Bahasa dalam aneka suasana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahasa dalam aneka suasana

KALAU saya boleh hidup semula, saya mahu belajar (selain bahasa Melayu dan Inggeris) bahasa Cina, Sepanyol dan Rusia kerana begitu ramai orang di dunia ini menggunakan bahasa itu. Memandangkan ramai orang yang mampu menggunakan lebih banyak bahasa daripada itu, maka bahasa Tamil dan semua bahasa Eropah menjadi pilihan keutamaan saya. Jika mampu.

Menggunakan sebanyak mungkin bahasa adalah satu kekuatan, dan bukan kelemahan. Bahasa adalah satu perkara yang menarik. Ia menjadi olekan nasionalisme, bahan lelucon dan tentunya inti perhubungan dan pendidikan. Quebeck ialah sebuah wilayah berbahasa Perancis di Kanada. Nasionalismenya berbentuk anti-bahasa Inggeris. Penguatkuasaan penggunaan bahasa Perancis di pejabat dan korporat dijadikan undang-undang. Atas asas itu juga ia mahu merdeka dari Kanada tetapi kandas atas suara rakyat.

Abdullah Munshi dalam bukunya Pelayaran Ke Kelantan menceritakan secara perincian bagaimana orang Terengganu menyebut ‘ng’ untuk semua sebutan yang berakhir dengan ‘m’ dan ‘n’, iaitu berlainan dengan  yang digunakan di tempat lain di Tanah Melayu, terutama di tempat asalnya, Melaka. Ikan menjadi ikang, makan menjadi makang. Orang Cina di Kampung Cina di Kuala Terengganu pun bertutur begitu.

Abdullah mungkin tidak tahu pada waktu itu bahawa sebutan begitu adalah sama dengan sebutan orang di selatan Sulawesi, Indonesia. Kota Ujung Pandang di sana sepatutnya Ujung Pandan kerana banyaknya pandan yang tumbuh di situ ketika kota itu diasaskan. Saya mengandaikan orang Bugis yang berasal di situ – yang terkenal sebagai golongan pelayar – belayar mengikut angin ke selatan dan kemudian mencangkuk ke utara dibawa angin sebelum mendarat di pantai-pantai Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Di Johor, Pahang dan Kelantan, loghat itu diatasi loghat tempatan yang sedia ada, tetapi di Terengganu, disebabkan kekurangan penduduk lokal, loghat itu berleluasa penyerapannya. Perkataan ‘pitih’ untuk maksud duit adalah sama pemakaiannya di Minangkabau dan sesetengah kelompok di Sulawesi.

Dalam filem My Fair Lady seorang profesor mengkaji loghat Inggeris kasar seorang gadis penjual bunga di Covent Garden, London. Timbul pelbagai kerenah bahasa dan sebutannya yang canggung dan menggelikan untuk dijadikan satu pengajian akademik sehingga akhirnya profesor itu jatuh cinta dengan gadis itu. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah bahasa dan loghat gadis itu melahirkan ‘dalaman’ gadis itu sebagai seorang yang luhur, ikhlas dan boleh dipercayai.

Sebaliknya, bahasa juga diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang terdiri daripada guru-guru Melayu selaku pemimpin-pemimpin Umno di akar umbi. Pendaulatan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa pengantar sekolah menengah dan universiti menerawang begitu rupa sehingga menyatukan orang Melayu dan memungkinkan kemenangan 54 daripada 55 kerusi oleh Umno-Perikatan dalam PRU 1955, sehingga sukar sekali untuk British menolak desakan negara untuk merdeka.

Kira-kira lebih sedikit 40 tahun dulu, penyatuan ejaan antara bahasa Melayu dan Indonesia dimaterikan. Pun begitu, kekeliruan dalam pemakaian terus timbul. Disebabkan latar belakang yang berbeza, bahasa Melayu nyata sekali berorientasikan bahasa Inggeris, sedangkan bahasa Indonesia, Belanda. Oleh kerana bahasa Inggeris menjadi amat diterima oleh dunia, maka orang Indonesia ingin ke hadapan juga dalam penggunaan perkataan Inggeris.

Justeru apa yang mereka anggap betul, sebenarnya tidak betul. Ini berbanding dengan sesetengah golongan di sini yang berbahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, macam lidah ibunda. Mereka tahu erti perkataan Inggeris bukan saja pada sebutan, tetapi juga pada apa yang tersirat dan apa yang menjadi sentimen.

Apa pula ‘solar’? Di stesen-stesen minyak di Indonesia, kita pasti melihat pam solar. Maksudnya ialah minyak ‘diesel’, sempena nama penemu minyak itu. Mungkin wartawan salah anggap bahawa solar itu  diesel, lalu digunakan ‘solar’ sehingga sukar ditukarkan lagi. Bukankah solar itu daripada bahasa Latin yang bererti suria atau matahari? Daripadanya, timbullah solaris, solarium, solarite dan pelbagai lagi. Justeru tenaga solar itu ialah tenaga suria.

Tiap-tiap kali perkataan ‘extreme’ ditukarkan kepada ekstrem, saya menjadi tidak senang. Adanya ‘e’ di hujung ‘extreme’, bunyi akhirnya ialah  ‘rim’ dan bukan ‘rem’. Itu lunas pengejaan dalam bahasa Inggeris, seperti juga pada ‘supreme’. Jangan pula ‘supreme’ menjadi ‘suprem’.

Tiada kata secantik bahasa!

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Bahasa dalam aneka suasana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ