Fairy Bakery bakal buka kedai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fairy Bakery bakal buka kedai

FAIRY Bakery, syarikat pengeluar roti Bumiputera bakal membuka kedai roti yang pertamanya dijangka pada suku kedua tahun depan, dengan nilai pelaburan dianggarkan berjumlah RM10,000.

Pemiliknya, Siti Nur Hafiza Rozali berkata, pada masa ini, syarikat itu dalam proses mencari premis sesuai untuk membangunkan kedai rotinya di Klang atau Shah Alam.

"Jumlah pelaburan itu akan digunakan sebagai kos mengubahsuai kedai memandangkan kelengkapan lain seperti mesin pembuat roti dah ketuhar sudah ada.

"Buat masa ini, saya membuat roti di rumah saya di Shah Alam, dengan dibantu seorang sepupu. Dengan pembukaan kedai roti nanti, kami akan beroperasi di sana termasuk, membuat roti dan menjualnya, selain disediakan khidmat penghantaran," katanya.

Beliau berkata, sejak mula mengeluarkan roti pada awal tahun ini, produk Fairy Bakery mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, produk bakeri keluaran Fairy Bakery kini boleh didapati di 18 kedai termasuk kafe, kedai runcit, pasar raya, sebuah stesen minyak dan pusat pemborong di sekitar Klang dan Shah Alam.

"Buat masa ini, kami mengeluarkan 1,000 unit roti dalam seminggu untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap kami dan membuat penghantaran dua kali seminggu.

"Selain itu, Fairy Bakery turut menerima tempahan lain daripada pelanggan menerusi laman sosial Facebook," katanya.

Menurutnya, syarikat itu menjangkakan untuk meningkatkan pengeluaran roti sebanyak 1,000 unit sehari apabila kedai rotinya mula dibuka kelak, sekali gus menampung permintaan pelanggan.

"Sebelum ini, Fairy Bakery hanya mengeluarkan coklat hantaran dan biskut dan terbaharu adalah roti. Kami yang beroperasi selama lima tahun sebelum ini dikenali dengan nama Puteri, sebelum dikomersialkan menjadi Fairy Bakery.

"Bagaimanapun, kami masih menerima tempahan pelanggan untuk produk-produk lain bergantung kepada permintaan pasaran," katanya.

Setakat ini, katanya, Fairy Bakery mengeluarkan lima jenis roti sosej, sarang lebah, kacang merah, 'chicken floss' dan keju yang dijual pada harga borong antara RM1.70 hingga RM2 seunit.

"Dalam pertengahan bulan ini, kami akan mengeluarkan swiss roll dan aneka jenis donut," katanya.

0 Komentar untuk " Fairy Bakery bakal buka kedai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ