Maruah semua rakyat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Maruah semua rakyat

PADA 30 September 2015 lalu, saya diundang sebagai salah seorang panel forum “Mempertahankan maruah Melayu” anjuran Gerak Merdeka Rakyat di Kuala Lumpur.

Saya memulakannya dengan menyatakan bahawa saya membicarakan maruah Melayu secara objektif, inklusif dan substantif, bukannya secara sensitif, eksklusif atau reaktif.

Persoalannya ialah Melayu mana yang dibicarakan? Mengikut perspektif agama-budaya, atau perspektif sosiopolitik?

Siapa yang dibicarakan? Individu? Kumpulan? Parti Melayu? Parti bukan-Melayu? Parti pelbagai kaum? Melayu syiah? Melayu DAP? Bumiputera Sabah dan Sarawak? Yang berbaju kuning atau merah?

Dan maruah itu, adakah termasuk pembaziran, ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa?

Pada saya, Melayu bermaruah dinilai dengan ukuran agama, budaya, kewarganegaraan, demokrasi matang, lunas undang-undang dan penghujahan substantif.

Ia perlu dilihat secara objektif. Wujud jaminan kelangsungan Melayu, iaitu melalui Perlembagaan Persekutuan, Raja-raja Melayu, serta Melayu penduduk majoriti dan mengetuai Kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri kecuali Pulau Pinang. Justeru, Melayu tidak perlu takut pada bayang-bayang. Usah melatah hanya kerana tindakan-tindakan terpencil yang devian.

Kita perlu membezakan antara isu yang benar-benar isu, dengan isu yang bukan isu tetapi sengaja dijadikan isu. Sekiranya perlukan reaksi, tidak perlulah dengan marah-marah, maki-hamun, serangan peribadi dan politik kotor.

Benar, Melayu ada kekurangan dan kelemahan dalam bidang tertentu. Contohnya, pendidikan, golongan profesional, ekuiti, perniagaan dan pengangguran graduan.

Tetapi, bukankah semua kementerian dan agensi yang bertanggungjawab memajukan Melayu itu dipimpin oleh Melayu?

Masalahnya ialah, lihatlah kenyataan-kenyataan sesetengah pemimpin Melayu. Seorang memanggil mereka yang tidak menyokong partinya sebagai bangsat. Seorang lagi menggelarnya pengkhianat. Dan bagaimana dengan maruah kita apabila ada yang menerima derma RM2.6 bilion dari negara luar?

Lalu saya bertanya: adakah maruah Melayu punah kerana dipanah bukan-Melayu, atau akibat salah sendiri kerana pemimpin Melayu pecah amanah?

Pada hari ini, sebenarnya, kita tidak sepatutnya hanya mempertahankan maruah Melayu sahaja. Atau mana-mana kaum tertentu sahaja. Sebaliknya, kita seharusnya mempertahankan maruah semua rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, dua perkara mesti dilakukan.

Pertama, memperbaiki bidang-bidang tertentu. Dalam pendidikan, contohnya, ia tidak lagi sekadar soal akses pada pendidikan. Kini, ia soal kualiti pendidikan. Contohnya, tidak memadai sekadar mengeluarkan graduan perakaunan. Yang diperlukan ialah memastikan ia menjadi akauntan bertauliah.

Kedua, ialah, sebagai seorang Muslim, saya takut menjadi assabiyyah. Sebab itu, sejak dulu, saya mencadangkan supaya ditamatkan politik ras. Ia merujuk bagaimana kerajaan mencipta kaum dengan menggunakan undang-undang, dasar-dasar dan institusi-institusi. Politik ras juga menggunakan faham “rasisme demokratik” untuk merasionalkan tindakan-tindakannya.

Kita memerlukan konfigurasi baru dalam cara-cara kita berbuat. Konfigurasi yang digunakan BN selama ini, iaitu Consociationalisme (politik tawar-menawar dan pembahagian kerja dengan berdasarkan kaum), yang kini kelihatan bergerak ke arah “dominasi Bumiputera”, perlu diubah. Ia perlu diganti oleh konfigurasi baru, iaitu Centripetalism (politik kesederhanaan yang berdasarkan pemikiran politik pelbagai-kaum yang sebenar).

Kerajaan perlu mengubah paradigmanya. Paradigma guardian hari ini memungkinkan kegunaan strategi menakut-nakutkan supaya rakyat bergantung pada pelindungnya. Dalam paradigma ini, program pembangunan, contohnya pendidikan, mungkin membuahkan “budaya dungu”.

Ia perlu ditukar kepada paradigma “governans” yang memfasilitasi supaya rakyat dapat melonjakkan bakat dan potensinya dengan sepenuh dan seutuhnya.

Pendidikan akan benar-benar menghasilkan budaya ilmu, kreativiti dan inovasi.

Kesimpulannya, haluan masa depan kita ialah mempertahankan dan memperbaiki maruah semua rakyat Malaysia.



# Datuk Saifuddin ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Maruah semua rakyat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ