Puji si pemberi atas nikmat-Nya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Puji si pemberi atas nikmat-Nya

SEBAGAI umat Islam, kita disuruh supaya bertakwa kepada ALLAH SWT. Firman-Nya: "Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat ALLAH yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada ALLAH; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi; Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembahnya)?" (Surah Fathir: 3)

Sesungguhnya ALLAH mencurahkan nikmat-Nya dan menyuruh supaya kita bersyukur terhadap-Nya. ALLAH berjanji sesiapa mensyukuri nikmat-Nya nescaya Dia akan menambahkan nikmat tersebut. Adapun mereka yang tidak bersyukur, ALLAH mengancam mereka dengan azab-Nya yang sangat pedih.

Kerana itu, hendaklah lihat kedudukan kita dalam mensyukuri nikmat ALLAH di samping mengambil pengajaran daripada apa yang menimpa umat sebelum ini (tidak mensyukuri) nikmat ALLAH kerana sikap sombong mereka; bagaimana bencana ALLAH telah menimpa mereka. Akhirnya nikmat ALLAH bertukar menjadi azab, keamanan bertukar menjadi ketakutan, kekayaan dan kekenyangan bertukar menjadi kepapaan dan kelaparan. Oleh yang demikian, hendaklah kita berjaga-jaga agar balasan yang demikian tidak menimpa kita.  

Sesungguhnya ALLAH melimpahkan nikmat-Nya kepada kita dengan kurniaan yang tidak pernah dirasai oleh manusia sebelum ini daripada sudut makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kenderaan yang berbagai dan serba mewah; ditambah lagi kehidupan yang aman damai dan sejahtera.

Apa pun, nikmat ALLAH yang paling besar dan yang berharga adalah nikmat diberikan hidayah Islam dalamnya terkandung segala pengajaran dan panduan yang diperlukan manusia untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Kerana itu, kita perlu bersyukur kepada ALLAH dan tidak bersikap kufur menafikan nikmat tersebut. Hendaklah kita sentiasa mengingati ALLAH; jangan kita lupakan-Nya. Kita juga perlu sentiasa taat kepada-Nya; jangan berlaku maksiat dan derhaka. Jangan kita menjadi seperti manusia sebelum ini yang telah menukar nikmat ALLAH dengan kekufuran sehingga mengakibatkan mereka ditimpa kebinasaan.

Himpun tiga asas

Hakikat syukur ialah memuji si pemberi atas pemberian-Nya. Adapun syukur manusia kepada ALLAH, ia kembali kepada tiga asas di mana seorang manusia itu tidak akan dikira bersyukur kecuali dengan menghimpunkan ketiga-tiga asas ini iaitu:

Pertama: Mengakui nikmat ALLAH dalam hati dengan mengiktiraf nikmat tersebut datang daripada ALLAH atas sifat rahmat dan pemurah-Nya; bukan kerana kemampuan dan kekuatan manusia itu.

Kedua: Menceritakan perihal nikmat ALLAH tersebut secara zahir dengan memuji ALLAH, bertahmid dan bersyukur kepada-Nya. Dan sama sekali tidak menisbahkan nikmat tersebut kepada selain ALLAH.

Jangan jadi seperti Qarun ketika mana kaumnya menasihatinya sebagaimana dalam firman ALLAH SWT: "Ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang yang bermegah-megah.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba ALLAH) sebagaimana

ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di atas muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah Al-Qashash: 76-77)

Ternyata, Qarun mengingkari nikmat ALLAH atasnya kerana beranggapan harta kekayaan yang diperolehnya itu adalah hasil daripada kepintaran dan kebijaksanaannya.

Apa akibatnya? Sangat buruk. Ternyata ALLAH membuatkan bumi menelan Qarun berserta rumah dan hartanya itu. Kita berlindung dengan ALLAH daripada kemurkaan dan seksaan-Nya yang sangat pedih.

Ketiga: Menggunakan nikmat yang ALLAH berikan itu pada jalan diredai ALLAH. Adapun mereka yang menggunakan nikmat yang ALLAH berikan kepada mereka pada hal maksiat, sesungguhnya mereka telah kufur terhadap nikmat ALLAH itu.

Maka golongan yang mengerah tenaga dan harta bendanya dalam maksiat, mereka mengkufuri nikmat ALLAH atas mereka. Ini menyebabkan mereka layak mendapat azab seksa daripada ALLAH.

Sesungguhnya golongan rasul adalah contoh teladan yang sempurna buat manusia. Mereka adalah manusia yang paling sempurna dalam mensyukuri nikmat ALLAH.

Iktiraf nikmat-Nya

Dalam al-Quran, ALLAH SWT memuji rasul pertama iaitu Nabi Nuh AS: "Sesungguhnya dia seorang hamba yang bersyukur." ALLAH menyebut mengenai Nabi Daud dan Sulaiman AS yang dikurniakan ilmu pengetahuan.

Kedua mereka mengiktiraf nikmat ALLAH atas mereka dan berkata: "Segala puji bagi ALLAH yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-Nya yang beriman." (Surah Al-Naml: 15)

Maka keduanya menyatakan kesyukuran mereka kepada ALLAH atas nikmat ilmu yang diberikan kepada mereka.

Seterusnya ALLAH menyebut mengenai Nabi Sulaiman AS yang memuji Tuhannya dan mengakui kurniaan yang diberikan kepadanya ketika mana dia mewarisi kenabian ayahnya dan ALLAH mengajarkannya bahasa pertuturan burung serta diberikan kepadanya segala yang diperlukan oleh seorang raja.

Ketika Nabi Sulaiman mengerahkan bala tenteranya dalam kalangan manusia, jin dan burung, dan baginda mendengar pertuturan antara semut yang menyebut mengenai bala tenteranya yang melewati rumah semut itu, Nabi Sulaiman menyatakan pengiktirafannya atas nikmat ALLAH dalam Surah Al-Naml ayat 19.

Begitu juga apabila perintahnya supaya dibawakan singgahsana Puteri Balqis kepadanya dilaksanakan dalam masa yang begitu pantas, Nabi Sulaiman mengakui bahawa hal tersebut tidak berlaku kerana kelebihan dan kekuatannya.

Sebaliknya ia adalah hasil kurnia ALLAH atasnya. Firman ALLAH: "Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku sama ada aku bersyukur atau aku mengkufuri nikmat pemberian-Nya. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang kufur (nikmat), sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah Al-Naml: 40)

Demikianlah sifat nabi yang sentiasa mengakui nikmat ALLAH dan mensyukuri kurnian-Nya. Merekalah adalah contoh teladan buat kita semua.

Oleh itu hendaklah kita meneladani mereka dengan mensyukuri segala nikmat ALLAH atas kita dengan hati, lidah dan amalan kita.

Bukan dengan sekadar melafazkan kalimah alhamdulillah syukur dengan lidah semata-mata sedangkan hati kita lalai ingkar dan bersikap takbur sombong manakala perbuatan kita pula menyalahi apa yang diredai ALLAH.

Sifat bersyukur kembali kepada hati, lidah dan anggota badan. Hati mengiktiraf nikmat tersebut dengan perasaan sayang kepada ALLAH. Lidah pula bertahmid memuji-muji ALLAH, manakala anggota badan pula menggunakan nikmat itu dalam mentaati ALLAH dan menjauhi maksiat.

0 Komentar untuk " Puji si pemberi atas nikmat-Nya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ