama artis, membuka aib artis dan sebagainya’.

‘Malah, ia membawa anasir negatif seperti lawak lucah, pendedahan aurat atau lelaki berpakaian wanita’.

“Kawallah minat anak kita daripada hiburan melalaikan dan asuhlah mereka meminati hiburan berteraskan syariat Islam. Mari kita boikot rancangan itu,” demikian isi khutbah itu.

Khutbah mengenai isu boikot itu disampaikan lima bulan yang lalu. Apakah sudah tiada lagi rancangan TV berunsur hiburan keterlaluan dan yang membawa ‘gejala hedonisme’? Atau ia teguran Jawi itu hanya seperti mencurahkan air di laun keladi? Pembaca budiman sendiri tahu jawapannya.

Kewujudan program-program yang melalaikan sangat membimbangkan kini, apa lagi dengan kurangnya pemahaman tentang agama di kalangan umat Islam.

Menurut seorang ustazah yang bercakap dalam sebuah program, statistik menunjukkan 22 peratus daripada 6,779 pelajar yang mengambil subjek agama dalam PMR tahun ini didapati tidak boleh mengucap syahadah, 23 peratus tidak tahu apa itu rukun Islam. dan hampir 25 peratus tidak tahu rukun iman.

Daripada 35 pelajar tingkatan lima sebuah kelas, hanya empat orang boleh baca al-Fatihah, surah yang wajib dibaca dalam setiap solat. Sungguh menyedihkan.

kalam, saya teringat apa yang ustaz saya kata mengenai ilmu dan kecemerlangan.

Katanya, kita perlukan pemimpin, wakil rakyat, doktor, kakitangan awam, jurutera, guru, akauntan dan lain-lain yang cemerlang dalam kerjaya dan cemerlang dalam agama.

Katanya, mereka yang cemerlang dalam kedua bidang ini akan bertindak selaras dengan kehendak agama. Insya-ALLAH.

Sebagai contoh, katanya, kita tidak mahu pemimpin serba boleh; agama pun boleh, rasuah pun boleh, arak pun boleh dan seleweng pun boleh.

Dipendekkan cerita, kita mahu jadi umat yang lakukan apa yang ALLAH suka, walaupun semua manusia tidak suka, dan tidak lakukan apa yang ALLAH tidak suka, walaupun semua manusia suka.

0 Komentar untuk " Kita tak nak pemimpin ‘serba boleh’ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ