Tinggalkan kerjaya demi minat jadi jurusolek - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tinggalkan kerjaya demi minat jadi jurusolek

TEMPOH 18 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk membina kerjaya dalam bidang pekerjaan.
     
Masa itu cukup mengajar erti kesabaran, pengorbanan dan kegigihan bagi mengecap impian memegang jawatan besar di dalam syarikat.

Bukan mudah untuk seseorang mengambil keputusan meletak jawatan demi sesuatu yang diminatinya sejak kecil. Apatah, dia sudah menganggap rakan-rakannya seperti keluarga sendiri.

Itulah yang terjadi kepada Norzila Hussin, 49, yang bermula sebagai kerani di sebuah syarikat swasta antarabangsa sejak 18 tahun lalu, sebelum memegang jawatan sebagai pengurus kajian dan penyelidikan.

Namun, kerjaya kukuh dengan gaji mencecah lima angka tidak menjamin masa hadapan yang baik baginya dan keluarga.

Norzila akhirnya gagal mempertahankan kerjaya yang dibina selama ini demi minatnya yang begitu mendalam di dalam bidang kecantikan sebagai jurusolek.

Mengakui meminati bidang solekan sejak kecil, namun dipendamkan sahaja sehinggalah sembilan tahun lalu, keinginannya itu begitu kuat membawanya berjinak-jinak dalam dunia tersebut.

Bermula dengan mengisi masa lapangnya menghadiri kursus dan kelas solekan. Dari situlah, kerjaya kedua Norzila sebagai juru solek.

"Pada mulanya, permintaan untuk solekan hanya saya ambil ketika hujung minggu atau selepas waktu bekerja.

"Tetapi, berikutan permintaan tinggi, ia kadang-kadang mendesak saya untuk mengambil cuti apabila memerlukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Spa Bluewave Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, kerjaya dan dunia solekan adalah satu bidang berbeza dan permintaan sebagai jurusolek mendapat sambutan yang baik.

"Saya sangat sayangkan kerjaya sebelum ini dan begitu juga dengan minat. Namun, untuk melakukan kedua-dua dalam satu masa adalah sukar. Bukan itu sahaja, masa bersama keluarga juga sangat terhad.

"Oleh itu, saya terpaksa membuat keputusan untuk memilih hanya salah satu di antara kerjaya atau minat," katanya.

Enam bulan buat keputusan

Norzila mengambil masa selama enam bulan untuk betul-betul nekad membuat keputusan yang akan menentukan masa hadapannya.

"Mahu pilih kerjaya atau minat. Ia adalah satu keputusan yang amat sukar.

"Demi keluarga, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan meneruskan minat sebagai jurusolek," katanya.

Mengakui berasa sedih meninggalkan syarikat yang memberikan rezeki sejak 18 tahun lalu.

"Namun, saya sentiasa positif dan akan berfikir apa akan jadi terhadap anak-anak dan keluarga jika saya terus melakukan kedua-dua kerja itu.

"Kebiasaannya, waktu kerja dahulu, saya hanya akan pulang pada jam 9 malam. Sabtu dan Ahad, saya ambil masa untuk menerima tempahan pelanggan. Mana masa untuk keluarga saya," katanya.

Kini, tindakannya membawa kegembiraan kepada anak-anaknya kerana Norzila mempunyai masa yang banyak bersama keluarganya.

Suami pendorong kejayaan

Dua tahun pertama penglibatannya di dalam dunia solekan tidak mendapat sokongan yang penuh daripada suaminya.

Bagi mencapai keinginannya, Norzila menghadiri kursus dan kelas solekan tanpa pengetahuan suaminya.

"Sepanjang tempoh itu, walaupun sibuk mana saya tidak pernah meninggalkan rumah tanpa menyediakan sarapan pagi sebelum keluar rumah.

"Berkat kesungguhan itulah, akhirnya suami mula memberikan sokongan untuk saya meneruskan minat di dalam dunia solekan," katanya.

Suaminya memberikan sokongan penuh di dalam dunia solekan dan menjadi pendorong kepada perniagaannya sehingga kini.

Hari ini, Norzila banyak menerima tempahan solekan bagi majlis pertunangan, perkahwinan mahupun majalah dan surat khabar tempatan.

Walaupun pendapatannya tidaklah seperti gaji di tempat kerjanya sebelum ini, namun ia cukup bermakna apabila Norzila mampu menguruskan masanya bersama keluarga.

Selepas setahun berhenti kerja dan meneruskan kerjaya sebagai jurusolek, Norzila berjaya membuka spa sendiri dengan mengambil alih spa yang terletak di Hotel Bluewave Shah Alam pada September tahun lalu.

Dia memilih membuka perniagaan itu kerana ia berkaitan dunia kecantikan.

"Saya tidak ada pengalaman di dalam bidang itu, jadi saya mempelajari bidang berkenaan dengan menghadiri pelbagai kursus-kursus berkaitan.

"Mula-mula agak sukar tetapi apabila kita tahu segala-galanya tentang spa ia kini semakin mudah," katanya.

0 Komentar untuk " Tinggalkan kerjaya demi minat jadi jurusolek "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ