Mana satu fakta, mana satu auta? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mana satu fakta, mana satu auta?

SAYA kerap tertanya-tanya, siapa-siapakah ‘mamat’ yang menukar, mengubah atau menyeleweng apa jua berita betul hingga ia menjelma menjadi berita palsu. Siapa-siapa pula ‘mamat’ yang meuar-uarkan sesuatu yang palsu dengan cara mengedit foto dan tulisan hingga menjadi seolah-olah sesuatu yang benar?

Siapa yang menyolek sesuatu yang betul hingga menjadi salah atau mengandam sesuatu yang salah hingga punyai wajah kebenaran?

Tidak punyai rasa berdosakah bila berbohong dan menipu jutaan anggota masyarakat? Tidak punyai rasa takutkah kerana dari segi logiknya, ‘mamat-mamat’ ini  tidak mungkin menemui semua manusia yang membaca dan percaya kepada pembohongannya untuk memohon maaf apabila rasa insaf mula menyelinap di sanubari?

Tidak rasa ngerikah seandainya mereka yang ditemui itu tidak mahu memaafkan segala apa pembohongan yang telah anda lakukan? Inilah golongan manusia yang tidak sedar akan hukum-hakam menyebarkan fitnah.

Dalam pada itu, ada lagi satu golongan yang sedar hukum-hakam menyebar penipuan, tetapi melakukannya juga. Dua kali lima. Mereka adalah golongan yang memanjangkan apa sahaja yang ‘mamat-mamat’ itu sebarkan. Apa sahaja bahan yang merangsang emosi akan dipanjangkan tanpa usul periksa.

Yang penting, berita yang diterima itu dapat dibaca oleh anggota keluarga dan sahabat handai. Kononnya mereka hendak memberi pengetahuan kepada orang yang hampir dengannya.

Siapakah golongan ini? Golongan ini adalah kita! Kita menjadi mereka yang menyebar kepalsuan di media sosial kerana kita mudah sekali teruja dengan apa yang sampai ke pengetahuan kita. Pendek kata, kita ini mudah sangat melatah kerana tidak punyai ilmu memproses maklumat. Kita cepat melompat kepada maklumat palsu kerana kurang membaca.

Membaca secara literal mahupun membaca dalam ertikata meneliti sesebuah maklumat yang diterima.

Setelah lebih 30 tahun dunia internet berperanan sebagai alat komunikasi dan rujukan, kita sepatutnya bukan sahaja menjadi penggunanya semata-mata. Sebaliknya kita perlu melayari alam siber dengan baik.

Walaupun kita bebas meluncur di lautan minda dan meneroka ke segenap penjuru alam hanya dengan jejari menari-nari di papan kekunci, kita sepatutnya sudah tahu di mana jalan yang lurus, di mana jalan yang bengkok. Kita sepatutnya mahir dalam mengenal yang mana batu, yang mana kaca.

Jika kita menganggap alam siber ini seperti lautan yang membiru atau padang dataran yang menghijau, maka kita tersilap. Selamilah lautan yang membiru itu dan kita akan temui segala makhluk yang hodoh dan ganas di dasarnya. Berkembaralah di padang menghijau itu dan kita akan terpandang segala onak dan duri beracun di permukaannya.

Kita perlu sedar bahawa bukan semua yang indah itu terdapat di alam siber. Malah, bukan semua penggunanya terdiri daripada manusia yang baik-baik, bersopan santun dan beradab belaka. Pendek kata, jangan suka sangat apabila menerima sesuatu dan menelannya tanpa usul periksa kerana dunia maya ini boleh memandai atau memperbodoh kita.

Tidak sampai sepuluh tahun lalu, dunia internet yang menjadikan dunia ini kampung global atau global village serta dunia tanpa sempadan. Dunia itu boleh dibuka dan ditutup mengikut kehendak kita. Apabila kita menutup komputer, maka tertutuplah dunia itu. Kita boleh basuh kaki dan masuk tidur.

Tetapi, kemunculan telefon pintar menjadikan hidup kita berubah sama sekali apabila kita hidup dalam kebisingan di tapak tangan. Kemunculan media sosial dan aplikasi yang lebih canggih daripada sistem pesanan ringkas ~ SMS, iaitu Twitter, Instagram, Whatsapp, Line, Telegram dan seumpamanya, mengheret dan menenggelamkan kita dalam dunia siber.

Dalam seminit, berpuluh-puluh soalan, pesanan, berita dan maklumat sampai ke pengetahuan kita. Dan lebih 90 peratus daripadanya tidak mustahak atau tidak berguna.

Namun, akibat dirangsang dengan getaran telefon apabila mesej tiba, kita jadi manusia yang mudah teruja. Oleh kerana mesej yang tiba ditujukan kepada kita, maka secara tidak sedar, kita berasa kita orang penting. Padahal, mesej itu disampaikan kepada berpuluh-puluh rakan lain dalam kumpulan sembang kita.

Kerana perasan yang kita ini penting, maka kita berasa bertanggungjawab untuk memanjangkan apa yang kita rasa patut diketahui oleh orang lain.

Perasaan itulah yang menjadikan kita hilang pertimbangan lalu menyebarkan apa jua yang tiba ke dalam kotak mesej kita. Akibatnya, kita hidup di alam yang berselirat dengan maklumat-maklumat sampah. Apa yang diistilahkan sebagai viral itu sebenarnya penyakit yang merosakkan minda kita.

Ia menjadikan kita timbul tenggelam di antara alam siber dan alam realiti. Itulah yang menjadikan kita lemah dalam mentafsir yang mana fakta, yang mana auta. Kita sebar auta kerana kita percaya ia fakta. Kita tolak fakta kerana lebih percayakan auta.

0 Komentar untuk " Mana satu fakta, mana satu auta? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ