Al-quran dan konsep pemikiran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-quran dan konsep pemikiran

AL-QURAN terkandung fikrah dan apabila diolah dan dijana sumber naqliah ini menjadi petunjuk untuk manusia khususnya mereka yang muttaqeen. Pemikiran yang Qurani amat penting bagi memahami yang nyata dengan yang ghaib. Tanpanya ia bergantung kepada upaya akal semata-mata dan sifatnya terbatas.

Pemikiran adalah suatu proses kognitif dan mampu menjana ilmu. Pemikiran itu sendiri harus terhubung dengan faktor naqliah supaya terbentuk sudut pandangan yang Qurani sifatnya. Pemikiran yang bebas daripada pengaruh naqliah tidak akan terbentuk tasawwurnya dan ia cenderung kepada pemikiran sepihak.

Pemikiran sepihak sifatnya akliah semata-mata berasaskan maklumat, data dan fakta yang diperoleh hasil proses pemikiran, perenungan, pencerapan yang tidak dipandu oleh faktor naqliah. Al-Quran adalah kalimah ALLAH terkandung maklumat, fakta dan data yang sifatnya memberi petunjuk. Maklumat aqliah dan petunjuk naqliah yang sifatnya menyantuni memberikan pemikiran Qurani bermaksud untuk menyatakan kebenaran yang hakiki.

Ilmu yang dijana hasil pemikiran manusia sifatnya terbatas. Ia terbatas dalam skop empiris atau uji kaji yang membawa natijah rasional. Ia tidak mampu menjangkau hal-hal ghaibiyyah yang menuntut ilmu naqliah bersamanya.

Justeru pemikiran Qurani yang membawa perspektif seimbang tidak akan terjadi sekiranya hasil pemikiran manusia berasaskan fakta dan data semata-mata kerana di sebalik apa yang dikaji oleh manusia dalam bentuk rahmah dan hikmah ALLAH sifatnya melampaui akal fikir manusia. Fikir dan zikir harus bergerak seiring supaya cakupan pemikiran tidak saja akliah sifatnya tetapi juga naqliah bentuknya.

Oleh itu al-Quran menjadi sumber utama mempedoman fikir dan menyantuni ilmu. Ilmu yang Qurani membentuk fikrah yang Qurani juga. Ilmu yang sifatnya bebas nilai lebih bersifat mekanistik dan jauh dari petunjuk. Pemikiran tidak dibentuk secara integratif. Asas tasawwur menjadi tidak seimbang dan akhirnya cara manusia berfikir dan melihat sesuatu menjadi tidak seimbang juga.

Pemikiran mengenai kemajuan umpamanya lebih tertumpu kepada kemajuan benda, alat dan teknologi. Pemikiran yang Qurani melihat kemajuan bermula dengan kemajuan rijal atau manusia seutuhnya dalam seluruh fakulti dirinya. Binaan tasawwur yang holistik menjadikan pemikiran lebih terarah dan melihat manusia menjadi faktor utama kemajuan. Teknologi selamanya alat bukan matlamat. Nilai guna teknologi yang membangun akal budi manusia menjadi matlamat.

Pemikiran Qurani dalam memahami ilmu diolah menerusi jendela naqliah. Jendela naqliah memberikan pedoman mengenai yang haq dan batil, salah dan benar, maaruf dan mungkar, bermanfaat atau sebaliknya. Asas ini sangat penting dibangunkan supaya pemikiran Qurani sentiasa bertunjangkan aqidah tauhid, menepati maksud ibadah dalam erti kata yang luas, dipedoman oleh syariat yang mengatur dan mentertibkan dan terbentuk akhlak karimah yang menjadi sumber ikutan.

Pemikiran Qurani dalam memahami pendidikan terbentuk bila maksud pendidikan terhubung dengan proses mengadabkan insan. Cakupan pendidikan bukan sekadar akal dan jasmani tetapi mengolah susunan gerak hati dan niat supaya ia tidak bercanggah. Maksud terakhir pendidikan yang Qurani sifatnya ialah perubahan pemikiran, diri, sikap dan gelagat teradun dalam syariat ALLAH.

Pemikiran Qurani dalam memahami peradaban mempunyai kaitan langsung dengan faktor Rabbaniah di mana al-Quran dijadikan rujukan untuk membangunkan ilmu dan manusia supaya sifatnya menyumbang kepada kesejahteraan manusia dan sistem.

Peradaban tidak akan lahir kalau dukungan ilmu dan akhlak tidak terjadi.

Pemikiran Qurani dalam pemikiran aras tinggi merujuk kepada al-Quran sebagai sumber mendapatkan kebenaran atau haq. Pemikiran yang bersifat akliah semata tidak mampu mencetuskan pemikiran aras tinggi. Aras tinggi terhubung langsung dengan mukjizat ALLAH iaitu al-Quran yang terkandung tafsir mengenai yang nyata dan ghaib.

Pemikiran aras tinggi memberikan pedoman kepada manusia supaya berfikir dalam kerangka tauhidik yang sifatnya merentasi. Ia bakal membina sifat ubudiyyah yang tinggi sebagai prasyarat orang-orang yang beriman dan bertakwa. Tanpa keimanan dan takwa asas ubudiyyah tidak akan berlaku, tasawwur Qurani tidak akan terbentuk. Tasawwur Qurani memberikan manusia perspektif yang ghaib dan yang nyata dan ia menjadi landasan penting membangunkan pemikiran Islam yang sifatnya mencakupi.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-quran dan konsep pemikiran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ