Jangan siasat hanya Tun M - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan siasat hanya Tun M





*BILA agaknya Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendaki Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kehadiran beliau pada perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu lalu?

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ketika hadir pada perhimpunan dua hari bekas perdana menteri itu telah berucap dan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan.

Semua orang tahu sebelum ini pun Tun M telah membuat banyak tuduhan terhadap pucuk pimpinan, khasnya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Macam-macam skandal dan penyelewengan telah dibongkar, tetapi beliau tidak ditangkap atau disiasat.

Hanya setelah hadir perhimpunan kuning yang diisytiharkan haram, barulah ada ura-ura untuk siasat. Itu pun tidak tahu bila, sebab Khalid enggan memberitahu tarikh untuk menyiasat, walaupun Tun M sebelum ini sudah berkali-kali menyatakan beliau sedia untuk disiasat.

*PENGERUSI Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah bersama beberapa orang lagi rakan seperjuangan telah memberi keterangan ketika dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Seperti sebelum ini beliau memberi kerjasama baik dalam siasatan tersebut. Apa yang boleh dan patut dijawab telah pun dijawab. Ada juga perkara yang diserahkan kepada peguam untuk menjawab.

Polis menegaskan perhimpunan menjelang kemerdekaan 58 tahun itu adalah haram di sisi undang-undang. Pihak penganjur pula berpendapat perhimpunan berkenaan mengikut lunas undang-undang.

Tidak pasti undang-undang mana yang betul. Apa yang pasti beratus ribu orang telah menyertai perhimpunan tersebut yang berjalan secara aman, walaupun pada awalnya ada menteri meramalkan akan berlaku sesuatu yang tidak baik.

*KALAU pun ada yang tidak berapa baik ialah insiden memijak gambar Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diviralkan.

Sebagai tanda sayang dan hormat yang berkobar-kobar kepada dua pemimpin tersebut, berpuluh laporan polis telah dibuat di seluruh negara mengutuk perbuatan biadab tersebut.

Maria sendiri pun tidak setuju dengan perbuatan kurang ajar seperti itu. “Itu bukan arahan kita,” katanya sambil menegaskan tidak akan memohon maaf atas insiden tersebut.

Laporan telah banyak dibuat, maka tanggungjawab polis untuk menyiasat siapakah wanita yang megah memijak-mijak gambar pemimpin itu. Semua orang sudah melihat dengan jelas wajah si pemijak. TV3 menyiarkan klip video berkenaan lebih 20 kali.

Tentu polis – dengan kepakaran yang ada – tidak menghadapi masalah untuk menangkap wanita tersebut. Semua sudah jelas di depan mata, tidak perlu cari hingga ke lubang cacing.

*SATU lagi insiden tidak baik ialah letupan dipercayai berpunca daripada mercun menjelang berakhirnya perhimpunan tersebut pada hari Ahad. Polis telah menahan lima lelaki untuk membantu siasatan.

Kata polis, seperti yang dilaporkan Bernama: “Dalam senario pertama seorang lelaki didapati membakar dan membaling mercun ke arah peserta, manakala senario kedua, dua lelaki didapati membakar mercun dan ketika ditahan datang seorang lagi lelaki cuba menghalang polis daripada menahan kedua-dua lelaki itu.”

Oleh sebab sudah ditangkap, dan sesetengah pelaku telah pun tersebar jelas wajah mereka, maka tugas polis ialah bertanya tentang motif si pembakar mercun itu. Perhimpunan berjalan aman, mengapa mereka perlu mencetuskan letupan tersebut?

Patut juga dipastikan ialah adakah lima orang tersebut betul-betul ahli Bersih 4.0? Atau, adakah mereka dari mana-mana parti lain yang sengaja hendak membuat kacau? Macam pernah lihat wajah salah seorang dari yang ditahan itu, tetapi di mana ya?

*AKHIR kalam, lebih 100,946 orang peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) sehingga kini masih liat membayar balik pinjaman berjumlah kira-kira RM675 juta, kata pengarah urusan dan CEOnya Baharom Embi.

Macam-macam langkah telah dilakukan, tetapi peminjam masih enggan melunaskan hutang, termasuk mereka yang perniagaan telah berkembang maju menerusi modal dari Tekun.

Pinjam Mara, tidak bayar. Pinjam PTPTN, tidak bayar. Pinjam ah long pun tidak bayar. Kalau campur semua hutang tidak berbayar mungkin lebih dari RM2.6 bilion. Agaknya orang kita memang suka meminjam, tetapi tidak suka membayar. Mereka menganggap tidak bayar hutang itu sebagai satu kemegahan...

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Jangan siasat hanya Tun M "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ