Tanak nasi atau tanak beras? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tanak nasi atau tanak beras?

PADA minggu lepas, penulis telah membincangkan ragam bahasa terbalik yang sering digunakan dalam perbualan seharian. Pada minggu ini pula, penulis ingin mengajak sidang pembaca memahami bentuk kiasan yang sering digunakan dalam komunikasi lisan. Sebagai penutur jati, kita kadangkala tidak mengetahui bahawa ungkapan yang sering kita gunakan itu merupakan bahasa kiasan. Cuba perhatikan dialog di bawah:

“Berapa banyak nak tanak nasi kali ni, mak?”

“Tanaklah lebih sikit, tetamu kita nak sampai tak lama lagi.”

“Mujurlah cuaca sehari dua ni cerah, dapatlah mak abah menoreh getah.”

“Mudah-mudahan, cuacanya berterusan begini. Sekurang-kurangnya, ada juga lauk-pauk untuk dihidangkan kepada tetamu nanti.”

Kita pernah mendengar ungkapan, engkau umpama lilin, rupamu cantik laksana bulan purnama, kerjanya sepantas kilat dan sebagainya. Semua contoh tersebut merupakan bentuk bahasa kiasan. Kamus Dewan mendefinisikan perkataan kiasan sebagai pertimbangan mengenai sesuatu perkara dengan perbandingan perkara yang lain, ibarat atau perumpamaan. Jika kita perhatikan contoh yang diberikan, kita dapati bahawa perbuatan atau sifat seseorang itu akan dibandingkan dengan benda lain seperti lilin, bulan purnama dan kilat.

Apabila kita menggunakan rangkai kata, dia cantik umpama ibunya, kerjanya cermat seperti ayahnya, ungkapan tersebut tidak dapat dianggap sebagai kiasan. Hal ini demikian kerana perbandingan yang digunakan menunjukkan hubungan setara iaitu antara manusia dengan manusia.

Bagaimana pula dengan kiasan tanak nasi? Apakah sebenarnya yang kita tanak? Nasi atau beras? Sebenarnya, yang kita tanak ialah beras, bukannya nasi. Daripada beras yang kita tanak, barulah bertukar menjadi nasi. Jika nasi pula yang kita tanak, tentulah akan menjadi bubur nasi! Akan tetapi, kenapa tidak kita sebut tanak beras?

Dalam bahasa kiasan, tanak nasi dikategorikan sebagai kiasan melompat. Apakah yang melompat? Cuba perhatikan, kiasan tanak nasi ini sebenarnya berasal daripada rangkai kata tanak beras untuk menghasilkan nasi. Sekarang, penulis menggunakan contoh yang lain pula, menjahit baju. Menjahit baju merupakan rangkai kata yang berasal daripada menjahit kain untuk dijadikan baju. Keadaan ini dikatakan melompat, apabila perkataan pertama dan akhir yang diambil. Perkataan di antaranya diabaikan.

Daripada contoh dialog di atas, penulis telah menggunakan ungkapan menoreh getah. Menoreh getah, sebenarnya berasal daripada rangkai kata, menoreh pokok (getah) untuk mendapatkan susu getah. Jika penulis menggunakan contoh lain seperti mencucuk atap, penulis yakin sidang pembaca dapat memahami ungkapan sebenar di sebalik bahasa kiasan tersebut walaupun pada masa ini, tidak banyak lagi rumah menggunakan atap rumbia berbanding atap genting.

Jika diteliti, orang-orang terdahulu begitu cekap berbahasa, daripada ungkapan yang panjang, dipendekkan, malah tidak menjejaskan maksud yang ingin disampaikan. Di sinilah letaknya ketinggian ilmu, ketajaman akal, kesantunan  budi yang seharusnya dijadikan suri teladan oleh generasi masa ini.

Penulis memetik kata-kata Allahyarham Pendeta Zainal Abidin Ahmad (Zaba) dalam Pelita Bahasa, “Perkataan-perkataan Melayu itu apabila dirangkaikan supaya menjadi cakap bermakna wajiblah disusun mengikut kaedah-kaedah yang tertentu khas bagi bahasa Melayu.

Dengan demikian barulah nyata perhubungan antara tiap-tiap sepatah perkataan dengan lain-lain perkataan yang berkenaan dengannya dalam rangkaian itu, barulah boleh ia memberi pengertian yang betul dan terang mengikut jalan susunan bahasa Melayu jati.”

Selamat Menyambut Hari Malaysia. Salam Sehati Sejiwa. Bahasa Cerminan Bangsa.

0 Komentar untuk " Tanak nasi atau tanak beras? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ