Jerebu: Sampai bila kita nak sengsara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jerebu: Sampai bila kita nak sengsara

RAMAI suka apabila hujan lebat di banyak kawasan semalam, kerana ia boleh mengurangkan impak negatif jerebu yang sudah melanda negara kita ini sejak hampir sebulan.

Kita rindu untuk melihat bulan dan bintang, tidak sabar mahu lihat keindahan alam sekeliling setelah lama tidak dapat menikmatinya akibat asap tebal.

Sejak jerebu melanda negara kita, tiap-tiap hari entah berapa juta manusia menyumpah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan fenomena yang menyusahkan kehidupan kita dan menjejaskan kesihatan  setiap tahun.

Jangan marah kerana sudah lebih 15 tahun kita dilanda jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia dan setiap kali ia berlaku, ramai yang batuk-batuk, sakit tekak, pedih mata, sakit paru-paru dan demam.

Kerajaan bagaikan tidak dapat memberi respons meyakinkan setakat ini dalam usaha menangani masalah jerebu itu. Sampai bila kita perlu menanggung sengsara?

Kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia sahaja (tidak kira lagi rakyat Singapura dan Indonesia sendiri) pun entah berapa juta akibat masalah jerebu.

Hampir 7,000 sekolah, yang mempunyai hampir 4 juta murid dan lebih 300,000 guru, ditutup semalam dan hari ini akibat jerebu yang semakin buruk di semenanjung dan pihak berkuasa sudah memberi amaran jika keadaan bertambah buruk, sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak juga perlu ditutup dalam tempoh terdekat.

Disebabkan itu, kita perlu faham mengapa, tidak cukup dalam kalangan NGO, orang awam dan orang politik, masalah jerebu turut dibangkitkan di masjid dan surau.

Pihak berkaitan agama mengambil tanggungjawab menyuarakan kebimbangan melalui khutbah, menguatkan hujah berdasarkan ayat-ayat al-Quran bersifat amaran ALLAH kepada mereka yang mengkhianati perintahNya.

Saya kira pelik kalau isu jerebu tidak dibangkitkan dalam khutbah di Indonesia sendiri, memandangkan ia bukan sahaja pencetus kepada fenomena jerebu, bahkan rakyatnya yang beragama Islam paling ramai dibandingkan dengan di negara-negara lain.

Di negara kita, masalah jerebu ini sudah dibangkitkan dalam khutbah di banyak masjid dalam tempoh dua tiga minggu ini.

Khatib-khatib menyentuh tentang kecenderungan masyarakat (termasuk orang politik, wakil kerajaan dan orang ramai) mencari siapa yang bertanggungjawab membakar hutan di Indonesia itu.

Tetapi berapa ramai daripada kita fikir siapa sebenarnya yang mengawal angin yang membawa asap hingga ke negara kita, siapa menentukan bencana dan siapa yang berkuasa ke atas setiap ketentuan. Jawapannya, tentulah ALLAH.

Beberapa khatib mengaitkan suasana jerebu dengan kisah yang dicatatkan dalam Surah ad-Dukhan (asap).

Persoalannya, apakah mungkin bala itu disebabkan manusia kini makin jauh daripada cara hidup sebenar (Islam)?

Dari sudut sains dan ilmu pengetahuan yang berfokuskan fakta sebab dan akibat, memanglah tidak dinafikan asap jerebu diakibatkan oleh pergerakan angin dan kita menyalahkan mereka yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan.

Khatib menyebut kisah kaum silam yang menunjukkan kejadian jerebu berpunca daripada kemaksiatan dan kederhakaan manusia kepada ALLAH.

Disebabkan itu, mereka melihat betapa perlu kita saling nasihat menasihati antara satu sama lain untuk kembali kepada cara hidup Islam dari semua aspek, termasuk kemasyarakatan, sosial, politik, perundangan dan kewangan.

Kata mereka, bagaimana kita mahu mengaku kita patuh kepada perintah ALLAH jika fitnah, syak wasangka, mengumpat dan sebagainya menjadi budaya kita, sementara status pangkat yang kita tumpu menjadi penghalang kepada silaturahim.

Apakah kita menepati kehendak Islam jika khianat dan pecah amanah jadi kebiasaan, sementara penipuan seolah-olah menjadi amalan yang dihalalkan?

Mereka menimbulkan persoalan mengenai ramai yang masih tidak yakin tentang kebenaran yang dijelaskan kepada mereka, bahkan ada yang masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain dengan perkara-perkara berkaitan agama.

“Oleh itu, tunggulah (wahai Muhammad) semasa asap kemarau yang jelas (menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir sehingga mereka berkata ini adalah azab yang sungguh menyakitkan. (Dalam pada itu) mereka merayu, wahai Tuhan kami, hapuskanlah azab ini daripada kami, sesungguhnya kami akan beriman (ad-Dukhan: 9-12)

Menurut mereka, jerebu adalah bala daripada ALLAH, bukan sekadar fenomena alam biasa. Ia sebagai peringatan sebenarnya.

Jika kita tidak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, kata mereka, maka tunggulah saat jerebu yang berlarutan hingga ke 40 hari. Wallahualam!

0 Komentar untuk " Jerebu: Sampai bila kita nak sengsara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ