Malaysia pusat rujukan halal China - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia pusat rujukan halal China

MELAKA Biotechnology Corporation (MBC) melalui anak syarikatnya, Melaka Biotech Holdings Sdn Bhd (MBH) menjalin kerjasama dengan syarikat dari Wilayah Guangdong, China, Zhuhai Shengxing International Trading Company Limited.

Kerjasama membabitkan ujian makmal bagi analisis halal dan khidmat rundingan dari segi pengurusan sistem dan prosedur pensijilan Halal kepada pengusaha dari China.

Ketua Pegawai Eksekutif MBC, Badrul Hisham Badrudin berkata, menerusi jalinan usahasama itu, MBH akan menjadi entiti pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan Wilayah Guangdong berkaitan analisis makmal dan khidmat rundingan Halal.

"Hasil usahasama ini sekali gus membuka peluang kepada Malaysia, khususnya Melaka untuk melebarkan sayapnya di China dalam industri halal memandangkan MBC kini sudah mendapat status BioNexus Partners, ISO 17025 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) GLP bagi semua makmal yang ada di MBC," katanya.

Menurutnya, China mempunyai ruang pasaran berpotensi besar untuk industri halal terutama dengan berkembangnya pelbagai kilang makanan dan minuman, ubatan, kosmetik dan herba di negara terbabit.

"MBH memiliki banyak kemudahan makmal bagi pembangunan dan analisis produk serta perkhidmatan ujian makmal kimia dan teknologi makanan, mikrobiologi, halal dan biologi molekul serta toksikologi yang boleh membantu usahawan di Malaysia dari pelbagai peringkat dan industri.

"Selain itu, MBH berupaya menyediakan sumber, kepakaran, standard yang dipercayai serta prasarana lengkap yang diperlukan dalam pembangunan produk halal," katanya selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan usahasama terbabit di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob sempena lawatan Gabenor Wilayah Guangdong, Zhu Xiaodan ke Melaka, semalam.

Turut menyaksikan sesi MoA berkenaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, memandangkan populasi Muslim di seluruh dunia adalah sekitar 1.8 bilion  dan bakal berkembang dua kali ganda menjelang 2030, peningkatan keperluan dan permintaan produk pengguna berstatus halal dijangka terus meningkat.

Beliau berkata, di China, pasaran untuk produk halal kini bernilai berjumlah AS$2.1 bilion (atau RM8.8 bilion) dengan kadar perkembangan tahunan sebanyak 10 peratus.

"Nilai pasaran eksport halal pada 2014 pula adalah sebanyak RM37.69 bilion, di mana industri berasaskan makanan dan minuman adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM15.48 bilion atau 41 peratus.

"Manakala penyumbang kedua terbesar adalah industri bahan mentah bernilai RM12.16 bilion atau 32.26 peratus," katanya.

Melalui hasil kerjasama itu, katanya, MBH dapat membantu untuk memastikan produk halal dipasarkan adalah mengikut keperluan standard dan piawaian ditetapkan.

0 Komentar untuk " Malaysia pusat rujukan halal China "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ