Dakwaan umat Islam 'di bawah mikroskop' salah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dakwaan umat Islam 'di bawah mikroskop' salah

MAHKAMAH Persekutuan baru-baru ini sebulat suara menolak petisyen difailkan ZI Publication Sdn Bhd terhadap kerajaan Selangor dan menegaskan orang Islam di Malaysia bukan sahaja tertakluk kepada undang-undang awam dibuat Parlimen, juga undang-undang negeri yang bersifat keagamaan.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan Dewan Negeri membuat undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam yang melanggar perintah agama Islam. Kes ini membabitkan persoalan sama ada Dewan Negeri Selangor mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang mengawal atau berpotensi menyekat hak ekspresi serta seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 yang menetapkan kesalahan menerbitkan bahan bacaan bertentangan undang-undang Islam.

Petisyen difailkan berdasarkan dakwaan Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang sedemikian kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Penghakiman itu memberi impak perundangan yang besar kepada undang-undang jenayah Islam kerana isu sama ada peruntukan perlembagaan berkaitan kebebasan asasi boleh menguji keabsahan sesuatu undang-undang jenayah syariah atau tidak telahpun diputuskan. Oleh itu, persoalan mengenai kebebasan asasi seperti kesamarataan antara orang Islam dan bukan Islam, lelaki dan wanita serta hak bersuara tidak boleh mengatasi undang-undang Islam di mana ia terletak di bawah kuasa negeri. Ia sudah tentunya memberi semangat baru kepada aktivis Islam dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar kepada orang Islam.

Penghakiman kes berkenaan meletakkan tanda aras baru kepada kedudukan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Penghakiman mahkamah tertinggi di Malaysia itu diharapkan dapat menyelesaikan persoalan undang-undang berkaitan kuasa Dewan Negeri menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah dalam kalangan orang Islam. Penghakiman itu juga sebenarnya juga telah memetik beberapa penghakiman mahkamah terdahulu dan bersetuju dengan alasan penghakiman sebelum ini. Walaupun keputusan sudah dibuat, tetapi ada suara tidak berpuas hati dan timbul beberapa kritikan khususnya di media alternatif yang menyarankan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal pengembangan doktrin dan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam hendaklah dimansuhkan.

Sesetengahnya juga mendakwa umat Islam sentiasa berada di bawah 'mikroskop' di mana undang-undang moral mengawal perlakuan orang Islam dan mereka akan didakwa jika melanggar undang-undang itu. Kritikan itu disebabkan ketidakfahaman undang-undang dan interpretasi Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11(4) yang mahu dimansuhkan bukan wujud secara terasing tetapi perlu dibaca dengan Perkara 3 yang meletakkan Islam agama bagi Persekutuan. Ini bermakna kedudukan agama Islam lebih tinggi daripada agama lain di Malaysia dan pada masa sama penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka secara aman damai tetapi penyebaran agama dan doktrin bukan Islam tidak boleh dilakukan kepada orang Islam.

Umat Islam tidak berada di bawah 'mikroskop' tetapi mereka termaktub dengan dasar pelaksanaan amar makruf nahi mungkar atau hisbah seperti disebutkan Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din iaitu: "Hendaklah kemungkaran itu zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya.

Allah Taala telah melarang hal ini. Kisah Umar dan Abdul Rahman bin Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab Al-Suhbah (Adab-adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa Umar telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki itu membantah Umar dan berkata: "Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. Umar bertanya: Apa dia? Lelaki itu berkata: Allah Taala telah berfirman maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman maksudnya: Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya. Sesungguhnya engkau tidak memberi salam.

Maka Umar pun meninggalkannya. Ketahuilah sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui yang berada di luar rumah itu."

Mengintip dilarang dalam sistem perundangan Islam maka tidak timbul langsung umat Islam duduk di bawah mikroskop sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, undang-undang moral bertujuan mengelak mereka melakukan perkara yang dilarang dengan mencegah ia sebelum berlaku melalui peringatan.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan kes Muhammad Juzaili dan dua yang lain melawan kerajaan Negeri Sembilan membabitkan kes tiga lelaki Islam memakai pakaian wanita mengikut seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992. Diharap penghakiman itu senada dengan penghakiman kes ZI Publication Sdn Bhd ini. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/87292
0 Komentar untuk " Dakwaan umat Islam 'di bawah mikroskop' salah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ