Kesedaran sekuriti makanan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kesedaran sekuriti makanan

PERNAHKAH kita terfikir apakah sebenarnya telah berlaku pada makanan setiap kali hendak disuapkan ke mulut? Dari manakah puncanya, bagaimanakah proses pengeluaran dan penghasilannya? Masyarakat kita jarang untuk memikirkan asal-usul terbentuknya makanan sehingga dihidangkan ke meja makan.

Kebiasaannya pemilihan makanan dinilai secara fizikal, tanpa mempersoalkan rantaian makanan tersebut dari segi proses dan operasi yang melibatkan kualiti, keselamatan, kebersihan dan pemindahan zat nutrisi yang memberi kesan kepada kesihatan.

Hakikatnya, masyarakat perlu sedar tahap sekuriti makanan sangat rapat dengan kehidupan kita. Makanan yang dimakan setiap hari mungkin menghadapi penyusutan bekalannya disebabkan peningkatan populasi manusia secara global yang dijangka mencecah 9 bilion menjelang 2050.

Ini disebabkan permintaan makanan tinggi, keperluan tanah untuk pengeluaran makanan, tempat tinggal dan sebagainya. Situasi ini memberi cabaran kepada sistem rantaian makanan secara keseluruhannya, seterusnya memberi kesan kepada kehidupan manusia termasuklah ekonomi, kesihatan, pembangunan negara, sains dan teknologi serta alam sekitar. Kenaikan harga makanan turut menjadi penyebab ketiadaan sekuriti makanan.

Pengekalan sesuatu sistem makanan untuk jangka panjang dalam sesebuah masyarakat merupakan petunjuk penting dalam daya hidup dan kelestariannya. Satu cara yang sesuai dan realistik untuk memulihkan semula masyarakat adalah dengan pembangunan ekonomi makanan tempatan yang berkualiti dan berkhasiat.

Di samping itu individu atau isi rumah memerlukan diet atau makanan berkualiti untuk gaya hidup yang sihat dan aktif.

Pada masa sama cara makanan ditanam atau dihasilkan, diagihkan dan dimakan juga meninggalkan kesan mendalam terhadap alam sekitar, rohani dan ekonomi kesejahteraan masyarakat.

Masyarakat yang mengalami masalah ketiadaan sekuriti makanan akan mengambil makanan yang rendah makronutrien, mikronutrien (vitamin dan mineral), serat, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini akan menjejaskan kualiti kesihatan seseorang untuk kelangsungan kehidupan.

Hari ini ramai mengalami masalah ketiadaan sekuriti makanan apabila terkesan dengan kenaikan harga minyak yang memberi impak kepada kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Ini menimbulkan persoalan sama ada mereka membeli makanan disebabkan kualiti zat makanan atau mengikut kemampuan masing-masing.

Dari perspektif kesihatan awam, ketiadaan jaminan terhadap sekuriti makanan mungkin boleh menyebabkan rakyat sesebuah negara terdedah kepada penyakit dan kelaparan. Keadaan ini boleh mengganggu produktiviti seseorang, ketidakstabilan sosial, ekonomi dan politik.

Kebanyakan kajian di negara maju dan sedang membangun menunjukkan ketiadaan sekuriti makanan berkait rapat dengan status pemakanan dan kesihatan yang tidak baik.

Corak pemakanan akibat daripada ketiadaan sekuriti makanan boleh menyebabkan perkembangan penyakit kronik seperti hipertensi, hyperlipidemia, penyakit kardiovaskular dan diabetes. Garis panduan pemakanan sihat yang dibangunkan di peringkat kebangsaan, perlu dilaksanakan oleh pakar pemakanan kesihatan awam dan pakar diet dengan mempergiatkan program pendidikan pemakanan agar masyarakat setempat terdidik dengan gaya dan amalan pemakanan yang sihat.

Komitmen masyarakat perlu bagi memastikan makanan mencukupi dan selamat untuk dimakan. Untuk itu, masyarakat perlu memiliki pendapatan yang cukup supaya dapat mengaksesnya di pasaran. Bukan sahaja makanan tersebut perlu cukup dan selamat malah memenuhi kriteria halal dan mengandungi nutrien mencukupi untuk tubuh badan manusia sebagaimana dianjurkan Islam. Ini bertujuan manusia dapat hidup secara lebih aktif dan sihat dengan matlamat pengabdian diri kepada ALLAH.

Selain itu, elakkan pembaziran dalam makanan, yang boleh memudaratkan kesihatan serta alam sekitar. Di antara kita masih ramai berjuang mencari pendapatan yang stabil supaya mampu membeli makanan dalam menghadapi beban kos sara hidup yang tinggi. Justeru, masyarakat perlu sedar dan ambil peduli dengan fungsi dan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada jaminan sekuriti makanan.

0 Komentar untuk " Kesedaran sekuriti makanan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ