Buat baik biar bertempat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Buat baik biar bertempat

IA persis adegan drama mengenai sebuah keluarga yang soleh. Si ayah mengimamkan solat tiga anaknya yang masih kecil. Seusai memberi salam, dia berwirid panjang. Kemudian berdoa, pun panjang juga.

Anak-anak menadah penuh taat.

Selesai berdoa, seorang demi seorang anak-anak bersalam dan memeluk ayah mereka.

Saya percaya, sesiapa pun jua yang melihat  adegan itu pasti akan sejuk hatinya serta merta. Tetapi malangnya,  ia tidak bagi saya, dan mungkin orang lain yang pada masa itu sedang berasak-asak menanti ruang di muka pintu musolla.

Bagaimana mahu sejuk hatinya kalau si ayah – yang seperti berada di dalam dunianya yang tersendiri – langsung seperti tidak sedar akan kewujudan kami?

Sudahlah  Subuh waktunya singkat , ruang pula terhad dan masih  ramai menunggu tempat di dalam musolla yang sempit itu untuk menunaikan solat.

Yang pasti, masing-masing ketika itu dalam perjalanan jauh.

Memang didikan seperti  itu sangat indah, mengajar anak menjadi soleh tetapi yang afdalnya adalah di rumah, bukan di musolla hentian rehat dan rawat lebuh raya.

Betapa tidak afdalnya cara itu juga kerana ia dilakukan pada ketika orang ramai berpusu-pusu menggunakan lebuh raya untuk balik kampung pada musim cuti perayaan.

Namun itulah realiti yang pernah saya - dan pastinya ramai orang lain juga – hadapi. Justeru, tidak hairanlah jika dalam kedinginan subuh, dihadapkan dengan apa yang sepatutnya menyejukkan hati, hati saya sendiri sebaliknya menjadi panas.

Tidak. Apa yang dilakukan adalah tidak salah malahan ia sangat baik. Yang tidak baik adalah masa dan tempatnya tidak yang tidak sesuai.

Saya tidaklah layak untuk membahaskan isu hukum kerana ia akan membawa kepada tajuk lain. Soal berdoa selepas solat, ada pendapat memadai sekurang-kurangnya tiga kali istighfar dan itu sudah boleh dikira doa. Ada yang memberatkan kepada doa seolah-olah ia mesti dilakukan, dan ada juga mengaitkan isu doa selepas solat sebagai bersandar kepada hadis yang daif semata-mata.

Dalam keadaan itu, saya kira yang perlu lebih diberi keutamaan ialah memberi ruang kepada orang dewasa yang telah difardukan ke atas mereka untuk bersolat, bukan mendidik anak-anak yang belum akil baligh untuk berjemaah, yang perkara itu boleh ditangguhkan untuk dilakukan di rumah.

Sudahlah itu, doa dan wiridnya pun teramatlah panjang sedangkan orang yang beratur menunggu ruang untuk solat masih begitu ramai di luar.

Bagaimana jika ada yang masih tidak mendapat ruang hingga hujung waktu?

Saya bukan anti orang agama, geng kelab kopiah ataupun orang masjid. Saya mengupas perkara ini – yang mungkin tidak jadi isu bagi penulis lain – kerana saya yakin hal yang seperti ini sering berlaku, banyak berlaku dan menyebabkan ramai orang makan hati tetapi tiada tempat untuk mengadu.

Jadi saya  tulis juga walaupun ini mungkin akan membangkitkan reaksi yang negatif  terhadap diri saya seolah-olah saya anti orang agama. Tujuan saya supaya terbangkit kesedaran oleh mereka yang mungkin berkenaan supaya tidak lagi bersikap mementingkan diri, juga riyak ataupun ujub.

Apa lagi bagi mereka yang jauh lebih memahami isu-isu ‘fiqh awlawiyat’ iaitu memberi keutamaan pada perkara yang lebih perlu diutamakan berbanding keutamaan yang lain mengikut hukum fiqh, berbanding saya yang serba jahil ini.

Sesungguhnya saya adalah antara orang yang pernah makan hati apabila dihadapkan dengan situasi seperti ini.

Kes di hentian rehat dan rawat itu hanya salah satu contoh. Sebenarnya hal-hal yang seumpama itu banyak berlaku di mana-mana.

Pergilah ke musolla pasar raya atau mana-mana lokasi tumpuan ramai terutama pada waktu Maghrib. Anda dengan mudah akan dapat lihat kewujudan jenis individu yang  tidak kisah untuk berwirid dan berdoa panjang pada ketika orang lain berasak-asak menunggu ruang untuk bersolat.

Itu yang lelaki, wanita lebih lagi.

Tidak.

Saya tidaklah pernah ‘skodeng’ ke ruangan wanita di musolla atau masjid. Akan tetapi banyak rungutan yang sampai kepada saya daripada kawan-kawan wanita bahawa memang ada kakak-kakak yang jenis bermuka selamba,  tidak kisah untuk bersolek sepuas hatinya tanpa mempedulikan orang lain sesudah solat.

Mereka mengambil ruang dalam musolla yang sempit, yang seharusnya diberikan kepada orang lain untuk menunaikan tuntutan agama sebaliknya wajah, penampilan dan rupa paras mereka yang lebih diutamakan.

Mudah-mudahan rungutan saya ini dapat mengilhamkan kesedaran kerana walaupun hal yang seperti ini mungkin remeh bagi sesetengah orang tetapi implikasinya bagi kita orang Islam adalah sangat berat. Ia mungkin membabitkan hukum agama yang kita tidak sedari, juga soal hubungan kita dengan ALLAH dan sesama manusia.

0 Komentar untuk " Buat baik biar bertempat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ