Muzaidi nekad teroka industri kayu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Muzaidi nekad teroka industri kayu

BERDEPAN dengan tekanan harga pasaran bahan binaan yang tinggi sekitar 2007, Pengarah Urusan Anjung Mega (M) Sdn Bhd, Muzaidi Mustafa, nekad menukar haluan dalam bidang industri kayu.

Muzaidi mengakui bukannya mudah untuk membuat keputusan meninggalkan perniagaan pembinaan yang diusahakannya selama tiga tahun.

“Saya melihat potensi industri kayu mempunyai masa depan cerah. Saya menggunakan simpanan sendiri sebanyak RM20,000 sebagai modal perniagaan dikenali sebagai Ejati Concept, pakar kerja kayu, taman dan rumah,” katanya yang merupakan anak kepada pasangan Siti Rodziah Samiun dan Mustafa Sulung.

Bijak mengatur strategi

Muzaidi, 40, mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan perniagaan Ejati Concept dengan melakukan pelbagai kajian dan pemasaran untuk memperkenalkan produknya.

“Saya turun padang dan melakukan pemasaran sendiri ke tapak semaian di sekitar Lembah Klang untuk mempromosikan produk kayu yang saya hasilkan antaranya gazebo, pergola dan produk taman.

“Saya juga bekerjasama dengan beberapa sub kontraktor untuk menjual produk taman saya. Alhamdulillah, berkat kesabaran saya, produk saya dikenali di sekitar Lembah Klang,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang industri kayu, Muzaidi mencabar diri dengan menghasilkan produk kayu yang menepati cita rasa pelanggan dan trend semasa.

“Saya berkelulusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi Malaysia. Ia di luar bidang tetapi saya mahu fokus pada bidang ini kerana yakin dengan rezeki ALLAH,” katanya.

Selepas beberapa tahun, saya menerima tempahan daripada pelbagai pihak dan kebanyakan mereka mengenali Ejati Concept melalui cadangan rakan dan promosi yang dilakukan melalui media sosial, laman web dan Instagram.

Perniagaan berkembang

Jika dahulu hanya empat orang pekerja, kini Muzaidi mempunyai 20 pekerja untuk memenuhi permintaan tempahan meningkat pada setiap bulan.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka rezeki saya dalam bidang ini. Lebih menggembirakan apabila pelanggan berpuas hati dan menghargai hasil kerja saya,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lima adik- beradik.

Jumlah pelanggan semakin meningkat antaranya agensi kerajaan, syarikat korporat, orang kenamaan dan individu.

“Saya juga mendapat tempahan kerja kayu daripada beberapa hotel terkenal dan teruja kerana mereka menghargai hasil tangan Bumiputera,” katanya.

Dengan menggunakan kayu tempatan seperti cengal, balau dan keranji, Muzaidi yakin potensi industri kayu perlu dipelopori kerana ramai menyedari keistimewaan produk kayu.

Cabaran matangkan diri

Harga produk kayu stabil berbanding barang-barang pembinaan lain yang tidak menentu.

“Dengan hasil jualan yang diperoleh, saya mengembangkan perniagaan ini dengan menghasilkan lebih 20 produk antaranya loteng rumah, kerusi taman, tempat letak kereta, dekorasi rumah gaya Inggeris dan landskap taman serta wakaf berbanding 10 produk sahaja sebelum ini,” katanya.

Tidak dinafikan dalam meneruskan perniagaan, Muzaidi tidak terlepas daripada menghadapi cabaran yang dianggapnya asam garam dalam dunia perniagaan.

“Saya menghadapi cabaran dengan positif kerana saya tidak mahu seperti orang lain. Saya perlu percaya dan yakin pada diri sendiri.

“Ramai yang menyertai industri ini sekerat jalan kerana tidak tahan dengan masalah yang dihadapi,” katanya.

Dalam masa sama, Muzaidi juga membuka peluang perniagaan kepada kontraktor persendirian untuk bekerja separuh masa menjual produk Ejati Concept.

Kekangan pekerja mahir

Dek kerana menerima banyak tempahan pada setiap bulan, Ejati tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan kerana kekurangan pekerja kayu mahir, mesin dan tempat terhad.

“Pelanggan memahami masalah yang kami hadapi dan sanggup menunggu walaupun mengambil masa seminggu untuk disiapkan,” katanya.

Setiap bulan, Muzaidi akan menerima lebih 20 tempahan dan harga dikenakan berpatutan mengikut saiz, jenis kayu dan rekaan.

“Saya bersyukur kerana pelanggan sentiasa memberikan kerjasama dengan memberikan idea rekaan yang mereka mahukan. Antaranya ialah mereka mahukan rekaan dari Eropah, Belanda dan Jerman," katanya.

Mahu luaskan empayar

Setelah lapan tahun berada dalam industri ini, kami merancang untuk meluaskan empayar ke seluruh Malaysia.

“Kami mahu mengukuhkan Ejati Concept di Malaysia dalam masa tiga tahun. Kami juga dalam persediaan untuk memasarkan produk keluar negara kerana menerima banyak tempahan,” katanya.

Ejati bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat mempelopori inovasi kayu komposit kerana mempunyai permintaan tinggi di Eropah.

“Saya menasihatkan anak muda yang meminati industri kayu, teruskanlah dan berusaha untuk meluaskan perniagaan. Industri kayu mempunyai permintaan tinggi pada masa depan,” katanya.

0 Komentar untuk " Muzaidi nekad teroka industri kayu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ