I-OK produk bantu mudah pergerakan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

I-OK produk bantu mudah pergerakan

BERHARAP dapat membantu golongan kurang upaya yang senasib, Mohd Nazmi Mohd Salleh mengubahsuai tongkat berkaki empat sedia ada dengan mempelbagaikan kegunaannya yang dikenali sebagai I-OK.

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dalam bidang kaunseling itu berkata, produk itu tercetus berikutan kesusahannya sendiri berjalan pada jarak yang jauh.

Dalam pada itu, keinginan itu juga lahir sejak di bangku sekolah menengah lagi untuk menghasilkan sesuatu produk yang boleh membantu golongan sepertinya bergerak dengan mudah.

"I-OK adalah projek di bawah fakulti dengan disertai tiga lagi rakan saya iaitu Muhammad Faizul Mokhtar, Nor Faidhilatul Asma Ramely dan Nur Aqilah Ishak.

"Semuanya bermula dengan bantuan pensyarah dan juga ketua program kaunseling, Dr Salhah Abdullah yang berjumpa saya dan menyatakan ideanya untuk diubahsuai tongkat saya kepada lebih mesra pengguna," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Jabatan Kemajuan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kajang, baru-baru ini.

Tongkat itu bukan sahaja boleh digunakan bagi orang kelainan upaya (OKU) tetapi juga kepada warga emas dan individu yang mengatasi masalah pergerakan.

Menurutnya, Dr Salhah sudi membantu sepenuhnya dengan mengeluarkan sedikit kos bernilai RM1,000 bagi projek berkenaan.

I-OK tidak menggunakan kos tinggi kerana ia menggunakan bahan-bahan yang boleh di kitar semula.

Mohd Nazmi yang merupakan ketua kumpulan itu berkata, inovasi produk itu dijalankan dalam empat peringkat bermula pada awal 2014 sehingga akhir 2014.

Produk I-OK ini juga mendapat pengiktirafan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Empat peringkat penambahbaikan

Bagi peringkat permulaan tongkat itu diberikan penambahbaikan dengan meletakkan tempat duduk dengan menggunakan kain perca.

"Kami mengikat kain itu pada tongkat sedia ada sebagai tempat duduk. Bagi peringkat ini, kami berjaya memasuki pertandingan antara fakulti dan mendapat tempat kedua," katanya.

Rentetan daripada itu, kumpulannya menambah baik tongkat itu dengan menggantikan alas tempat duduk menggunakan besi dan tali pinggang kain agar memudahkan ia digelongsorkan.

Pada peringkat kedua itu, kumpulannya memasuki pertandingan inovasi di Usim (Ireka) antara fakulti.

"Bagi peringkat ketiga, kami menambah roda pada kaki tongkat di bahagian hadapan.

"Peringkat ini pula, kami berjaya memasuki peringkat kebangsaan dan mendapat tempat kedua yang diadakan di Pulau Pinang," katanya.

Manakala, bagi peringkat keempat, tongkat itu telah ditambah baik dengan menambah tempat letak barang pada bahagian bawa tempat duduk berkenaan.

Hasrat mahu komersialkan

Mohd Nazmi yang merupakan pembantu kaunselor di ILPP berkata, pihaknya sememangnya ada perancangan mengkomersialkan I-OK.

"Kami menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak tentang mengkomersialkan produk ini.

"Kami jangka jika tiada sebarang halangan, mungkin menjelang akhir 2016 produk ini boleh berada di pasaran," katanya.

Namun,  untuk ke arah itu ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan seperti perlu bertemu dengan pakar perubatan dan jurutera bagi memastikan produk I-OK benar-benar sesuai dan selamat digunakan.

Mohd Nazmi berkata, pihaknya perlu menghasilkan I-OK menggunakan bahan-bahan yang baik dan ringan agar ia lebih mesra pengguna.

Bukan itu sahaja, untuk dikomersialkan pihaknya perlu berbincang dengan pembekal atau pengeluar yang boleh menghasilkannya.

"Di negara ini, tidak ada kilang mengeluarkan sepenuhnya tongkat seumpama ini.

"Jika ada pun kilang itu, ia hanya membuat pemasangan tetapi memerlukan bahan mentah dari luar," katanya.

Mohd Nazmi berkata, jika ada peluang, dia berhasrat menghasilkan lebih banyak produk membantu  OKU.

0 Komentar untuk " I-OK produk bantu mudah pergerakan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ