Korban kerjaya demi kedai dobi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Korban kerjaya demi kedai dobi

BUKAN mudah membuat keputusan menukar haluan daripada berada di zon selesa ke fasa baharu yang belum tentu masa hadapannya.

Situasi itu dihadapi Pengarah Pusat Dobi dan Cucian Kering D’Sidai, Noor Abdul Samad Din, 42, yang terpaksa membuat keputusan sukar meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus perancangan dan kawalan bahan di sebuah syarikat swasta bagi memulakan perniagaan sepenuh masa.

“Siapa yang tidak resah apabila buat keputusan ini sebab sebelum ini, saya sudah ada gaji tetap dan jawatan yang baik dalam kerjaya. Namun, saya terpaksa tinggalkannya untuk berniaga iaitu perkara yang belum pasti bagaimana kesudahannya.

“Saya berhenti kerja untuk melayakkan saya membuat pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membuka cawangan kedua kedai dobi. Saya memang menyimpan impian tidak mahu bekerja makan gaji terlalu lama dan mahu perniagaan sendiri,” katanya.

Memulakan perniagaan pada 2007, membuka kedai dobi pertamanya dengan menyewa kedai di Kampung Melayu Subang, Subang, Selangor.

Pada masa itu, dia masih lagi bekerja makan gaji dan mengupah seorang pekerja untuk mendobi pakaian pelanggan dan menjaga kedainya.

“Saya menceburi bidang dobi apabila berjumpa rakan sekerja berbangsa Cina yang menjalankan perniagaan ini dan melihat potensinya, saya mengambil keputusan membuka kedai dobi.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai wang simpanan yang banyak dan dengan bantuan ibu, saya mula buka kedai dobi di kawasan kampung dengan kos RM15,000. Kedai dinamakan Dobi Uncle Samad,” katanya.

Rakan bantu perniagaan

Mengakui amat sukar untuk mendapatkan pelanggan pada awal perniagaannya, namun bersyukur kerana rakannya sanggup membantunya dengan berkongsi pelanggan.

“Rakan saya berbangsa Cina memberi kami kerja untuk hotel bajet iaitu mencuci selimut dan napkin. Kerja mencuci itu 50 peratus rakan saya buat, selebihnya kedai saya yang buat.

“Selain itu, saudara mara dan jiran-jiran juga menghantar pakaian ke kedai dobi saya. Kadang kala, dalam sehari ada satu atau dua pelanggan saja yang datang,” katanya.

Bagaimanapun, selepas menerima kontrak dari  syarikat pengendali penyelenggaraan kapal terbang, khidmat Dobi Uncle Samad semakin diperlukan hari demi hari.

Melihat sambutan menggalakkan, Noor Abdul Samad membuka cawangan kedua Dobi Uncle Samad di Setia Alam, Shah Alam pada 2008, diikuti di Universiti Selangor (Unisel) pada 2009, Puncak Perdana (2009), Pusat Dobi dan Cucian Kering D’Sidai Alam Budiman (2011) dan D’Sidai Saujana Utama (2013).

Namun, dia mengambil keputusan menjual Kedai Dobi Uncle Samad di Unisel kerana masalah tertentu.

Sehingga kini, rangkaian Kedai Dobi Uncle Samad dan Pusat Dobi dan Cucian Kering D’Sidai mempunyai lima cawangan keseluruhannya.

Noor Abdul Samad juga mempunyai sebuah kedai fotostat dan kafe siber di Setia Alam, di premis yang turut disewa untuk kedai dobinya.

“Ketika saya mulakan perniagaan Dobi Uncle Samad di Setia Alam, tidak ramai yang berniaga di situ. Ketika itu, saya pernah diperas samseng untuk mendapatkan wang perlindungan.

“Tetapi, nasib menyebelahi saya apabila individu itu melarikan diri selepas pengusaha di sebelah kedai saya ini mengacah mereka,” katanya.

Berdikari sejak kecil

Biarpun diuji pelbagai rintangan, namun bagi Noor Abdul Samad, semua itu dianggap mematangkannya dalam bidang perniagaan.

Apatah lagi, dia sebenarnya sudah didedahkan dengan cabaran itu sejak kecil lagi apabila bapanya meninggal dunia pada usianya 10 tahun.

“Ayah saya memang ada diabetes. Sebelum meninggal dunia, ayah membeli buah-buahan tempatan dan letakkan di kawasan tumpuan seperti stesen bas dan teksi di Parit Buntar, Perak untuk saya dan abang berniaga, " katanya.

Selepas kematian bapanya, Noor Abdul Samad bersama abangnya menjual pelbagai barangan kering dan dapur secara kecil-kecilan di pasar malam sehinggalah dia memasuki tingkatan enam.

Bagi mengembangkan perniagaan kedai dobinya, dia berhasrat menjadi perunding kepada mereka yang berminat untuk membuka kedai dobi sendiri.

“Paling tidak pun, saya menyimpan impian untuk menguruskan semua cawangan kedai dobi saya sendiri,” katanya.

0 Komentar untuk " Korban kerjaya demi kedai dobi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ