KL-Riyadh sepakat tangani isu global - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

KL-Riyadh sepakat tangani isu global

HUBUNGAN Malaysia-Arab Saudi sudah wujud sejak lebih separuh abad lalu. Malah, hubungan itu mencapai tahap baharu apabila Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Arab Saudi Jun lalu atas jemputan Raja Salman Abdulaziz al-Saud, iaitu raja baharu Arab Saudi. Jemputan ini juga adalah yang pertama daripada pemimpin Arab Saudi, sekali gus memberi satu penghormatan kepada negara, khususnya Perdana Menteri.

Satu lagi petunjuk hubungan kedua-dua negara semakin rapat ialah penganugerahan kontrak mengurus sistem metro Arafah ke Mina kepada Prasarana Malaysia Berhad bernilai 807 juta riyal (RM767 juta) yang juga melambangkan bahawa Riyadh mahupun dunia memandang positif masyarakat perniagaan Malaysia. Malah, Malaysia dan Arab Saudi turut bekerjasama dalam usaha memerangi militan terutama kumpulan Negara Islam (IS).

Tentu kita masih ingat Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz, Raja Arab Saudi yang mangkat Januari lalu, apabila sudi membiayai pembedahan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli untuk memisahkan adik beradik istimewa itu, 13 tahun lalu. Sekali lagi, ia menyerlahkan betapa akrabnya hubungan Kuala Lumpur-Riyadh.

Ikuti temu bual wartawan BH Ahad, A Jalil Hamid dan Veena Rusli, bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, susulan lawatan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir ke Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi mengupas keistimewaan hubungan dua negara Islam ini.

S: Menteri Luar, Adel Ahmed Al-Jubeir, adalah antara anggota Kabinet Kerajaan Arab Saudi selepas rombakan dan pemimpin muda menyertai barisan pentadbiran. Apakah Malaysia melihat pendekatan baharu dalam hubungan Malaysia-Arab Saudi? 

J: Keakraban hubungan Malaysia dan Arab Saudi terjalin sejak lebih 50 tahun lalu. Kepemimpinan Arab Saudi sentiasa membantu dan menyokong segala usaha kita dalam memperkukuh serta memantapkan kerjasama kedua-dua negara. Hubungan baik sedia ada antara Malaysia dan Arab Saudi adalah hasil sokongan berterusan dan usaha kedua-dua pihak ke arah meningkatkan kerjasama dalam segala aspek sejak sekian lama. Pemimpin Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua pemimpin Arab Saudi bagi memastikan hubungan baik sedia ada berterusan.

S: Arab Saudi dan Malaysia dilihat sebagai suara berpengaruh dalam dunia Islam. Pelbagai cabaran dihadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam bentuk fahaman pelampau dan penindasan terhadap umat Islam di Palestin, Syria serta Myanmar yang begitu hampir dengan negara ini. Bagaimana Malaysia dan Arab Saudi boleh meneraju usaha ke arah menyelesaikan segala isu ini? 

J: Malaysia dan Arab Saudi mempunyai banyak pengalaman dalam menangani masalah berkaitan ummah di seluruh dunia. Kedua-dua negara kerap menyatakan pendirian dan keprihatinan berhubung masalah ini, terutama tentangan terhadap fahaman melampau serta penindasan yang dihadapi umat Islam di seluruh dunia menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan antarabangsa lain. Ketika ini, Malaysia dan Arab Saudi adalah ahli Kumpulan Penghubung OIC bagi masyarakat Rohingya di Myanmar, selain menjadi rakan Amerika Syarikat dalam menangani ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) di Asia Barat. Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pandangan dalam pelbagai isu berhubung fahaman pelampau dan keganasan di Asia Barat. Kita bekerjasama rapat dalam menangani masalah itu.

S: Arab Saudi mengambil pendirian lebih tegas menangani peningkatan faham pelampau di Asia Barat. Apakah pendekatan ini diperluas merentasi rantaunya terutama Malaysia? Bagaimana kerjasama boleh dipertingkat dalam aspek ini? 

J: Buat masa ini, ketegasan tindakan Arab Saudi menangani kumpulan pelampau terbatas di wilayahnya. Bagaimanapun, Malaysia dan Arab Saudi sudah lama bekerjasama untuk menangani fahaman pelampau dan keganasan. Kedua-dua negara percaya dengan pentingnya kerjasama untuk menangani masalah rentas negara seperti fahaman pelampau dan keganasan, sejajar usaha menanganinya dengan berkesan. Kita akan bekerjasama dengan semua rakan, termasuk Arab Saudi untuk menghapuskan ancaman ini.

S: Malaysia akan mewujudkan Pusat Digital Serantau bersama Amerika Syarikat bagi menangani ideologi fahaman IS. Apa pengajaran boleh diambil dari Arab Saudi dalam 'memulihkan' anak muda daripada fahaman pelampau? Apakah ada yang mahu dipelajari Arab Saudi daripada kita? 

J: Arab Saudi sememangnya mempunyai program 'pemulihan' yang agak meluas dalam menangani masalah berkenaan. Programnya memerlukan pembabitan pelbagai agensi seperti Kementerian Dalam Negeri/Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Agensi Kebajikan Sosial dan Kementerian Hal-Ehwal Agama. Program disediakan merangkumi pelbagai modul untuk tempoh panjang - daripada pencegahan kepada pemulihan bagi mengelak tersilap percaturan. Agensi keselamatan antara kedua-dua negara boleh meninjau potensi berkongsi pengalaman dan amalan baik berhubung apa yang berkesan atau sebaliknya dalam usaha 'memulihkan' golongan muda.

S: Ada antara 2,000 hingga 3,000 pelajar Arab Saudi di Malaysia. Selaras usaha Malaysia menjadi hab pendidikan, apakah ada rancangan untuk menarik lebih ramai pelajar dari negara itu ke sini? Bidang pengajian apa yang boleh menarik minat Arab Saudi? 

J: Arab Saudi sedang membangunkan modal insan dengan menghantar pelajarnya ke universiti dan kolej terkemuka di seluruh dunia. Malaysia dilihat sebagai destinasi pilihan bagi pelajar Arab Saudi berikutan bilangan universiti/kolej terkemuka di negara ini yang menawarkan kursus profesional, persekitaran dan kemudahan pembelajaran kondusif serta paling utama, kosnya mampu ditanggung. Bilangan pelajar Arab Saudi ke Malaysia meningkat dengan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malaysia menjadi pilihan pelajar Arab Saudi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi terutama dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan teknologi maklumat (IT). Antara kursus yang diminati dalam bidang kejuruteraan ialah Kimia, Petrokimia dan Kejuruteraan Sivil manakala bidang IT lazimnya membabitkan telekomunikasi serta perisian.

S: Datuk Seri dilaporkan berkata, dagangan dengan Arab Saudi kini bernilai RM13.1 bilion. Apa lagi boleh dilakukan untuk melonjakkan angka ini dan apakah bidang baharu yang boleh diterokai? 

J: Di peringkat global, Malaysia adalah rakan dagang ke-19 terbesar Arab Saudi, destinasi eksport ke-23 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar. Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi menunjukkan peningkatan signifikan serta berterusan sejak sekian lama. Pada 1990, nilainya adalah AS$260 juta (RM1.1 bilion) sebelum melonjak kepada AS$4.019 bilion (RM17 bilion) pada 2014. Syarikat Malaysia memiliki kemampuan dan kecekapan menyertai sektor pelaburan bidang penting di Arab Saudi termasuk Tenaga (Petrokimia, Penapisan Minyak Mentah, Baja, Tenaga dan Air), Pengangkutan dan Logistik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Penjagaan Kesihatan dan Sains Hayat serta Pendidikan. Arab Saudi menawarkan peluang pelaburan yang besar bagi masyarakat perniagaan Malaysia terutama bidang yang menjadi kelebihan buat Malaysia, ke arah mewujudkan kerjasama perniagaan yang saling memanfaatkan kedua-dua negara. Masih banyak ruang boleh diteroka untuk memperluaskan hubungan dagang yang mencakupi pelbagai bidang seperti kejenteraan, perkakas dan peralatan, bahan binaan dan pembinaan, minyak kelapa sawit, makanan dan minuman diproses serta produk berasaskan kayu. Malaysia turut menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan termasuk pembangunan hartanah, pembinaan, khidmat kejuruteraan, jana kuasa, perbankan Islam dan perkhidmatan kewangan, ICT, francais, penjagaan kesihatan, pendidikan dan banyak lagi.

S: Lebih ramai rakyat Malaysia mampu untuk menunaikan ibadat haji tetapi kuota ditetapkan seakan tidak pernah mencukupi. Apa yang boleh dilakukan Malaysia untuk mengubahnya? 

J: Kuota haji yang diberi kepada setiap negara ditetapkan menerusi perjanjian di bawah OIC. Berikutan kerja pembesaran Masjidilharam, kuota setiap negara dikurangkan 20 peratus. Bagaimanapun, kita terus memohon kepada Kerajaan Arab Saudi supaya kuota itu ditambah. Pengurusan jemaah Malaysia yang baik dan disiplin tinggi jemaah Malaysia pada setiap musim haji adalah nilai tambah yang mungkin diambil kira oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota Malaysia. Kerajaan Arab Saudi pernah memberi kuota haji istimewa kepada Malaysia dan ini adalah susulan keakraban hubungan pemimpin kedua-dua negara.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/91935
0 Komentar untuk " KL-Riyadh sepakat tangani isu global "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ