Uniknya tabung tong gas - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Uniknya tabung tong gas

“AWAK cakap betul-betul, mahu buat tabung atau bom?,” tanya seorang pengusaha sebuah bengkel membaiki pendingin hawa kenderaan di bandar Kuantan membuatkan seorang anak muda yang datang bertanyakan sekiranya ada tong gas ‘aircond’ kosong hendak dijual terkedu seketika.

Lelaki Cina berusia lewat 40-an itu menyambung. “Saya berseloroh saja tapi pelik sikit sebab awak minta nak beli tong gas kosong.

“Hendak buat apa? Tong itu tidak boleh diisi semula atau digunakan lagi kecuali dijadikan barang lusuh,” tanya sang pengusaha itu bertubi-tubi inginkan kepastian.

Persoalan demi persoalan diajukannya seolah-olah terlalu pelik hasrat anak muda itu hendak membeli tong gas kosong sebabnya bukan satu atau dua sebaliknya semua yang ada jika dia sedia menjualnya.

Setahunya, hanya pembeli besi buruk yang sanggup membeli tong gas kosong dan tidak pernah ada yang datang mencari bagi tujuan lain.

“Saya mahu bikin tabung syiling...buat cantik-cantik kemudian jual kepada sesiapa yang berkenan,” anak muda itu bersuara memberikan penjelasan menyuraikan segala tanda tanya di benak fikiran lelaki Cina itu.

Ternyata jawapan diberikan belum memuaskan hatinya namun wajah sangsi pengusaha itu bertukar sebaik sahaja dia ditunjukkan gambar-gambar yang ada dalam galeri telefon pintar milik anak muda di hadapannya.

“Wah! Cantik,” komennya. Kini dia faham tujuan anak muda itu beriya-iya mahu membeli tong gas ‘aircond’ kosong lalu mengarahkan pekerjanya mengangkut keluar tong-tong dari stor.

Tong gas terbuang jana duit sampingan

Adegan seolah-olah babak drama itu pernah dilalui Mohd Zulkhairi Zuldin atau lebih mesra dipanggil Zul, 27, dari Bukit Setongkol, Kuantan ketika mula-mula mencari tong gas pendingin hawa yang kosong untuk menghasilkan tabung syiling lain daripada yang lain.

Biarpun ada  pihak yang memperlekehkan hasratnya itu, namun sindiran sinis yang diterima tidak berpanjangan.

Daripada sebiji tabung yang dihasilkan atas permintaan kawan, dia kini mampu menarik nafas lega kerana hasil kreativitinya itu mampu memberikan pulangan sebagai  sumber pendapatan sampingan untuk dia menyara keluarga.

Biarpun terpaksa menggunakan tenaga empat kerat sendiri tanpa bantuan pekerja, bapa kepada tiga anak itu mampu menghasilkan antara tiga hingga empat tabung sehari dengan kualiti yang terbaik.

Nampak mudah tapi perlu ketelitian

Bagi sesetengah pihak, menghasilkan tabung daripada tong gas nampak mudah, namun sebaliknya bagi Zul yang saban hari berdepan dengan pekerjaan itu.

“Sebenarnya ketelitian amat perlu supaya tong-tong terbuang yang dianggap sampah sebelum ini boleh menjadi produk kegunaan baru yang ada nilai atas  keunikannya.

“Asalnya tabung yang dikutip dari bengkel-bengkel pendingin hawa kenderaan ini sudah lusuh, kadang-kadang sudah berkarat jadi kita terpaksa gosok gunakan kertas pasir agar permukaannya  jadi licin, rata dan senang untuk disemburkan cat,” katanya sambil mendemonstrasikan proses itu untuk tatapan penulis.

Zul menjelaskan, tong perlu ditebuk dengan berhati-hati  supaya lubang yang dihasilkan menepati saiz yang dikehendaki.

“Bagi saya, proses paling mencabar adalah ketika mengecatnya kerana cat perlu disembur dengan teliti bagi memastikan warnanya sekata dan menyerlah.

“Saya ambil masa cari teknik semburan agar cat yang disembur memberikan warna lebih menyerlah dan tepat dengan kehendak pelanggan.

“Sebelum itu, pada permulaan pembuatan tabung ini, saya tidak puas hati dengan kualiti warnanya yang terhasil kerana tidak sekata dan bertompok-tompok serta agak pudar,” jelasnya lagi.

Akhirnya, berkat kesabaran dan kesungguhan, dia  menemui teknik bagi menghasilkan warna terbaik, namun hakikat yang perlu diterima adalah berlaku peningkatan kos yang tidak boleh dielakkan.

“Penggunaan cat agak banyak kerana satu tong sekurang-kurangnya memerlukan dua lapisan cat alas sebelum warna yang dikehendaki disemburkan di peringkat akhir,” katanya yang mengusahakan pembuatan tabung itu hanya di sebuah ruang kecil di sudut rumahnya.

0 Komentar untuk " Uniknya tabung tong gas "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ