Nona Singapura dan rakan Pasifik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nona Singapura dan rakan Pasifik

UNTUK ruangan hari ini, terdapat dua tajuk menarik saya tuliskan. Pertama, tentang nona dan peria Singapura. Kedua, Perkongsian Rakan Pasifik.

Perkataan nona kini jarang sekali didengari, tetapi dalam tahun-tahun 1950-an, panggilan nona sentiasa meniti di bibir terutama merujuk kepada wanita ikon berbakat. Maka lagu Nona Singapura nyanyian R Azmi menjadi top pop begitu lama dalam tahun 1954.

Seorang penyanyi terkemuka sebelum Saloma ialah Asiah yang kerana kekaguman terhadapnya dipanggil Nona Asiah dan panggilan ini kekal sehingga beliau meninggal. Disebabkan perasaan yang tidak seimbang dalam kalangan pendengar di Malaya, pada tahun 1955 tiba-tiba menerawang lagu Nona Malaya yang juga dinyanyikan oleh R Azmi. Tentunya ‘nona’ yang kedua ini bukan original lagi. Justeru sambutannya tidak sepanas yang terdahulu itu.

Akhir-akhir ini 50 nona dan peria Singapura berkunjung ke rumah saya di Kota Damansara, Selangor. Isteri saya menjadi hos mereka - yang terdiri kebanyakannya orang-orang muda di bawah 40 tahun. Kunjungan itu bukan sekadar ‘makan angin’ tetapi lebih kepada aktiviti keagamaan. Bacaan al-Quran, berzanji, marhaban, qasidah, zikir, nasyid dan doa menjadi akhirul kalam. Prestasi mereka dalam semua segmen itu adalah superlatif atau cemerlang.

Isteri saya ialah murid Allahyarham Ustaz Datuk Hassan Azahari, tokoh pembacaan al-Quran di radio dan TV sejak tahun-tahun 1950an dan menjadi ketua hakim untuk sekian lama bagi Tilawah Al-Quran Nasional dan Antarabangsa. Beliau ialah bapa Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara. Saya ialah orang Pahang-Terengganu. Pembacaan Quran saya hanya betul pada tajwid dan kelancaran tetapi jauh sekali dalam aspek-aspek lain, apalagi kualiti tilawah. Maka kalau saya kagum dengan Ustaz Hassan apabila mengajar dan membetulkan tajwid dan lagu pembacaan murid-muridnya di udara, begitulah sedikit sebanyak kekaguman saya apabila mendengar pembacaan isteri saya. Turun naiknya macam bersahaja, tanpa dipaksa-paksa.

Oleh itu apabila beliau menyertai tetamu dari Singapura dalam enam segmen itu, saya didatangi rasa terpukau dan berkata dalam hati: ‘Inikah yang tercapai oleh orang Melayu Singapura?’ Isteri saya memberitahu bahawa prestasi mereka amat cemerlang, lebih cemerlang daripada yang pernah dilaluinya. "Mereka belajar setahun untuk membetulkan tajwid. Begitu juga mereka menyempurnakan berzanji, marhaban, qasidah, zikir dan nasyid. Semuanya mengambil masa dan melalui susah payah," kata isteri saya. “Ketika ratip berzikir, alunannya luar biasa, sedap didengar. Saya menyertai banyak grup di sini, tapi tidak pernah berjumpa seperti grup Singapura ini."

Pendapat saya pula, jika ada orang kata Melayu Singapura tersisih, tidak berada dan ternafi, mereka patut berfikir semula. Kawan saya, Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Menteri Penerangan, menyimpulkan: Jika kerajaan Melayu memerintah Singapura, belum tahu orang Melayu di sana semaju sekarang. Beliau menghabiskan satu jangka waktu menginap di Geylang, baru-baru ini.

Perkongsian Rakan Pasifik (PRP)

Sebenarnya saya tidak boleh menganggarkan betapa minat khalayak pembaca terhadap topik ini. Bagaimanapun, ia merupakan sesuatu yang kita sebagai rakyat Malaysia akan sama-sama hadapi, tanpa kekecualian lagi, sebagai Melayu, Cina, India, suku-suku dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Jika banyak persoalan timbul kerana pelaksanaan GST, begitu juga malah lebih lagi wujudnya apabila terma dan syarat-syarat PRP atau IPP (Inter-Pacific Partnership) ini menjadi satu realiti hidup kita hari-hari.

Bagus benar masalah politik kini menjadi persoalan hangat rakyat dalam amalan demokrasi, tetapi lebih bagus lagi apabila PRP ini diletakkan di bawah teropong kita untuk ditengok lebih dekat. PRP berasal dari EU (Kesatuan Eropah), gagasan negara-negara Eropah. Dari sebuah grup ekonomi, ia kini menjadi grup politik. Namun, faktor ekonomi sangat kuat kehadirannya.

Soal cukai atau bebas cukai adalah perkara penting. Bila barang tanpa cukai dari AS, Jepun dan China, sebagai contoh, masuk ke Malaysia, maka barang itu menjadi murah dan barang-barang lokal akan terjejas, kilang berisiko ditutup dan ramai akan menganggur. Jika cukai import terlalu tinggi, rakyat akan ternafi barang import yang berkualiti, termasuk ubat-ubatan.

Akibatnya kilang-kilang mungkin kena tutup. Kebebasan bermastautin mungkin membawa orang Jepun, Australia, AS, Kanada dan lain-lain membuka bisnes atau bertugas di sini. Kita boleh tegas dalam dasar ekonomi Bumiputera dan mereka mungkin akur, tetapi berapa lama untuk kita bertegas jika mereka sama-sama mengadakan dasar yang serupa melindungi hak Pribumi mereka?

Kita jangan lupa perbilangan durian dengan mentimun: parah jika digolek dan parah juga jika menggolek.

* Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Nona Singapura dan rakan Pasifik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ