Daripada Facebook menjadi perniagaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Daripada Facebook menjadi perniagaan

PUTRAJAYA: Bermula dengan hanya suka-suka membuat Puding Raja Pahang dan memuat naik gambar di laman Facebook, Nor Azizan Ab Aziz, 31, tidak menyangka ia menjadi titik tolak untuknya memulakan perniagaan. Beliau berminat untuk belajar membuat puding itu lebih tujuh tahun lalu apabila diperkenalkan oleh suaminya Mohamad Hamidi Ab Hamid, 37, yang berasal dari Pekan, Bandar Diraja Pahang.

Beliau yang berkhidmat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bera berkata pada mulanya agak sukar untuk membuat pencuci mulut tradisi istana Pahang itu. "Saya belajar sendiri melalui internet dan setelah beberapa kali mencuba barulah menjadi.

"Selepas memuat naik gambar Puding Raja yang saya buat di Facebook, ramai kawan yang ingin mencuba dan memberi inspirasi untuk saya memulakan perniagaan memandangkan hidangan itu sukar didapati di tempat lain," katanya. Kini, dengan menggunakan jenama Ratu Delight, Nor Azizan boleh berbangga apabila Puding Raja hasil air tangannya mendapat tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia membabitkan lebih 30 ejen dengan penghantaran melalui bas ekspres. Beliau yang memulakan perniagaan dalam talian itu secara serius sejak tiga tahun lepas berkata terdapat permintaan dari Sabah dan Sarawak namun buat masa ini ia agak sukar untuk dipenuhi kerana masalah penghantaran.

Pada setiap bulan, secara purata ibu kepada dua anak lelaki itu menghasilkan lebih 2,000 bekas Puding Raja dengan hanya dibantu suaminya. Beliau juga lebih selesa membuat promosi dan berurusan secara atas talian berbanding membuka kedai kerana kekangan waktu dan kos yang agak tinggi untuk menyewa premis dan mengupah pekerja. "Dengan menggunakan internet, pelanggan datang dari banyak tempat, tetapi kalau kedai pula hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja," jelasnya.

Nor Azizan berkata, keunikan Puding Raja dapat dilihat daripada bahan utama iaitu 'Jala Emas' yang diperbuat daripada kuning telur, selain penggunaan pisang lemak manis mengikut resipi asal istana. "Bahan utama untuk kuahnya pula ialah susu cair. Biasanya Puding Raja saya boleh bertahan lebih seminggu jika disejuk beku," katanya. Mereka yang berminat untuk mencuba Puding Raja Nor Azizan boleh menghubungi talian 011-10846220 atau mengikuti laman Facebooknya, Ratu Delight atau Instagram ratu_delight. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79894
0 Komentar untuk " Daripada Facebook menjadi perniagaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ