Kisah Wak Jawa di pasar Klang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kisah Wak Jawa di pasar Klang

LEPAS satu, satu! Itulah yang dirasakan oleh kebanyakan orang untuk menjelaskan betapa kita silih berganti dilanda musibah. Ada sahaja yang tidak kena semenjak dua menjak ini. Semuanya suram, tiada keceriaan.

Serba-serbi meresahkan, sana-sini muram. Memang ada seorang dua yang ketawa besar dan gembira seperti sedia kala, tidak terjejas apa-apa. Tetapi rata-rata, tidak kira di kota lebih-lebih lagi di desa, semua orang berwalang durja. Mendung meliputi wajah.

Sehari dua ini kita berjalan tunduk malu, tidak berani mendepang dada dan mendongak ke langit, gara-gara kecundang di medan. Bukan medan perang, tetapi medan bola sepak.

Harimau Malaya dibelasah teruk oleh pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kumpulan A Pusingan Kelayakan Bola Sepak Piala Dunia 2018. Kita tewas bukan tiga-kosong, bukan lima-kosong, tetapi sepuluh-kosong: 0-10.

Dengan telur-telur (0) besar yang kita bawa pulang, maruah pasukan kita terus mencorot pada kedudukan 168 ranking bola sepak dunia. Maka ada yang sinis mencadangkan supaya nama Harimau Malaya ditukar kepada Kucing Malaya atau Arnab Malaya.

Khairy Jamaluddin @ KJ berserta jutaan peminat bola seluruh negara amat kecewa. Tidak sahaja kecewa, Menteri Belia dan Sukan itu beremosi dan marah-marah dengan amaran kad merah kepada FAM.

Pasti ramai bersetuju dengan KJ bahawa pengurusan badan induk bola sepak negara itu perlu dirombak. Ternyata kepimpinan sekarang gagal meningkatkan prestasi bola kita, maka mereka patut berundur, jangan hanya memanaskan kerusi FAM.

Meski dengan stadium berkelas dunia, dan peruntukan RM berjuta-juta, juga imbuhan lumayan kepada pemain, prestasi bola sepak kita terus merosot. Kita dibuli oleh negara-negara yang jauh lebih mundur. Muram sekali bola kita!

Muram dan duka lara juga wajah sebahagian besar rakyat, terutama suri rumah, yang setiap kali ke pasar mendapati harga barang keperluan semua naik. Ikan kembung yang menjadi makanan rakyat biasa, kini RM15 per kilogram di pasar Kampung Medan, kawasan rakyat berpendapatan rendah di Lembah Klang.

Ikan tenggiri boleh mencecah RM25 per kilogram. Bawal putih, bawal hitam, ikan merah, ikan parang kini sudah menjadi makanan elit. Ketam, udang galah, jangan disebut lagi. Bagi orang biasa lauk itu hanya mampu lihat, tidak lagi mampu rasa.

Walaupun harga minyak turun, semua barang terus naik. Kerajaan dan persatuan-persatuan pengguna memberi amaran dan meminta penjual, pemilik restoran, pengusaha pengangkutan, supaya menurunkan harga sebab minyak sudah turun.

Mereka berkeras tidak akan menurunkan harga, sebab mereka pun terpaksa membayar lebih untuk apa-apa juga keperluan. Keluarkanlah berapa banyak amaran, mereka tidak kisah. Lebih-lebih lagi kita memang suka memberi amaran, tetapi tiada tindakan!

Lebih muram lagi apabila setiap hari nilai ringgit merosot. Ketika rencana ini ditulis RM mengecut pada kadar 4.2 berbanding Dolar Amerika. Orang tidak pandang lagi duit kita. Dulu RM mudah diterima di Thailand dan Indonesia, sekarang mereka menolak duit kita.

Lebih malang lagi – dan menyakitkan hati! – apabila ada bank kita enggan menerima RM, seperti yang dialami oleh seorang pelajar yang pulang bercuti dari United Kingdom.

Seperti yang dilaporkan media dua hari lalu – saya harap berita ini tidak betul – pelajar berkenaan pergi ke sebuah bank di Johor Bahru untuk menukar RM ke Pound Sterling tetapi bank enggan menerima RM.

Dia ke pengurup wang tetapi masih gagal menukar RM kepada Pound Sterling, sebab si pengurup lebih rela menyimpan Pound Sterling. Hari itu 1 Pound Sterling bersamaan RM6.54.

Malangnya kita. Duit jatuh, barang naik. Serba-serbi suram dan muram.

Maka terkejut saya bukan kepalang apabila menyatakan keresahan dan kemuraman kepada seorang penjual sayur kampung di Pasar Meru, Klang, dan dia menjawab, dalam bahasa Inggeris: “Acceptable!”

Macam tidak percaya seorang penjual sayur kampung – pucuk ubi, pucuk paku, jantung pisang – dapat menerima (acceptable) keadaan dan kegawatan sekarang.

Tetapi apabila dia mengulangi kata-kata itu, dan saya mendengarnya lebih teliti, Wak Jawa itu bukan menyebut perkataan Inggeris acceptable, tetapi hendak memberitahu keadaan jerebu yang teruk di Klang, dalam bahasa Melayu loghat Jawa pekat: “Asap tebal!”

Memang, ada ketikanya sebutan lidah Jawa boleh kedengaran seperti mat salih!

0 Komentar untuk " Kisah Wak Jawa di pasar Klang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ