Sports Direct.Com pilih Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sports Direct.Com pilih Malaysia

PERUNCIT nombor satu dari United Kingdom dan terkenal sebagai destinasi membeli-belah barangan sukan Sports Direct.Com, memilih Malaysia sebagai destinasi pertama di Asia kerana kestabilan ekonomi dan kuasa membeli peralatan sukan di negara ini tinggi berbanding negara lain.

Pengarah Urusan Sports Direct.Com, Paul Gibbons berkata, antara barangan sukan yang mempunyai permintaan tinggi di gedung sukan tersebut ialah kecergasan dan larian, kelengkapan mendaki dan perkhemahan, badminton dan berenang.

Menurutnya, Sports Direct.Com mempunyai 28 jenama sukan antarabangsa antaranya Sandico, Kangol, Carlton, Slazenger, Karrimor, Dunlop Sport, Soviet, Everlast dan Firetrap.

“Sports Direct.Com berada di sini sejak tiga tahun lalu dan kami menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat barangan sukan di setiap cawangan kami.

"Setakat ini kami mempunyai 13 cawangan di seluruh Malaysia dan cawangan Kota Kinabalu, Sabah menunjukkan potensi yang baik,” katanya pada Sinar Harian.

Gibbons berkata, Sports Direct.Com juga menjadi pilihan di negara ini dipacu harga barang sukan berpatutan bermula RM59 hingga RM700 dan kuasa membeli penduduk tinggi kerana sering ke pusat gimnasium atau mengikuti kursus kesihatan dan kecergasan untuk mengamalkan  gaya hidup sihat.

“Untuk memenuhi permintaan itu, Sports Direct.Com melaburkan kira-kira RM50 juta pada tahun ini untuk pembukaan beberapa cawangan baharu di Malaysia.

"Kami menjangkakan akan menambah 15 hingga 17 cawangan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

“Kami melabur kira-kira RM3 juta bagi setiap pembukaan cawangan baharu antaranya di Alor Setar, Kedah,” katanya.

Jelasnya, Sports Direct.Com merancang menjalankan perniagaan online pada 2016 bagi memudahkan pelanggannya mendapat barangan sukan terutamanya golongan muda yang gemar menggunakan kemudahan internet untuk membeli-belah.

Bagaimanapun dia optimis, kebanyakan pelanggannya gemar berkunjung ke stor berhampiran untuk melihat sendiri kualiti barang sukan yang dibeli dan mencuba sebelum memutuskan untuk membeli.

“Mereka akan membeli secara online apabila melakukan pembelian untuk kali kedua. Kami tetap akan membuka beberapa cawangan baharu dan aspek dititikberatkan ialah kemudahan kepada pelanggan kami antaranya kemudahan meletakkan kenderaan dan jauh daripada gedung sukan jenama lain,” katanya.

Sports Direct.Com menyasarkan pertumbuhan jualan dua digit iaitu RM100 juta pada tahun ini berbanding RM50 juta pada tahun lalu.

“Ia dipacu peningkatan jualan di beberapa cawangan baharu sepanjang tahun ini. Pelaksanaan sistem GST berkuatkuasa pada 1 April lalu, tidak memberikan kesan kepada perolehan syarikat.

“Kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Kami tidak mengenakan caj GST tetapi kami menyerap dan menanggung cukai enam peratus,” katanya.

Sports Direct.Com juga merancang memperkenalkan pakaian renang Muslimah dalam masa terdekat.

Sports Direct.Com mempunyai lebih 900 cawangan di luar negara memasuki pasaran Malaysia pada 2013.

0 Komentar untuk " Sports Direct.Com pilih Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ