Gagal kawal perbelanjaan kad kredit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gagal kawal perbelanjaan kad kredit

KAD kredit mempunyai kelebihan, namun jika tidak digunakan dengan bijak, ramai  terjerumus dengan hutang yang banyak. Sikap boros dan suka berbelanja menggunakan kad kredit antara penyumbang ke arah tidak sihat sehingga pengguna boleh diisytiharkan muflis.

Kebanyakan kes berlaku di kalangan orang muda yang ingin kelihatan bergaya walaupun pendapatan tidak seberapa. Bak kata pepatah, 'biar papa asalkan bergaya', menyebabkan penggunaan kad kredit sebagai alternatif pembayaran sering disalah guna.

Fahami syarat sebelum guna kad kredit

Kebanyakan golongan muda terjebak dengan penggunaan kad kredit sebagai pembayaran perbelanjaan  daripada semua perkara termasuk barangan keperluan, minyak kereta, belanja harian dan sebagainya.

Tindakan berbelanja sakan menggunakan kad kredit tanpa had menyebabkan mereka tidak mampu membuat pembayaran balik.

Sebaiknya, penggunaan kad kredit digunakan sewaktu kecemasan dan ‘pinjaman’ tersebut harus dibayar dengan segera.

Biasanya, caj tambahan dikenakan melebihi penggunaan sedia ada jika lewat melakukan pembayaran.

Situasi tersebut menjadi igauan ngeri tambahan setelah nama termasuk dalam senarai hitam.

Bagi menyelamatkan kehidupan individu daripada terbeban dengan hutang, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan khidmat nasihat kepada penghutang tegar.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Mohamad Khalil Jamaldin berkata, mengikut statistik, hampir 80 peratus golongan muda terlibat dengan Program Pengurusan Kredit (PPK) kerana gagal mengawal penggunaan kad kredit.

“Daripada statistik ini, boleh disimpulkan, masih ramai tidak tahu atau kurang memahami tujuan penggunaan kad kredit.

“Kad ini adalah medium pembayaran alternatif bagi menggantikan wang tunai yang dibuat secara elektronik memudahkan pembelian barangan atau mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Kad kredit merupakan instrumen berguna jika tahu menggunakannya dengan bijak, ia boleh menjadi ‘serampang dua mata’.

Sebagai tambahan, pengguna dapat menikmati tempoh tanpa faedah di antara 20 hingga 50 hari jika membayar balik hutang kad kredit secara sepenuhnya sebelum tarikh akhir pembayaran.

Tutup akaun elak hutang bertimbun: PPIM

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan pengguna agar menutup akaun kad kredit supaya tidak berhadapan kadar faedah melampau.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, faedah bank semakin tinggi disebabkan pengguna gagal membayar semua baki hutang sehingga di senarai hitam Bank Negara Malaysia (BNM).

“Setiap kali lambat atau terlupa membayar pada tarikh tertentu, bank akan mengenakan caj berpanjangan.

“Contohnya, hutang hanya RM50 namun pengguna dikenakan cas sehingga RM100,000 disebabkan baki tidak berbayar selama 20 tahun,” katanya.

Walaupun PPIM tiada rekod untuk kes sebegitu dalam jumlah tinggi, namun PPIM menerima 30 aduan berkaitan kes ini pada awal tahun ini.

Jika tidak mampu mengawal perbelanjaan, jangan memohon kad sama sekali.

“Jangan ditangguh pembayaran hutang kad kredit kerana ia akan sentiasa meningkat dari hari ke hari.

“Jika salah percaturan, golongan muda terpaksa menanggung bebanan hutang hingga ke usia tua,” katanya.

Bagi mengatasi masalah muflis pada usia muda, PPIM menyarankan BNM memantau permohonan terutamanya golongan belia.

Kerajaan juga harus bertindak memantau promosi-promosi kad kredit secara berleluasa.

“Kad ini diwujudkan sebagai alternatif pembayaran sementara dan sekiranya wang mencukupi, hutang tersebut harus dibayar segera,” katanya.

0 Komentar untuk " Gagal kawal perbelanjaan kad kredit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ