Bajet 2016 pacu ekonomi Bumiputera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bajet 2016 pacu ekonomi Bumiputera

PERSATUAN Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menyambut baik Bajet 2016 yang dilihat positif bagi memacu ekonomi negara secara keseluruhannya, khususnya kepada syarikat Bumiputera.

Presidennya, Nurammar Abu Bakar berkata, tumpuan yang diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan Bumiputera membantu kesinambungan kepada program pembangunan usahawan komuniti itu yang sedia ada.

“Terima kasih atas penumpuan khusus kepada PKS khasnya yang diberikan peruntukan sebanyak RM1.385 bilion menerusi lima strategi khas untuk PKS.

“Begitu juga dengan peruntukan yang diberikan pada Teraju dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera berjumlah RM150 juta setiap satu dan peruntukan RM500 juta kepada Tekun untuk usahawan Bumiputera berskala kecil yang dilihat amat baik. Ia diharap dapat diurus dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Nurammar juga mahu kerajaan membuktikan, ada mekanisme yang benar-benar terancang dan berkesan agar peruntukan besar itu mampu memberikan impak positif yang sebenar kepada usahawan Bumiputera.

Beliau berkata, PPIPBM juga amat mengalu-alukan Program Memperkukuhkan Eksport berjumlah RM235 juta.

“PPIPBM sentiasa memberi keutamaan kepada program akses pasaran luar negara dan bersedia untuk bekerjasama dengan agensi yang berkaitan khususnya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“PPIPBM juga amat berterima kasih atas kemudahan Credit Swap Ringgit-Renminbi oleh bank tempatan yang dikelola Bank Negara khususnya untuk syarikat yang mempunyai perdagangan dengan China,” katanya.

Selain itu, katanya, projek infrastruktur seperti Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3), Jajaran Kedua Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT2) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) perlu mempunyai polisi pembangunan untuk usahawan Bumiputera.

“Ia boleh dilakukan menerusi padanan strategik syarikat-syarikat multinasional luar negara yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang tersebut dengan Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu'min Sdn Bhd (Al-Meswak Mu'min), Zaihal Hazri Abdul Halim minta usahawan Bumiputera merebut peluang seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PPIPBM berkata, dari sudut pembangunan Bumiputera, Bajet 2016 dapat memberikan manfaat langsung kepada pelbagai lapisan usahawan bermula dari peringkat memulakan perniagaan, syarikat peringkat pertengahan dan mereka yang berskala besar.

“Golongan syarikat yang baru memulakan perniagaan boleh mengambil peluang atas peruntukan bajet yang disalurkan kepada Tekun sejumlah RM600 juta dan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM3.7 bilion.

“Manakala SME Corp dan Matrade diberikan tanggungjawab untuk membimbing syarikat atau PKS peringkat pertengahan menerusi peruntukan sejumlah RM235 juta yang memfokuskan kepada eksport. Inisiatif ini sangat baik kerana eksport dapat mendorong kemasukan mata wang asing ke dalam negara, seterusnya membina ekonomi yang kukuh,” katanya.

Bagi mereka yang menceburi bidang peruncitan dan pemborongan, katanya, usahawan itu boleh merebut peluang belanjawan yang disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebanyak RM250juta.

0 Komentar untuk " Bajet 2016 pacu ekonomi Bumiputera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ