Songket klasik, tidak ketinggalan zaman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Songket klasik, tidak ketinggalan zaman

PEREKA fesyen terkenal, Othman Abdullah atau dikenali sebagai Man Kajang sering menerima tempahan songket untuk dijadikan pakaian sejak terlibat dalam bidang jahitan dan fesyen 20 tahun lalu.

“Tempahan songket untuk majlis perkahwinan, majlis keraian serta digayakan pada hari raya meningkat setiap tahun.

“Kebanyakan pelanggan mahu kelihatan klasik dan ada yang menggabungkan antara moden dan tradisional untuk kelihatan menawan pada hari bahagia mereka,” katanya.

Dalam setahun, Man Kajang menerima tempahan 60 hingga 70 pasang pakaian perkahwinan menggunakan fabrik songket dan pernah mencecah 100 pasang.

“Kebanyakan bakal pengantin memilih songket berwarna pastel dan rekaan pakaian pula kebanyakannya gaun moden dan klasik, kebaya Pahang dan kurung moden.

“Mereka mahu kelihatan anggun dengan menggabungkan material klasik dan moden. Walaupun kebanyakannya masih muda tetapi amat meminati songket yang dianggap khazanah negara,” katanya.

Songket yang digunakan adalah dari tempatan dan ada juga diimport dari India dan Pakistan.

“Kebanyakan pelanggan saya akan membawa songket sendiri yang dibeli dari Kelantan dan Terengganu. Saya suka dengan songket tempatan kerana tenunannya halus dan cantik berbanding songket luar.

“Walaupun songket luar atau klon menjadi pilihan pelanggan, saya tetap menerima dan memenuhi permintaan. Kita dapat membezakan songket tempatan atau luar walaupun ia mempunyai kualiti sama tetapi seni tenunannya berbeza. Itulah kekayaan songket tenun negara kita,” katanya.

Songket dianggap klasik tetapi tidak tetap tidak ketinggalan zaman kerana ia digunakan pada setiap masa yang melambangkan warisan berharga.

“Ada antara pelanggan yang menggunakan elemen songket sebagai hantaran dan sebagainya.

“Saya yakin, songket tempatan masih mempunyai permintaan walaupun kita disogokkan dengan songket tiruan. Kebanyakan songket yang diimport dari luar meniru cara pembuatan dan corak tempatan,” katanya.

Dapat permintaan tinggi

LAZIMNYA songket dikaitkan dengan golongan bangsawan, keluarga diraja dan orang besar negeri, namun kini sesiapa sahaja boleh memakai songket.

Pengarah Eksekutif II Bak Tailoring Sdn Bhd (Bak), Sharief Sohaimi berkata, Bak menggunakan songket untuk pakaian perkahwinan, tengkolok, samping dan dijadikan kain untuk disuai padan untuk pakaian wanita.

Permintaan pelanggan berasaskan songket tinggi walaupun ia sinonim dengan majlis rasmi dan berkaitan kerajaan. “Bak menggunakan songket tempatan dan India yang berkualiti tinggi. Kami tidak mengambil songket Pakistan. Sebagai peniaga, kami mengambil songket dari pelbagai tempat untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan songket.

“Mereka menempah songket bukan sahaja untuk perkahwinan tetapi untuk majlis keraian, hari raya, majlis rasmi dan sebagainya,” katanya.

Sharief berkata, songket tempatan sangat eksklusif kerana dihasilkan kerja tangan berbanding India yang menggunakan mesin, menggabungkan mesin dan tangan dan eksklusif.

“Saya perlu mendapatkan banyak songket kerana mendapat permintaan tinggi dan ia digunakan semua golongan masyarakat.

“Songket sangat penting kerana ia adalah pakaian tradisional dan ia tidak akan ketinggalan zaman. Orang akan sentiasa mahukan songket kerana ia adalah lambang tradisi Melayu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, songket tempatan dan yang diimport tetap berbeza kerana songket tempatan lebih eksklusif dan penghasilannya rumit.

“Kebanyakan pelanggan akan memilih songket tempatan kerana ia dilihat lebih unik dan cantik,” katanya.

0 Komentar untuk " Songket klasik, tidak ketinggalan zaman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ