Panggung sinema kita tandus filem patriotik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Panggung sinema kita tandus filem patriotik

Tirai panggung sinema di Malaysia tandus filem patriotik atau bersifat kenegaraan dalam pada kita menyambut bulan patriotisme dan kemerdekaan pada tahun ini. Jelas, karya seperti Tanda Putera atau 1957 Hati Malaya kurang mendapat sambutan baik daripada penonton, malah karyawan juga dilihat bimbang untuk terus melahirkan karya seperti itu lagi. Filem patriotik atau bersifat kenegaraan biasanya berkait rapat dengan jati diri bagi meningkatkan rasa kecintaan penonton terhadap negaranya. Elemen sejarah yang mengaitkan pemimpin atau seseorang tokoh juga sering digunakan sebagai daya tarikan.

Namun, persepsi penonton dan masyarakat terhadap filem kenegaraan dan patriotik ini lebih menjurus ke arah peperangan, pergolakan, pertumpahan darah dan juga perebutan kuasa daripada penjajah. Adakah ini yang dimaksudkan patriotik? Benar. Perjuangan pemimpin dan pahlawan negara menghalang Malayan Union dilihat sebagai gerakan nasionalis yang mendokong kedaulatan negara yang menuntut kemerdekaan.

Antara filem patriotik tempatan terkenal yang mengisahkan perjuangan menentang penjajahan di Tanah Melayu antaranya Sarjan Hassan dan Bukit Kepong. Meneruskan kesinambungan penghasilan filem kenegaraan bagi memenuhi keperluan semasa, Leftenan Adnan dan Tanda Putera dihasilkan untuk dijadikan bahan rujukan bagi tatapan generasi akan datang. Sejarah adalah sejarah. Ia fakta negara yang tidak boleh ditukar ganti. Kita hanya tahu ini negara Malaysia, tetapi belum tentu ramai yang tahu dengan lancar dan mendalam mengenai sejarah Malaysia iaitu sejarah negara sendiri. Di sinilah pentingnya stesen televisyen dan radio menguar-uarkan sejarah penubuhan dan ulang tahun Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerana medium media penyiaran elektronik mempunyai pengaruh besar kepada penonton atau pendengar.

Elemen fiksyen pikat penonton 

Tidak dapat dinafikan bagi tujuan tarikan penonton, elemen fiksyen turut disuntik dalam penghasilan sesebuah karya drama, mahupun filem supaya ia tidak membosankan apabila ditonton. Kebiasaannya, cerita berkisar tema sejarah, jika tidak diolah secara kreatif, menyebabkan penonton enggan untuk mengikutinya sehingga habis. Satu langkah bijak dan wajar KRU Berhad mengorak langkah memulihara filem masterpiece arahan Tan Sri Jins Shamsuddin, Bukit Kepong melalui proses yang disebut sebagai Digitally Restoration Mastering. Usaha ini bertujuan menyelamatkan salinan asal Bukit Kepong yang hampir rosak, sekali gus mengubahsuaikannya menjadi format digital berdefinisi tinggi (HD) yang lebih canggih dan menarik untuk ditonton.

Namun, kebimbangan yang sering menjadi polemik industri perfileman negara; entah kenapa, penonton lebih teruja menonton filem kenegaraan dan patriotik yang dihasilkan pembikin filem luar negara, tetapi bersikap terlalu cerewet, sangat berkira dan asyik mencari kelemahan apabila menonton filem negara sendiri. Setiausaha Kehormat Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Abdul Rahim Awang, berkata penghasilan karya filem patriotik atau filem berkisar kenegaraan Malaysia lemah dan lebih cenderung kepada genre filem dokumentari yang aksinya dilakonkan semula.

Katanya, filem konsep sejarah seperti Leftenan Adnan, Paloh dan Embun gagal memikat penonton kerana persembahannya yang bersifat hendak 'mengajar' penonton mengenai sejarah, walaupun dengan meletakkan nama besar pelakon tanah air, filem ini masih kurang mendapat perhatian penonton. "Penghasilan filem kenegaraan atau patriotik ini perlu mempunyai jalan cerita yang menarik berbanding penyampaian sejarah yang sudah diketahui umum," katanya pada forum SINeMA 2015 'Polemik Filem Kenegaraan: Diplomasi atau Kontoversi' yang dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Melaka baru-baru ini.

Salah guna label patriotik 

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Filem dan Televisyen ASWARA, Dzulkarnain Abdullah, berkata label patriotik dalam karya, sama ada filem, teater atau sastera tempatan telah digunakan dengan sewenang-wenang. Kerja karyawan ialah menghasilkan karya bukan memberi label tertentu terhadap karya mereka. Malah, makna patriotik itu sendiri sangat luas dan bukan saja berjuang menentang penjajah. "Jangan hanya menjadikan filem atau teater alat memaparkan sejarah. Untuk belajar sejarah bukanlah di pentas teater atau di panggung wayang. Sejarah tidak akan ditemui di tempat seperti ini," katanya.

Jika dilihat pada takrifan filem itu sendiri membawa maksud gambar yang bergerak. Penonton melihat filem sebagai satu wadah ilmu yang menyampaikan jalan cerita ringan, dan menghiburkan. Apabila karyawan meletakkan label 'patriotik' atau 'filem kenegaraan' ia adalah terlalu berat untuk penonton. Apabila pengarah Oliver Stone menghasilkan filem Born The Fourth of July, karyawan di Amerika tidak pernah mendakwa filem itu sebagai sebuah karya patriotik. Hal yang sama juga apabila muncul filem Black Hawk Down mengenai tentera Amerika di Somalia. Black Hawk Down tidak dikategorikan sebagai filem patriotik sekalipun pengisiannya cukup patriotik kepada Amerika. Begitu juga dengan filem picisan seperti Missing In Action, First Blood dan banyak lagi yang menjurus kepada patriotik Amerika menerusi karya filem. Tetapi filem ini tidak dilabelkan sebagai filem patriotik sebaliknya filem aksi. Bagi sesiapa yang menonton pasti akan dapat menangkap maksud sebenar filem aksi jenis ini yang bertujuan mengangkat imej Amerika. Malah, ada filem yang tidak ada babak peperangan juga digunakan untuk memaparkan patriotik terhadap Amerika.

Patriotik sebenarnya tidak perlu dilabelkan kepada mana-mana karya seni. Ini memungkinkan rasa bosan khalayak. Filem blockbuster Bollywood; Kabhi Kushi Khabie Gham tidak langsung dikatakan filem patriotik. Ia adalah filem cinta dengan nilai kasih dan hormat kepada keluarga yang cukup tinggi. Namun, semangat cintakan tanah air (India) yang dibawa oleh Kajol apabila berada di Amerika menerusi filem ini melambangkan semangat patriotik dalam diri masyarakat walau di mana mereka berada.

Perlu ada penyelesaian 

Apabila filem kurang fiksyen atau elemen cerekanya terlalu terikat dengan fakta sehingga membuang unsur hiburan akan menyebabkan penonton cepat gelisah sehingga filem itu tamat. Polemik ini berterusan tanpa formula penyelesaian pihak tertentu. Jika ada elemen hiburan dan fiksyen, penonton dan mungkin pihak lain akan mengkritik bahawa cerita sejarah patutnya tidak boleh dibuat dengan cara seperti itu.

Oleh itu, perlu sentiasa diingat bahawa patriotik tidak boleh hanya dilihat perjuangan kemerdekaan semata-mata. Ini akan menjadikan ruang litup patriotik itu kecil dan industri filem negara kurang berkembang. Karyawan perlu terus menghasilkan garapan filem yang mempunyai objektif dan mesej yang jelas (hardshell) atau mesej yang tersurat (suttle) dalam usaha mendidik sambil menghiburkan penonton.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79861
0 Komentar untuk " Panggung sinema kita tandus filem patriotik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ