Dah jatuh, panjat tinggi lagi! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dah jatuh, panjat tinggi lagi!

“IBU dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!”

“Sekarang dah jatuh, panjat tinggi lagi!”
 
Jika difikirkan, pelik sungguh kata-kata seorang ibu seperti ujaran di atas. Ayat pertama, beliau melarang anaknya memanjat tangga. Ayat kedua pula, setelah anaknya jatuh, disuruhnya pula anak itu memanjat tangga  lagi. Apakah maksud kata-kata ibu itu sebenarnya?

Penulis juga pernah mengalami pengalaman yang sama. Sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas, penulis pernah menegur keadaan kebersihan kelas pada suatu pagi. Berikut merupakan antara dialog yang masih diingati penulis sewaktu bercakap dengan pelajar di dalam kelas tersebut.

“Cuba kamu perhatikan tingkap yang masih berdebu dan terdapat cebisan kertas di lantai.”

“Kelas lain kotor juga, cikgu.”

“Ya, kelas lain juga kotor. Tak patut kelas kamu saja yang ditegur. Lagipun, kelas kamu ni taklah kotor sangat.”

“Terima kasih, cikgu.”

Penulis ragu-ragu dengan ungkapan terima kasih yang diucapkan pelajar, sama ada mereka faham atau sebaliknya teguran yang diberikan penulis. Apakah anak-anak hari ini sudah tidak arif untuk memahami maksud tersirat? Begitu juga dengan situasi pertama, berkesankah ragam bahasa ini kepada anak-anak yang sedang membesar?

Bahasa yang merupakan alat komunikasi untuk menyatakan perasaan, buah fikiran, perkongsian ilmu tidak akan dapat berfungsi jika mereka tidak memahami maksud penutur yang bercakap dengannya. Mereka tidak dapat mentafsir maksud di sebalik kata-kata yang
diucapkan. Sudah menjadi resam bagi orang-orang Melayu iaitu segala bentuk teguran, pertentangan pendapat, saranan, perasaan tidak puas hati tidak diungkapkan secara terbuka. Keadaan ini dapat mengelakkan salah faham dan rasa tersinggung pihak lain.

Bentuk bahasa yang dituturkan dalam dialog di atas ialah ragam bahasa terbalik. Terbalik kerana perkataan yang diungkapkan membawa makna berlapis dan tidak merujuk pada kata-kata yang digunakan. Mengapakah perlu digunakan bahasa terbalik, tidakkah berterus
terang itu lebih baik? Jika penulis menggunakan contoh situasi pertama, ibu tersebut sebenarnya telah menegur anak tersebut dengan berterus terang iaitu “Ibu dah pesan banyak kali, jangan panjat tangga tu!” Namun begitu, teguran tersebut tidak diendahkan.

Apabila anak tersebut jatuh dan mendapat kecederaan, ibu tersebut tidak bermaksud untuk melukakan hati dan perasaan anak tersebut dengan menyindirnya. Sebaliknya, dia telah menggunakan ungkapan yang berbeza dengan maksud yang sama iaitu melarang anaknya daripada mengulangi perbuatan tersebut. Tindakan ini dapat menguatkan maksud dan mengukuhkan hasrat ibunya supaya anaknya tidak melakukannya lagi. Ibunya juga berharap agar anaknya memahami maksudnya tadi dengan menggunakan bentuk bahasa yang berbeza.

Belajarlah daripada orang-orang tua dahulu yang menggunakan kebijaksanaan fikiran dan keluhuran akal budi dalam menyelesaikan masalah. Peribahasa Melayu mengungkapkan, bagai menghela rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terserak. Bagai menghela tali jala, rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan juga menjelaskan bahawa pekerjaan yang sukar hendaklah dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati. Persoalan faham atau tidak ungkapan tersebut, tentulah memerlukan masa dan didikan yang berterusan. Yang penting, anak dan pelajar tersebut perlu mengubah sikap dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan yang bijaksana, seperti nasihat pendeta, berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati.

Salam Sehati Sejiwa.  Bahasa Jiwa Bangsa!

0 Komentar untuk " Dah jatuh, panjat tinggi lagi! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ