Ekonomi kekal kukuh‎ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ekonomi kekal kukuh‎

EKONOMI negara kekal kukuh walaupun persekitaran luar yang tidak menentu termasuk kejatuhan harga minyak mentah dunia, ketidaktentuan pasaran kewangan serta kelembapan ekonomi serantau.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, dalam tempoh separuh penggal pertama 2015, ekonomi negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.3 peratus disokong pengukuhan permintaan domestik, terutama perbelanjaan sektor swasta.

Manakala dari sudut penawaran, pertumbuhan disokong oleh pertumbuhan  yang menyeluruh di semua sektor ekonomi.

“Mengambil kira petunjuk ekonomi utama terkini dan persekitaran luar yang lebih mencabar dan pertumbuhan global yang sederhana, prospek ekonomi negara pada 2015 dijangka mencatat pertumbuhan stabil dalam lingkungan 4.5 hingga 5.5 peratus disokong aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan Malaysia akan mencapai KDNK sebanyak 4.7 peratus,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen (Putatan (BN) Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum itu, beliau meminta Menteri Kewangan menjelaskan mengenai usaha kerajaan menstabilkan dan mengukuhkan nilai ringgit serta usaha kerajaan menerangkan kepada rakyat mengenai isu kemerosotan ekonomi  ketika ini.

Menurut Tee Yong, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk menangani dan mengurangkan impak global kepada ekonomi negara antaranya skim jaminan modal kerja sebanyak RM5 bilion disediakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (sektor perkhidmatan) dan RM2 bilion bagi sektor lain.

“Langkah lain Dana Pelaburan Strategik Domestik diteruskan dengan peruntukan tambahan RM1 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan peruntukan RM80 juta kepada sektor pelancongan.

“Prestasi ekonomi dijangka terus berkembang dengan mapan disokong inisiatif strategik yang akan dibentangkan dalam Bajet 2016. Walaupun Malaysia terdedah dengan perkembangan luar yang tidak menentu, pertumbuhan bagi 2016 hingga 2020 dijangka dalam lingkungan 5 hingga 6 peratus dipacu permintaan domestik,” katanya.

Mengenai ringgit Tee Yong berkata, ringgit dan kebanyakan mata wang utama dan serantau berada pada trend merosot disebabkan pengukuhan dolar AS berikutan data ekonominya yang bertambah baik.

Ketidaktentuan perkembangan ekonomi di Greece dan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi China serta penurunan yuan pada Ogos  turut menjejaskan prestasi mata wang serantau.

0 Komentar untuk " Ekonomi kekal kukuh‎ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ