Khutbah Jumaat: Umat Islam perlu berjiwa besar, bukan jumud - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khutbah Jumaat: Umat Islam perlu berjiwa besar, bukan jumud

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, pasti mengundang episod kegagalan kepada umat Islam. Persoalannya, berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah di sebalik peristiwa itu? Kenapa kita perlu berhijrah dan ke manakah arah hijrah umat Islam sekarang. Di samping membawa sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW turut membawa bersama minda mereka untuk berhijrah. Kepercayaan, sikap dan akhlak jahiliah sahabat berubah kepada kepercayaan, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu Allah SWT.

Peristiwa di Gua Tsur, Baginda membetulkan kepercayaan Saidina Abu Bakar. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar berada dalam keadaan gementar dan takut, Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT yang bermaksud: "Jika kamu semua tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya ketika orang kafir (Musyrikin Makkah) mengusirnya (dari Makkah) ketika mereka berdua berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 40)

Demikianlah, penghijrahan minda dan pemikiran dibawa oleh Islam yang disampaikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Usaha memberi kefahaman itu diteruskan sahabat, tabi'in, salafus salih serta ulama dan pendakwah hingga ke hari ini. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah SWT, bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda.

Persefahaman bentuk penyatuan 

Islam sangat menganjurkan persefahaman kerana melalui persefahaman itu akhirnya membentuk sebuah penyatuan. Islam disatukan melalui prinsip ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi bagi seluruh umat yang membawa mesej perdamaian seluruh manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih), dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman seorang Muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya." (Riwayat Bukhari)

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT memberi sesuatu tanpa berusaha.

Oleh itu, berusahalah meningkatkan taraf kehidupan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Justeru, umat Islam hari ini mestilah berusaha mempersiapkan diri untuk berhijrah. Dunia tidak akan menunggu suatu umat untuk sama-sama mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Golongan mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang dalam hidupnya. Tamadun Islam telah memberi terlalu banyak sumbangan dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik dan sosial. Contohnya ialah Islam telah mengharamkan riba dan apabila riba dihapuskan, taraf ekonomi umat Islam meningkat serta dapat memecahkan monopoli perniagaan di Madinah. Ia juga menghapuskan penindasan yang disebabkan riba.

Politik Islam juga semakin tersusun kerana Islam mementingkan segala aspek dan menitikberatkan kebajikan serta kesejahteraan semua. Begitu juga perkembangan ilmu berlaku dalam bidang teknologi dan perubatan.

Keadaan sosial, ekonomi dan politik hari ini berbeza 

Syeikh Yusuf al-Qaradawi banyak mengutarakan fatwa semasa untuk menangani isu umat Islam. Menurut beliau, pemahaman semula terhadap ilmu fikah penting kerana keadaan sosial, ekonomi dan politik umat Islam hari ini jauh berbeza dengan zaman awal perkembangan Islam.

Umat Islam bukan umat yang mundur dan jumud. Umat Islam adalah umat yang berjiwa besar, optimis dan progresif. Jadikanlah Islam terus dipandang indah, bak bunga mekar di taman, baunya semerbak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang Ansar yang memberi kediaman dan pertolongan kepada orang Islam berhijrah itu, merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Surah al-Anfal, ayat 74)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/89578
0 Komentar untuk " Khutbah Jumaat: Umat Islam perlu berjiwa besar, bukan jumud "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ