Jangan guna telefon kongsi fitnah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan guna telefon kongsi fitnah

ANDAINYA seseorang itu sudah menunaikan solat Jumaat selama 30 tahun, maka dia sudah mendengar khutbah 1,560 kali, kecuali dia memang kaki datang lambat.

Dan setiap kali sebelum khatib naik ke mimbar, jemaah akan diingatkan oleh bilal supaya tidak berkata-kata semasa khutbah disampaikan.

“Barang siapa berkata-kata apabila khatib sedang membaca khutbah, walaupun dengan berkata ‘diam’, maka luputlah pahala Jumaatnya,” demikian bilal memetik hadis.

Malangnya, setiap kali khutbah disampaikan, pembaca budiman boleh lihat sendiri macam-macam kerenah dalam kalangan segelintir jemaah.

Maka terfikirlah, dalam keadaan begitu, sejauh manakah peringatan yang disampaikan khatib dapat menyerap ke dalam jiwa, apa lagi menjadi amalan segelintir jemaah yang tidak ambil pusing dengan peringatan bilal itu. Wallahualam!

Maaf cakap, keadaan hari ini sangat menyedihkan. Taraf pemahaman mengenai ajaran Islam dalam kalangan umat Islam sendiri pun menjadi persoalan. Apa lagi yang belum Islam.

Sudah banyak kita baca mengenai sikap segelintir jemaah yang lelap atau bersembang ketika khutbah disampaikan. Bahkan ada yang sanggup lepak di luar masjid untuk makan dan minum, bahkan hisab rokok.

Kini, dengan adanya telefon pintar, bertambah ramai dan ligat sikap segelintir jemaah yang dipercayai hilang fokus terhadap mesej khutbah, malah mengelamun dengan cerita dan gambar - yang baik atau buruk - yang diterima melalui telefon pintar.

Sebab itu, di zaman alam siber ini khatib perlu lebih kerap mengingatkan jemaah mengenai bahayanya penggunaan telefon pintar, kerana khutbah Jumaat adalah antara pentas penting bagi menyampaikan nasihat dan amaran kepada umat.

Kurang berkesan perkara ini hanya disampaikan melalui ceramah dan kuliah kepada kelompok-kelompok kecil di masjid dan surau kerana mereka yang selalu ke masjid bukan kumpulan sasaran.

Melalui khutbah, pengguna-pengguna telefon pintar perlu terus diingatkan bahawa telefon pintar itu adalah umpama pisau; boleh digunakan untuk memberi manfaat dan boleh sahaja digunakan untuk mendatangkan mudarat.

Bayangkan, tanpa perlu bergerak, dengan kecanggihan telefon pintar, kita boleh kendalikan perniagaan beratus ribu ringgit, boleh berkongsi maklumat dan gambar bagi menjalin silaturahim, atau berkongsi peristiwa suka duka yang baru berlaku di mana sahaja di dalam dan luar negara.

Ramai yang ambil peluang mengguna kecanggihan telefon pintar untuk menyebarkan maklumat berkaitan ajaran agama, berkongsi ayat-ayat al-Quran, potongan hadis dan kata-kata nasihat.

Tetapi, dengan kecanggihan telefon pintar juga, ramai menyebarkan mesej berbaur fitnah yang pecah-belahkan hubungan suami isteri atau keluarga serta mencetuskan permusuhan, termasuk dalam dunia politik, pentadbiran syarikat dan negara.

Kita boleh terjebak dalam penyebaran gambar atau mesej yang dengan mudah memberikan kita bahagian dalam mengumpulkan dosa.

Bayangkan berapa ramai orang yang bakal menerima, membaca maklumat dan melihat gambar, sebelum menyebarkan lagi maklumat dan gambar yang kita hantar itu.

Kalau semua maklumat dan gambar yang kita sampaikan itu menuju ke arah yang membawa manfaat, maka untunglah kita kerana mendapat ganjaran dan keampunan ALLAH hasil daripada kebaikan yang kita sebarkan itu, yang telah dapat dikongsi oleh ramai pengguna telefon pintar di mana sahaja mereka berada.

Tetapi bayangkan betapa banyak pula dosa dan kemurkaan ALLAH sekiranya maklumat yang kita sebarkan itu menjurus kepada maksiat dan fitnah.

Di mana kita mahu cari keampunan ALLAH sedangkan fitnah dan keburukan yang kita sebarkan tanpa usul periksa kesahihannya itu sudah pun dikongsi secara meluas, apa lagi telah memberi kesan buruk kepada orang yang kita sasarkan. Wallahualam.

Maka saya teringat peringatan seorang khatib baru-baru ini.

Katanya, gunalah nikmat diberi ALLAH untuk mendapatkan keredaanNYA, bukan menyebarkan fitnah dan maksiat untuk menimbunkan kemurkaanNYA.

Yang terbaik adalah berusaha ke arah memuji ALLAH kerana ALLAH kekal, bukan buat untuk makhluk kerana makhluk tidak akan kekal dan bakal menemui ALLAH juga akhirnya.

0 Komentar untuk " Jangan guna telefon kongsi fitnah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ