Nikmat syurga bagi jiwa tidak dijajah syaitan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nikmat syurga bagi jiwa tidak dijajah syaitan

Larangan daripada Allah SWT dalam al-Quran mengingatkan manusia bahawa setiap perbuatan yang melanggar batas syariat Allah SWT perlu dijauhkan. Malangnya, manusia sebagai hamba sering kali mengingkari perintah Allah SWT. Perbincangan program Ibrah minggu lalu, Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman, membawakan perkongsian penting peristiwa Nabi Adam dan isterinya, Hawa, yang dikeluarkan dari syurga Allah SWT setelah memakan buah larangan di dalam syurga. Allah SWT telah merakamkan dalam kitab suci al-Quran mengenai godaan syaitan yang paling awal bermula pada zaman Nabi Adam.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada orang yang zalim." (Surah al-A'raf, ayat 19)

Kemudian, Allah SWT berfirman lagi bermaksud: "Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi daripada orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga)." (Surah al-A'raf, ayat 20)

Bersungguh perdaya manusia 

Penjajahan syaitan ke atas jiwa manusia yang selalu lalai bukanlah sesuatu yang sukar. Godaan syaitan dengan hasutan itu bermula sedikit demi sedikit. Malah perangkap melalui bisikan itu memberi isyarat bahawa syaitan bersungguh-sungguh untuk memperdaya manusia melakukan kesilapan. Perumpamaan itu dapat difahami melalui kisah Nabi Adam dan Hawa yang digoda oleh syaitan. Nabi Adam dibisik untuk menghampiri pokok terlebih dahulu, kemudian berlanjutan bisikan itu untuk duduk lama di kawasan pokok sehingga akhirnya mengambil peluang memakan buah larangan itu. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan ia bersumpah kepada kedua-duanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua." (Surah al-A'raf, ayat 21)

Kemudian, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" (Surah al-A'raf, ayat 22) Helah melalui bisikan syaitan perlu diperhatikan. Contohnya, kita sering kali terpedaya melengahkan solat pada awal waktu. Kemudian, ia membisikan supaya bersolat pada akhir waktu. Tipu daya dan muslihat syaitan itu berlanjutan sehingga kita meninggalkan terus solat yang diperintahkan Allah SWT.

Bisikan melalaikan jiwa 

Syaitan ditugaskan melemahkan manusia dengan bisikan akan terus melalaikan jiwa. Sumpahan iblis dan syaitan untuk menggoda anak Adam sehingga hari kiamat itu dirakamkan melalui ayat al-Quran. Iblis telah bersumpah menyesatkan zuriat keturunan Nabi Adam kepada kemaksiatan. Dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: "Ia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)." (Surah al-Isra', ayat 62)

Zuriat keturunan adalah amanah yang paling berharga. Oleh itu, kita sebagai hamba dinasihatkan untuk menjaga isteri, keluarga dan zuriat keturunan daripada terbelenggu dengan godaan syaitan. Melalui kisah Nabi Adam dan Hawa ini dapatlah difahami Allah SWT tidak meletakkan Nabi Adam secara bersendirian dalam syurga tetapi menjadikan pasangan hidup iaitu Hawa. Oleh itu, keluarnya Nabi Adam daripada syurga bukanlah sendiri tetapi bersama dengan Hawa. Allah SWT berfirman bermaksud: "Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita." (Surah Taha, ayat 117)

Kesenangan sementara 

Nikmat syurga yang dikecapi Nabi Adam dan isterinya telah memberikan kesenangan sementara sebelum datangnya syaitan memperdaya. Malah Allah SWT menjelaskan beberapa nikmat yang akan diperoleh Nabi Adam ketika berada dalam syurga itu. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari." (Surah Taha, ayat 118-119) Memperoleh nikmat syurga itu akan hadir melalui jiwa yang tidak terjajah dengan godaan dan bisikan syaitan di dunia ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/80555
0 Komentar untuk " Nikmat syurga bagi jiwa tidak dijajah syaitan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ