Menguruskan perbezaan pandangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menguruskan perbezaan pandangan

RAMAI meminta teks khutbah yang saya sampaikan Jumaat lalu di Masjid Putra di Putrajaya. Sejujurnya saya tidak menggunakan sebarang teks bagi membolehkan khutbah disampaikan secara lebih spontan daripada lubuk hati yang tulus.

Memang pagi Jumaat lalu, penulis jenuh juga memikirkan tajuk khutbah untuk disampaikan pada Jemaah di Putrajaya. Akhirnya penulis berasakan lebih baik membicarakan topik yang menanggapi suasana semasa umat Islam hari ini.

Lantas terfikir mengenai kepentingan untuk umat memahami secara tuntas prinsip menguruskan perbezaan mahupun perselisihan pandangan menurut Islam.

Hakikatnya, perbezaan dan perselisihan pandangan adalah lumrah, bahkan fitrah manusiawi yang tidak dapat dielakkan, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Hud ayat 118-119. “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu.

(Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia..”.

Dalam ayat ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa jika Dia kehendaki, Dia Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu sudah tentu boleh sahaja menjadikan umat manusia itu sebagai satu yang tidak ada perbezaan antara mereka. Namun, ALLAH tidak mengehendaki yang sedemikian kerana pelbagai hikmah terkandung di sebalik perbezaan dan perselisihan antara manusia.

Dalam satu hadis mengenai doa dan permohonan Nabi SAW kepada ALLAH di sebuah masjid yang sekarang lebih dikenali dengan nama Masjid al-Ijabah (perkenaan doa), Baginda memohon tiga perkara, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara, maka Dia memperkenankan kepadaku dua perkara dan tidak memperkenankan satu perkara.

Aku memohon kepada Tuhanku supaya Dia tidak membinasakan (seluruh) ummatku dengan kebuluran, maka Dia memperkenankannya untukku. Dan aku memohon kepadaNya supaya dia tidak membinasakan (seluruh) umatku dengan tenggelam (dalam banjir), maka Dia memperkenankannya untukku.

Dan aku memohon kepadaNya supaya Dia tidak menjadikan permusuhan berlaku di antara mereka (umatku), maka Dia tidak memperkenankannya untukku”.

Menurut ulama hadis, hikmah tertolaknya permintaan Nabi agar tidak wujud sebarang permusuhan dalam kalangan umat Islam adalah kerana ALLAH ingin menguji hambaNya perihal menguruskan perbezaan dan perselisihan yang secara fitrahnya wujud dalam kehidupan manusia.

Sebab itulah Islam amat menekankan adab-adab dalam berbeza pandangan seperti berlapang dada meraikan pandangan yang berbeza dan tidak taksub dengan pendapat sendiri.

Lihatlah bagaimana Imam Syafei begitu merendah diri walaupun beliau merupakan imam kepada Mazhab Syafei, dengan kata-katanya: “Pandanganku betul, tapi berkemungkinan salah. Manakala pandangan orang lain (pada pandanganku) adalah salah, tapi berkemungkinan betul”.

Ada kalanya setiap pandangan yang berbeza itu perlu dirai bahkan diterima dan tidak sewenang-wenangnya ditolak apatah lagi diperlekehkan.

Nabi SAW sendiri pernah meraikan dua pandangan yang berbeza tanpa menyalahkan mana-mana pandangan sahabat dalam peristiwa di Bani Quraizah, sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Daripada Ibnu ‘Umar ra berkata: Nabi SAW bersabda kepada kami ketika Baginda pulang dari al-Ahzab: “Janganlah seseorang (daripada kalangan kamu) solat Asar kecuali di Bani Quraizoh”.

Kemudian (di pertengahan jalan), sebahagian mereka mengetahui telah masuk waktu Asar, kemudian sebahagian yang lain berkata: “Kita tidak akan solat (Asar) sehinggalah kita sampai ke tempat itu”.

Dan sebahagian lagi berkata: “Bahkan kita solat (Asar terlebih dahulu), Baginda tidak bermaksud sedemikian kepada kita (untuk solat Asar di Bani Quraizoh)”.  Kemudian setelah perkara itu diceritakan kepada Nabi SAW, Baginda tidak menyalahkan seorang pun daripada kalangan mereka”.

Ini kerana tahap pemahaman seseorang terhadap sesuatu perkara adalah berbeza dengan orang lain yang menyebabkan mereka mengambil tindakan berbeza.

Menguruskan pandangan berbeza juga memerlukan kesediaan untuk kita bertemu mata, bermesyuarat dan berbincang untuk menyelesaikan masalah dan mencari kata sepakat berbanding cakap-cakap di belakang.

Banyak disebut dalam al-Quran anjuran untuk saling berbincang dan bermesyuarat antara satu sama lain. Firman ALLAH dalam Surah at-Talaq ayat 6. “.. dan berundinglah di antara kamu dengan cara yang baik..”.

Justeru, dalam berbeza pandangan, raikanlah akhlak dan adab-adabnya supaya ia tidak membawa kepada perkara lebih buruk seperti permusuhan, perbalahan, kata- mengata, menghasut, sehinggalah kepada pembunuhan dan peperangan.

Amat malang jika umat Islam hari ini hanya sibuk memberi perhatian kepada perbezaan pandangan yang hanya akan membawa kepada kerugian. Apa lebih penting, carilah titik-titik persamaan ke arah memajukan umat Islam dalam segenap aspek supaya umat ini menjadi kuat, disegani dan cemerlang di dunia dan di akhirat.  



* Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

0 Komentar untuk " Menguruskan perbezaan pandangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ