Merah, kuning mewarnai merdeka - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Merah, kuning mewarnai merdeka

*HUJUNG bulan lalu - 29 dan 30 Ogos - Kuala Lumpur dikuningkan oleh Bersih 4.0 yang menyusup dari beberapa penjuru bandar raya sebelum berkumpul di sekitar Dataran Merdeka.

Pertengahan bulan ini - 16 September - merah pula yang akan mewarnai ibu negara, dengan baju T ‘Maruah Melayu’ yang akan berarak dari kawasan Bukit Bintang dan berkumpul di Padang Merbuk.

Perarakan dan perhimpunan kuning yang diketuai oleh Maria Chin Abdullah telah diisytiharkan haram oleh pihak berkuasa. Sehingga rencana ini ditulis pagi semalam, polis belum memberi kebenaran untuk perarakan kumpulan merah yang diketuai oleh Datuk Jamal Yunus.

Walaupun tanpa permit, kuning dan merah telah mewarnai musim kemerdekaan di Kuala Lumpur. Nampaknya perarakan dan perhimpunan warna-warni ini telah menjadi satu keceriaan bentuk baharu buat negara!


*MENURUT Jamal @ ketua bahagian Umno Sungai Besar, Selangor, pasukan merah digerakkan untuk membalas apa yang telah dilakukan oleh kumpulan kuning. Katanya, 250 NGO Melayu akan turut serta dalam perarakan ini dengan kehadiran dijangka 30,000 orang. Kalau bilangan dijadikan kayu ukur, ternyata pasukan kuning mendapat sambutan lebih besar. Semua boleh lihat yang turut serta dalam gerakan kuning dua minggu lalu jauh melebihi 30,000.

Malah turut serta dalam perarakan dan perhimpunan yang dikatakan haram itu termasuklah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Sampai kini Tun M belum disoal siasat kerana menyertai kumpulan kuning! Apakah pasukan baju merah juga akan disertai beberapa ikon terkenal?


*KALAU betul kumpulan merah yang dijangka 30,000 orang itu tidak mendapat kebenaran polis, ertinya statusnya sama seperti kuning, iaitu kedua-duanya adalah perarakan dan perhimpunan haram.

Ketika perarakan kuning dulu tidak ada ahli mana-mana parti dibenarkan hadir. Walaupun MCA mulanya membenarkan ahli-ahli yang hendak turut serta, pada saat akhir ada arahan supaya ahli parti komponen BN itu tidak boleh ikut serta.

Berlainan pula dengan perarakan merah, pemimpin tertinggi Umno mengeluarkan kenyataan tidak menghalang mana-mana ahlinya yang hendak turut serta. Maka timbul pertanyaan: kenapa ada double standard?


*APA pun - haram atau tidak - rasanya tidak salah sama ada merah, kuning atau warna-warna lain untuk berarak dan berhimpun, selagi mereka tidak buat kacau.

Sebelum ini beberapa perarakan kuning di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tunku Abdul Rahman dikatakan telah mengganggu dan menjejaskan peniaga Melayu di kawasan berkenaan. Kali ini pasukan merah pula berada di kawasan perniagaan Cina, apakah akan terganggu perniagaan mereka?

Dua minggu lalu kuning telah membuktikan mereka boleh berarak dan berhimpun dalam suasana aman. Tabik dan tahniah kepada pihak polis! Maka kali ini giliran merah pula membuktikan bahawa mereka pun bersopan dan mematuhi undang-undang.


*BERATUS ribu orang baju kuning dan merah di Dataran Merdeka atau di Padang Merbuk nampaknya setakat ini tidak mencetuskan sebarang ketegangan dan porak-peranda.

Sebaliknya, yang selalu hangat lagi kecoh terjadi di padang bola. Terkini kekecohan dicetuskan oleh penyokong bola sepak Malaysia ketika perlawanan antara Harimau Malaya menentang Arab Saudi untuk kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam.

Perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-88 – Harimau ketinggalan 1-2 –apabila segelintir penyokong Malaysia melakukan perbuatan biadab melemparkan suar, bunga api dan mercun ke tengah padang.

Ini perbuatan memalukan, dan satu lagi aib dalam masa tidak sampai dua minggu setelah kita tewas teruk 0-10 dengan UAE.

Kekacauan di padang bola itu mungkin menyebabkan FAM digantung dan dibatalkan pendaftaran. Dengan kegagalan demi kegagalan juga sekian banyak kekecohan dan kecelaruan, ada baiknya FAM digantung, dan tutup sahaja bola sepak kita. Peminat sudah bosan dengan politik bola!


*AKHIR kalam, ada yang tidak prihatin - sebenarnya kurang ajar! - membawa anjing menggunakan troli di sebuah pasar raya di Plentong, Masai, Johor. Ada arahan bertulis tidak boleh bawa binatang, tetapi mereka degil.

Lebih menjijikkan, anjing tersebut kencing sehingga mengotorkan troli dan lantai. Pihak pengurusan pasar raya meminta bantuan jemaah Masjid Plentong untuk menyamak kira-kira 500 troli yang terkena kencing anjing.

Apakah tindakan telah diambil ke atas pelanggan yang kurang ajar itu? Kalau tiada tindakan, saya cadang supaya orang Melayu/Islam pulaukan sahaja pasar raya berkenaan!

0 Komentar untuk " Merah, kuning mewarnai merdeka "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ