Nikmat hidayah semai perasaan reda dalam jiwa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nikmat hidayah semai perasaan reda dalam jiwa

Hidayah adalah nikmat daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang berusaha untuk mendapatkannya dengan berpegang teguh kepada syariat. Seruan kepada hidayah telah diterjemahkan melalui solat yang sering diulang-ulang dalam surah al-Fatihah bermaksud tunjukkan kami jalan yang lurus.

Hidayah adalah perkara yang penting sehingga kita dituntut untuk mengulangi doa itu setiap hari. Mereka yang mendapat hidayah adalah orang yang telah mendapat nikmat yang besar daripada Allah SWT. Ayat seterusnya jelas menyatakan ia adalah sesuatu anugerah yang tidak ternilai. Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Iaitu) jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." (Surah al-Fatihah, ayat 7)

Nikmat besar 

Justeru, hidayah dianggap nikmat yang besar kerana tanpanya manusia akan tergolong daripada kalangan yang dimurkai Allah SWT. Hidayah akan menjelma hasil daripada usaha gigih dilakukan serta keinginannya terhadap ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah SWT, iaitu nabi, siddiqin (sentiasa reda), orang yang mati syahid, dan orang salih dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (Surah an-Nisa', ayat 69)

Terkadang, kita sering memikirkan masa silam dan masa hadapan sehingga mengganggu kehidupan seharian. Tiada kesedihan dan kedukaan pada kepada masa lampau kerana ia telah berlalu. Begitu juga masa hadapan kerana ia masih samar dan belum tiba masanya. Persoalannya, kenapa kita bimbang dengan masa hadapan yang belum tiba kerana Allah SWT telah sediakan sesuatu yang terbaik untuk hamba-Nya.

Keyakinan inilah yang akan membahagiakan kita. Di sinilah letaknya fungsi reda. Lihatlah doa mereka yang melakukan solat istikharah, kandungan doanya menjurus penyerahan kepada takdir Allah SWT serta pasrah pada ketentuan-Nya. Seorang sahabat bernama Abu Zar Al-Ghifari ketika bersantai bersama Hasan bin Ali (cucu Rasulullah SAW) pernah berkata: "Kemiskinan bagiku adalah sesuatu yang aku sukai daripada kekayaan. Berpindah randah lebih gembira bagiku daripada duduk setempat. Maka jawab Hasan bin Ali: Semoga Allah SWT merahmatimu Abu Zarr, tetapi bagiku, aku tidak pernah bercita-cita atau berkeinginan kecuali pada apa yang dipilih oleh Allah SWT."

Baginda SAW pernah memberi komentar mengenai kemanisan sifat reda dalam sabdanya melalui hadis qudsi: "Wahai anak Adam, kamu mempunyai sesuatu yang mencukupi bagimu. Kamu meminta sesuatu yang melebihi keperluanmu. Sebenarnya, tiada yang sedikit atau banyak yang mampu membahagiakanmu. Jika kamu bangun dalam keadaan sihat, aman dan cukup keperluanmu, maka ucapkanlah selamat tinggal pada dunia. Maknanya kamu tidak lagi memerlukan keperluan lagi selain daripada itu."

Tidak sedih, hasad dengki 

Menunjukkan semua yang datang daripada Allah SWT adalah elok dan cantik walaupun kelihatan sukar pada pandangan mata kasar. Demikian juga, janganlah berasa sedih terhadap pemberian Allah SWT kepada orang lain apatah lagi jika berhasad dengki terhadap anugerah itu.

Segala-galanya adalah bahagian yang telah ditentukan Allah SWT kepada setiap insan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu kerana lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah an-Nisa', ayat 32)

Imam Syafie telah mengungkapkan kata-kata mutiara, "Kita berdoa kepada Allah untuk mendapatkan sesuatu yang kita sukai. Apabila datang sesuatu yang tidak disukai, kita tidak akan menyanggahi terhadap apa yang Allah sukai. Keinginan dan fikiranku bersama ketentuan Allah." Hidayah adalah sesuatu yang penting kerana ia dapat menyemai perasaan reda dalam jiwa manusia. Hidayah juga akan datang setelah usaha serta kemahuan diri seseorang terserlah dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi.

Syarat utama untuk mencapai kebahagiaan hidup adalah bergantung kepada sejauh manakah perasaan reda yang dapat diterap dalam jiwa. Ungkapan kata-kata pujangga daripada ahli ilmu menyebut:

Jauhkanlah segala perasan sedih dan hiba Mungkin terkadang suasana menjadi sempit dan tiada apa-apa Nikmatilah dengan kesejahteraan terus sentiasa Yang telah memenuhi ruang dalam hidup manusia Mungkin kelapangan akan tiba suatu ketika Atau mungkin kesempitan memenuhi ruang masa Atau mungkin sinar hanya sementara Ikutilah ia dengan perasaan reda Kerana Allah melakukan sesuatu mengikut kehendaknya Janganlah kita menjadi hamba yang dimurka.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/88586
0 Komentar untuk " Nikmat hidayah semai perasaan reda dalam jiwa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ