Kalaulah dulu-dulu ada PU - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kalaulah dulu-dulu ada PU

SEPERTI yang diakui dakwah adalah kewajipan setiap Muslim. Selagi ada orang berdakwah, sinar Islam akan terus menerangi alam, juga akan memberi cahaya kehidupan buat seluruh makhluk.

Mudah menyebut istilahnya, tetapi bukan mudah melakukan kerja wajib ini. Pengalaman saya sendiri mendapati ada seribu satu halangan untuk menjelaskan pengertian Islam dan kebesaran ALLAH.

Berdakwah dengan orang yang paling rapat dengan saya pun – isteri, anak-anak yang tinggal sebumbung, dan sama agama – begitu banyak cabarannya. Maka, lebih mudah lagi untuk saya berdakwah kepada bukan Islam.

Jiran saya kiri-kanan orang bukan Islam. Sejak lebih 20 tahun saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan mereka. Tidak pernah berselisih pendapat, jauh sekali berkelahi hentak-hentak pintu pagar atau pecahkan cermin kereta.

Di sebelah kanan, keluarga Encik Foong penganut Buddha. Di sebelah kiri ialah keluarga Encik Kong, hingga kini saya tidak pasti Kristian atau Buddha.

Kami saling menghormati. Bulan puasa kalau ada kuih-muih tradisional untuk berbuka, isteri saya akan menghantar sedikit kepada jiran bukan Islam itu. Hari Raya mereka sama-sama menghadiri rumah terbuka saya, siap membawa buah-buahan atau coklat sebagai buah tangan.

‘Gong Xi Fa Cai’ atau Krismas keluarga saya pula berkunjung ke rumah mereka. Tanpa paksaan, kami sudah hidup harmoni sejak sekian lama.

Tetapi, sebagai orang Islam saya masih gagal berdakwah kepada mereka. Pada hal dakwah amat dituntut, terutama kepada jiran. Dua dekad bersebelahan dan saling bertegur sapa, saya masih gagal untuk mengajar mereka mengenai agama ALLAH. Sebenarnya saya takut! Selama ini kami baik dan saling memahami. Bimbang pula sekiranya terjadi perkara-perkara tidak manis apabila saya cuba berdakwah kepada mereka.

Contoh: memanglah bagus sekiranya saya dapat menjelaskan ayat-ayat suci al-Quran kepada jiran, dan mereka boleh menerimanya dengan perasaan terbuka. Tetapi, apa akan terjadi sekiranya penjelasan saya mengenai kitab suci itu menjadikan mereka marah?

Lebih teruk lagi jika penjelasan saya itu membuatkan mereka memulaukan saya dan keluarga. Malanglah sekiranya keharmonian yang terjalin selama ini tercemar hanya sebab saya cuba membawa mereka kepada Islam.

Maaf cakap, bukan senang untuk berdakwah kepada mereka. Lebih-lebih lagi saya bukan dilatih untuk menjadi pendakwah. Saya percaya pendakwah perlu mempunyai ilmu dan perkara-perkara asas untuk kerja murni ini.

Sebab itu saya memuji sikap prihatin sesetengah stesen TV yang dari semasa ke semasa berusaha melahirkan pendakwah, menerusi program-program realiti TV. Semalam saya menonton Mimbar Akhir Pencetus Ummah, terbitan Astro Oasis.

Terpegun saya pada para finalis, semua pada usia muda, dapat menyampaikan hujah dan fakta yang menyentuh isu-isu hangat semasa mengenai Islam, seperti Islamophobia, kebesaran al-Quran dan lain-lain.

Gaya mereka berhujah – diselitkan dengan hadis dan nas – amat memikat dan menusuk. Kalaulah waktu zaman muda saya dulu ada program seperti PU mungkin saya berjaya berdakwah terhadap keluarga Foong dan keluarga Kong.

Saya ucapkan syabas kepada pemenang mimbar akhir semalam. Syabas juga kepada yang tidak menang. Menang atau tidak saya percaya semua finalis ini dapat berperanan sebagai pendakwah, insya-ALLAH.

Program realiti TV sebelum ini telah melahirkan pendakwah-pendakwah bernas dan berilmu. Antaranya PU Hafiz, PU Azman dan Imam Muda Asyraf yang malam tadi dipanggil sebagai mualim jemputan untuk menyampaikan tazkirah. Mereka hebat mengupas isu, berkesan di hati.

Maka, terbayang saya betapa susahnya cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW ketika menyebarkan cahaya Islam 1,400 tahun lalu. Kalaulah Baginda ada bersama kita dalam era yang mencabar ini pasti Nabi Besar itu dapat menghadapi Islamophobia, IS dan lain-lain isu Islam masa kini.

Apa pun kita masih ada al-Quran dan sunah. Inilah yang mesti dijadikan asas oleh setiap Muslim, khasnya pendakwah, untuk terus menyemarakkan sinar Islam. Marilah kita sama-sama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran dan sunah setiap detik, dalam kehidupan harian. Sekali lagi syabas kepada PU, hanya di Astro Oasis.

#KitakanIslam, Buat kerana Allah

0 Komentar untuk " Kalaulah dulu-dulu ada PU "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ