Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman

BERNAMA menemu bual secara eksklusif doktor dan aktivis dari Norway yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, Dr Mads Gilbert, ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini. Beliau menceritakan pengalamannya sebagai doktor bedah sukarela di Hospital As-Shifa di Gaza, ketika serangan Israel paling dahsyat ke atas Gaza, serta membincangkan betapa berkesannya usaha gerakan perpaduan dalam mengembalikan hak rakyat Palestin.

Ternyata Dr Mads Gilbert, seorang aktivis yang digeruni Israel. Pada November 2014, beliau diharamkan Israel daripada menjejakkan kaki lagi di bumi Gaza. Pakar pembedahan trauma berusia 68 tahun itu tersenyum sinis ketika ditanya soal itu. "Alasan mereka, saya seorang yang berbahaya. Kalaulah kerana stetoskop dan kamera pun dianggap berbahaya, jelaslah betapa Israel nekad menyembunyikan keadaan sebenar di Gaza," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif.

Jika dilihat latar belakang Dr Gilbert, memang tidak disangka beliau menjadi seorang pejuang hak rakyat Palestin. Beliau membesar di Norway ketika negara itu kuat di bawah pengaruh Zionis. "Di sekolah, kami hanya diajar mengenai hak Israel, tanpa diberitahu yang negara itu diwujudkan atas rasa bersalah satu bangsa lain. Orang Eropah rasa terhutang budi kepada orang Yahudi kerana peristiwa Holocaust.

Itu memang satu jenayah yang dahsyat, tetapi ia bukan dilakukan rakyat Palestin, jadi bukan mereka yang sepatutnya melangsaikan hutang itu," katanya. Kali pertama beliau menyaksikan kekejaman ke atas rakyat Palestin adalah ketika menjadi doktor sukarela ketika pengeboman di Beirut, Lebanon, pada tahun 1981. Pengalaman itu menghantuinya, sehingga beliau kembali pada tahun berikutnya untuk memberi bantuan ketika pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila.




DR Gilbert menunjukkan buku karyanya, Night in Gaza ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Kekejaman tentera Israel 

"Itulah kali pertama saya dapat melihat dengan jelas implikasi kekejaman jentera perang Israel. Ia menjadikan saya betul-betul terkesan," katanya. Sebagai seorang pakar anestesiologi dan pensyarah perubatan, beliau terbabit dengan pelbagai projek di serata dunia secara sukarela. Namun, sejak 15 tahun lalu, usahanya tertumpu ke Gaza. Beliau bertugas di Hospital As-Shifa ketika empat serangan kejam ke atas Gaza pada tahun 2006, 2009, 2012 dan 2014. Serangan pada tahun 2014 dianggap paling dahsyat yang pernah dialaminya.

Beribu-ribu tan bom dilepaskan ke atas bumi Gaza yang hanya bersaiz 365 kilometer persegi dalam masa 51 hari. Seramai 2,251 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 551 kanak-kanak. Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10,000 tercedera dan lebih 100,000 kehilangan tempat tinggal. Segala kesengsaraan mereka dirakamkannya dalam buku kedua beliau, Night in Gaza. Isi kandungannya sukar dibaca tanpa terlerai air mata. Buku pertamanya Eyes in Gaza, yang ditulis bersama rakan senegara, Dr Erik Fosse, pula mengisahkan pengalaman mereka di As-Shifa ketika serangan pada tahun 2009.

Tahun itu, Israel menghalang media antarabangsa memasuki Gaza. Bagaimanapun, kedua-dua doktor itu berjaya memasuki Gaza dengan bantuan $1 juta dari kerajaan Norway. Dr Gilbert tidak mensia-siakan peranannya sebagai sukarelawan luar ketika itu. Selain merawat pesakit, beliau turut meluangkan masa melaporkan keadaan di lapangan kepada media tempatan yang juga wakil kepada media luar seperti BBC, CNN dan Al-Jazeera. Laporannya di media sosial serta surat terbuka yang ditulisnya ketika serangan pada tahun 2014 juga pantas menjadi viral.


DR Gilbert merawat pesakit ketika bertugas di Hospital As Shifa di Gaza.


Laporan buka mata dunia 

Laporannya daripada perspektif peribadi dan perubatan, serta gambar menyayat hati yang disertakan, menggemparkan dunia yang lena dan terlupa mengenai kesengsaraan saudara mereka di Palestin. Nyata pendedahan beliau membuatkan Israel tidak senang duduk kerana berjaya menyemarakkan lagi Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)," kempen yang amat berpengaruh dalam menggugat kedudukan ekonomi dan politik Israel. Namun beliau percaya usahanya yang paling penting adalah yang dilakukannya di negara sendiri. Ini termasuk menghidupkan gerakan perpaduan Palestin di Norway dan mendedahkan kepada mereka realiti kehidupan di Palestin. Usaha ini akhirnya menyebabkan perubahan dramatik pandangan Norway terhadap isu Israel-Palestin. Ketika zaman pro-Zionis Norway, negara itu membekalkan 'heavy water' kepada Angkatan Tentera Israel (IDF) untuk menghasilkan bom atom. Orang kenamaan dan Perdana Menteri Israel, termasuk Golda Meir, juga sering ke Norway ketika itu. Bagaimanapun, semua ini berubah pada tahun 2000. Tahun berikutnya menyaksikan Tromsø menjadi bandar kembar Gaza. Gerakan perpaduan Palestin di Norway sangat kukuh, biarpun ketika pengaruh Zionis masih kuat.

Ramai anak muda yang pada asalnya sangsi mengenai kezaliman yang dilakukan IDF ke atas Palestin berubah fikiran selepas ditempatkan di Palestin sebagai tentera keamanan PBB. "Di sana acapkali dikatakan anak muda yang meninggalkan Norway 99 peratus adalah pro-Israel tetapi bila pulang 99 peratus pro-Palestin. "Saya rasa hujah terbaik bagi pihak Palestin ialah realiti di lapangan. Lihatlah sistem aparteid yang diamalkan di sana, penindasan diasporanya dan yang paling nyata, pengepungan dan pengeboman yang berulang kali di Gaza," katanya.

Perubahan dasar Norway ke atas Palestin turut memberi impak positif kepada Dr Gilbert. Sebelum tahun 2009, kerja sukarela hanya dilakukan ketika mendapat cuti. "Kini, saya melakukan kerja amal ini sebagai wakil hospital kerajaan saya," katanya yang bertugas sebagai Ketua Perubatan dan Pakar Anestetik di University Hospital of North Norway dan pensyarah perubatan kecemasan di University of Tromsø.



MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila pada awal tahun 1980-an.

Kempen boikot gugat ekonomi Israel 

Sesetengah rakyat Malaysia masih ragu-ragu mengenai keberkesanan Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) "Saya faham perasaan itu, tapi kita kena lihat realitinya. Banyak syarikat korporat yang disasar BDS, seperti Veolia dan G4S, mengalami kerugian besar akibat beroperasi dan mengaut keuntungan di tanah Palestin yang diduduki Israel. "Kita harus ingat G4S yang bertanggungjawab menguruskan penjara kanak-kanak di Israel dan benteng aparteid di Tebing Barat. Kempen BDS Norway menyasar G4S dan ia berkesan. Mereka akhirnya terpaksa gulung tikar di Norway," kata Dr Gilbert. Syarikat antarabangsa Veolia pula membina landasan kereta api dari Tel Aviv ke Jerusalem secara haram di atas tanah Palestin.

Selepas aktiviti mereka didedahkan oleh kempen BDS, syarikat itu kini kerugian berbilion dolar dan menutup operasinya di Israel. "Jadi tidak syak lagi boikot memang berkesan. Ia menggugat ekonomi Israel. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negara itu sedang menghadapi dua ancaman strategik iaitu BDS dan Iran. Kini mereka cuba menjadikan sokongan BDS satu jenayah di Amerika Syarikat dan Kanada. "Sungguh memalukan tindakan itu, kerana BDS satu kaedah bantahan yang aman dan demokratik. Negara Barat pula bukan tidak pernah mengenakan sekatan sedemikian ke atas Iran, Iraq dan Libya," katanya, sambil menambah bahawa dunia Barat mengenakan sekatan ke atas negara lain sejak berdekad lalu.

"Ketika tumpahan darah di Gaza Julai lalu, pihak PBB, AS dan Kesatuan Eropah sibuk mengenakan sekatan, bukan ke atas Israel, tetapi Russia. Ia hanya mengambil mereka beberapa hari untuk mengenakan sekatan ke atas kerajaan dan rakyat Russia. Ini menunjukkan sekatan dan boikot mampu digunakan negara Barat ke atas mana-mana rejim di dunia kecuali Israel," katanya. Beliau menggesa rakyat Malaysia mengikuti kempen BDS dengan menyasar hanya syarikat besar yang mengaut keuntungan atas penindasan rakyat Palestin. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/91412
0 Komentar untuk " Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ