Jerebu di mata, jerebu di hati - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jerebu di mata, jerebu di hati

*KETIKA rencana ini ditulis, jerebu masih mengaburkan pandangan. Asap dari Kalimantan dan Sumatera terus mencemar udara kita. Ada ramalan bahawa keadaan kelabu ini akan berlanjutan hingga Mac tahun depan.

Banyak kawasan seluruh negara mencapai indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat, malah di sesetengah tempat mencecah tahap amat tidak sihat.

Sekolah ditutup, penerbangan tergendala, nelayan tidak turun ke laut, dan semakin ramai ke klinik kerana sesak nafas dan batuk akibat masalah paru-paru menyedut udara tidak sihat.

Selain jerebu di mata dan di paru-paru, jerebu juga melanda ekonomi dan politik. Ekonomi malap dengan nilai RM terus merosot, kenaikan harga, tekanan GST dan macam-macam lagi. Politik pula bergolak pagi-petang, siang-malam.

Pendek kata jerebu di mana-mana, setiap saat....Amat meresahkan.

*MEDIA sosial kita juga turut dijerebukan dengan viral-viral yang menunjukkan sesetengah orang kita – Melayu, Islam – bertindak kasar, ego, bongkak, sombong, seolah-olah merekalah yang paling berkuasa.

Ada pemilik kenderaan mewah menumbuk dan menampar seorang warga Bangladesh yang bekerja di sebuah pusat cuci kereta. Siapa pun yang menonton aksi di viral berkenaan akan marah dan rasa hendak menumbuk tuan punya kenderaan tersebut.

Apa pun dia telah diheret ke mahkamah, memohon maaf dan hakim mengenakan kompaun RM5,000, setelah dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

*BERJEREBU juga di internet ialah perilaku sekumpulan wanita melanyak mangsa – juga seorang wanita – di luar batas kewanitaan dan kemanusiaan. Mangsa dilempang, ditumbuk, disepak dan diterajang bertalu-talu.

Tertonggeng, terlentang, terkangkang, tertiarap, mangsa dibelasah tanpa ada orang menolong, dalam keganasan yang terjadi di Wakaf Mek Zainab, Kelantan. Tidak terduga wanita kita boleh seganas itu!

Apa pun tiga serigala betina itu telah ditahan polis, nampak bodoh dan buat muka kesian. Orang seperti ini tidak perlu dimaafkan. Dia kurang ajar, jadi perlu diajar. Syabas atas kepantasan dan ketegasan tindakan pihak berkuasa.

*TURUT tersebar di media sosial ialah sekumpulan tujuh pelancong lelaki dari China yang berbogel bulat di tepi pantai dipercayai di Sabah. Ketua Polis Daerah, Superintendan Peter anak Umbuas berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada foto terbabit dirakam di Semporna atau sebaliknya.

Entah mengapa pelancong asing suka sangat berbogel di negara kita. Sebelum ini, beberapa pendaki pelancong warga asing berbogel di puncak Gunung Kinabalu sebaik berjaya tiba di puncak pada pagi 30 Mei lepas.

Tidak lama dulu sekumpulan pelancong asing juga menayangkan ‘anu-anu’ mereka di pantai Pulau Langkawi. Kita kena bertindak lebih tegas, jika tidak ramai lagi berani berbogel di pantai kita.

Bagi saya lebih baik memandang langit yang hitam berjerebu, daripada melihat ‘anu-anu’ mereka yang entah apa-apa itu!

*POLIS Kepala Batas di Kedah mengesahkan seorang peniaga berusia 52 tahun telah membuat laporan polis terhadap Kerajaan Indonesia kerana pembakaran hutan di Sumatera telah mencemarkan udara di negara ini.

Dia yang tinggal di Sungai Petani berkata, IPU di Kepala Batas pada 9 pagi Khamis lalu mencapai paras amat tidak sihat pada 244, dan mengganggu kesihatan dia dan keluarganya.

Seperti yang disiarkan media lelaki berkenaan dalam laporan polisnya sudah tidak boleh tahan dengan jerebu yang melanda. Dia mahu mahkamah antarabangsa menyaman kerajaan Jokowi, dan menuntut ganti rugi USD100 juta.

Syabas kepada lelaki berkenaan. Mari sama-sama kita doakan laporan polis yang dibuat akan diberi perhatian seluruh dunia. Dan, apakah ‘ayahanda’ Kulup Kipidap @ ‘Raja Laporan Polis’ tidak cemburu dengan peniaga ini?

*AKHIR kalam, kusangka kambing, rupanya... Ada sesetengah restoran di Petaling Jaya menipu pelanggan dengan mencampurkan daging lain dengan kambing. Menu kari kambing tetapi dicampur dengan daging lembu dan kerbau.

Kakitangan dari Unit Kawalan Kualiti Makanan Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang mengadakan serbuan ke restoran India dan India Muslim di PJ mengesahkan penipuan ini.

Semua ini gara-gara harga daging kambing yang terus naik. Kambing import dari Australia RM25 sekilogram. Kambing tempatan lebih mahal @ RM40. Lembu lebih murah @ RM15.

Musim jerebu, orang tidak dapat membezakan kambing dengan lembu!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Jerebu di mata, jerebu di hati "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ