Hidayah terpendam 47 tahun - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hidayah terpendam 47 tahun

DAKWAH dalam Islam bermaksud menyeru, memanggil, mengajak atau menjemput umat manusia dengan penuh kebijaksanaan untuk beriman dan taat kepada ALLAH SWT serta kembali kepada ajaranNya yang sebenar.

Berdakwah adalah tugas seluruh umat Islam. Ia adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, kebiasaannya dakwah ini sering dikaitkan dengan golongan tertentu sahaja seperti ulama, ustaz atau ustazah serta yang mempunyai sijil agama sahaja. Masyarakat masih beranggapan bahawa dakwah adalah tanggungjawab para ilmuwan dan cendekiawan Islam sahaja.

Dakwah penting bukan sahaja kepada yang belum Islam tetapi juga kepada mereka yang beragama Islam - masih tercari-cari makna sebenar kehidupan ini. Tanpa dakwah, Islam tidak akan berkembang, difahami, apatah lagi dijadikan cara hidup dan yang tinggal hanya Islam keturunan semata-mata.

Adalah lebih baik kita menjelaskan Islam kepada mereka yang tidak memahami Islam, meskipun sikap mereka memusuhi atau memandang sinis terhadap Islam, daripada membiarkan mereka mencari sendiri dan mungkin mendapatkannya daripada sumber yang salah, atau lebih buruk lagi, dari laman-laman web anti-Islam.

Tujuan kita bukanlah untuk mengIslamkan seseorang kerana keputusan untuk masuk Islam mestilah dengan hati yang yakin dan rela, bukan kerana terpaksa.

Pernah terdengar satu dialog yang berlaku di Kampung Pasir Berdengung yang berbunyi: “Lu tahu tak? Kalau lu tak masuk Islam, lu mati masuk neraka?”

Cara tersebut bukanlah cara yang berhikmah dan tidak sesuai sama sekali. Tugas kita hanyalah sebagai da’ie, penyampai atau pendakwah, untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka yang bukan Islam. Sampaikanlah pesanan dengan cara yang baik dan berhikmah.

Penerimaan atau penolakan mereka terhadap Islam adalah hak mereka. Yang penting, kita telah menjalankan tanggungjawab kita. Manakala hidayah itu milik ALLAH SWT.

Surah al-Qasas, ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi ALLAH jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Terdapat satu kisah benar yang berlaku di bandar Taiping, Perak, kira-kira empat tahun yang lepas. Kisah bagaimana seorang wanita tua Cina yang berumur 82 tahun ingin memeluk Islam. Oleh kerana beliau sudah tua dan tidak berapa sihat, beliau meminta anak perempuannya yang berumur 58 tahun untuk bertanyakan bagaimana caranya hendak masuk Islam.

Anaknya mengambil masa beberapa hari juga untuk mendapatkan maklumat kerana kebetulan orang yang ditanya, di kawasan flat kediaman mereka, juga tidak tahu prosedur serta proses hendak masuk Islam.

Akhirnya, selepas beberapa kali bertanyakan orang sekeliling, mereka disarankan berjumpa dengan Aznita Loh, Pengerusi MACMA Perak, cawangan Taiping.

Sebaik selesai proses pengIslaman, terdetik di hati Aznita, bagaimana makcik itu boleh terpanggil untuk memeluk Islam, tatkala usia yang sudah senja itu. Dia lantas bertanya.

Makcik tua itu menceritakan, sewaktu berusia 35 tahun, beliau telah dirawat di hospital dan tinggal di wad selama beberapa hari kerana masalah sakit puan. Terdapat seorang perempuan Melayu yang sering menceritakan keindahan Islam kepada beliau.

Cerita-cerita mengenai Islam itu sedikit sebanyak membuatkan beliau berfikir tentang tujuan hidup ini dan telah menarik minatnya terhadap Islam. Walau bagaimanapun, beliau sudah berkahwin ketika itu dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Apa pun, beliau tetap berdoa, semoga diberi kekuatan, supaya suatu hari nanti akan menjadi seorang Muslim. Akhirnya, setelah 30 tahun suami beliau meninggal dunia, beliau mengucapkan dua kalimah syahadah dan kini bergelar Aminah Too.

Dakwah yang penuh hikmah oleh perempuan Melayu itu, sama ada dalam sedar atau tidak, dengan keadaan sakit di katil hospital, telah membuahkan hasil selepas 47 tahun. Semoga ALLAH memberkati dan memberi rahmat kepada wanita tersebut.

Sebagaimana yang kita maklum, kita semua tidak akan dipersoalkan tentang hasil (outcome) atau pencapaian, tetapi kita akan dipersoalkan tentang usaha, sama ada kita telah berusaha untuk melakukan atau melaksanakan sebagaimana yang ALLAH SWT perintahkan, dengan cara yang terbaik.

Sabda Rasulullah SAW, “Sampaikanlah daripadaku walau hanya satu ayat.” (Riwayat Bukhari)

0 Komentar untuk " Hidayah terpendam 47 tahun "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ